Tahukah anda apa penyakit siplis lelaki?

Apakah penyebab penyakit sifilis

Sifilis atau syphilis merupakan sebuah penyakit berjangkit yang disebabkan oleh bakteria Treponema pallidum. Ia termasuk dalam golongan penyakit yang disebarkan melalui hubungan seks atau lebih dikenali sebagai ‘STD’ (Sexually Transmitted Disease) atau ‘STI’ (Sexually Transmitted Infection). Namun, terdapat juga keadaan di mana penyakit ini berjangkit kepada bayi yang sedang berada di dalam kandungan ibunya semasa ibu tersebut mengandung iaitu sifilis kongenital (congenital syphilis).

Bakteria tersebut berbentuk berpilin atau seperti alat pemutar untuk membuka gabus botol kaca (corkscrew). Penyakit ini berjangkitan melalui kulit dan lapisan mukus (mucus membrane) dengan ciuman mulut, hubungan seks oral, kelamin atau melalui liwat. Lebih kurang 30 hingga 60 peratus daripada individu yang terdedah dengan sifilis primer dan sekunder mendapat jangkitan tersebut.

Penyakit sifilis kongenital pula berlaku apabila bakteria tersebut berjangkit kepada bayi yang sedang berada di dalam kandungan ibu melalui ‘placenta’ ataupun uri jika ibunya tidak mendapatkan rawatan segera bagi mengubati sifiilis ketika mengandung. Terdapat banyak ciri-ciri dan komplikasi kepada bayi yang menghidapi jangkitan sifilis ini yang akan dibincangkan dengan lebih lanjut.

Kadar mortaliti penyakit sifilis

Kadar kematian yang disebabkan oleh pesakit yang tidak mendapatkan rawatan adalah pada 8 hingga 58% peratus dan lebih banyak berlaku pada golongan lelaki berbanding wanita. Sejak penggunaan ubat antibiotik untuk rawatan sifilis diperkenalkan, kadar jangkitan sifilis telah menurun dengan drastik pada akhir kurun ke-20. 

 Namun, terdapat sedikit peningkatan pada permulaan abad ke-21 di Amerika Syarikat, Kanada dan Eropah disebabkan oleh beberapa faktor seperti hubungan seksual luar tabii sesama lelaki. Secara purata penyakit sipilis pada lelaki lebih banyak berlaku berbanding penyakit sipilis pada wanita.

Apakah simptom penyakit sifilis

Terdapat empat ciri ciri penyakit sipilis yang utama:

  • Sifilis Primer (Primary Syphilis)

            Sifili primer ini berlaku apabila seseorang individu yang sihat melakukan hubungan seksual dengan individu yang mempunyai penyakit sifilis. Jangkitan berlaku apabila kawasan jangkitan disentuh secara terus melalui kulit atau lapisan mukus alat kelamin. 

            Ciri-ciri penyakit sipilis primer adalah sebuah ketulan yang dikenali sebagai ‘chancre’ akan tumbuh dalam masa 3 hingga 90 hari (21 hari secara purata) selepas pesakit terdedah dengan sentuhan pertama dengan penyakit. Ketulan tersebut hanya seketul, keras, tidak menyakitkan, tidak gatal dan berbentuk seperti kawah luka. Ketulan tersebut membesar sedikit demi sedikit sehingga menjadi luka ulser. Kebiasaannya, ia hanya sebuah dalam 40% kes, tetapi boleh menjadi banyak jika penyakit tersebut didatangi bersama HIV. 2 hingga 7% kes belaku luar daripada kawasan kemaluan, 30% kes pula ketulan tersebut berasa sakit.

            Ia biasanya dijumpai berlaku pada kawasan serviks wanita (44%), kawasan zakar pada lelaki heteroseksual (99%) dan kawasan punggung dalam lelaki yang berhubungan songsang (34%). Pembesaran nod limfa kerap berlaku (80%) dalam kawasan jangkitan dan terbentuk pada sekitar 7 hingga 10 hari selepas bermulanya jangkitan. Ketulan tersebut kekal selama 3 hingga 6 minggu jika tiada sebarang tindakan rawatan diambil.

  • Sifilis Sekunder (Secondary Syphilis)

            Sifilis sekunder berlaku lebih kurang 4 hingga 10 minggu selepas berlakunya sifilis primer. Ia melibatkan kulit, lapisan mukus dan nod limfa. Simptom berbentuk ketulan-ketulan pelbagai saiz yang timbul merata-rata di atas kulit. Ketulan-ketulan bersaiz seragam, berwarna merah jambu, tidak gatal-gatal dan juga merebak pada telapak tangan dan kaki. Ketulan-ketulan ini mengandungi kadar kandungan bakteria yang tinggi dan sangat mudah menyebarkan jangkitan. Simptom-simptom lain termasuklah demam, sakit tekak, kehilangan berat badan, keguguran rambut dan sakit kepala Gejala sifilis sekunder biasanya akan surut dalam masa 3 hingga 6 minggu selepas bermulanya jangkitan. Seramai 25% pesakit akan mengalami semula sifilis sekunder.

  • Sifilis Berpanjangan (Latent Syphilis)

            Sifilis berpanjangan ialah jangkitan sifilis yang mempunyai bukti serologi yang menunjukkan seseorang itu berjangkit dengan sifilis tetapi tidak menunjukkan sebarang gejala sepanjang jangkitan. Sifilis berpanjangan terbahagi kepada dua jenis. Sipilis berpanjangan awal dan sifilis berpanjangan akhir. Sifilis berpanjangan awal biasanya menunjukkan gejala yang muncul semula manakala sipilis berpanjangan akhir pula sebaliknya dan tidaklah semudah sifilis berpanjangan awal dalam menyebarkan jangkitan.

  • Sifilis Tertiari (Tertiary Syphilis)

            Sifilis tertiari pula berlaku selepas 3 hingga 5 tahun setelah seseorang itu berjangkit dengan sifilis. Ciri-ciri penyakit sipilis mempunyai 3 bentuk utama iaitu:​

    • 'Neurosyphilis' Ia merujuk kepada jangkitan sifilis yang melibatkan sistem saraf terutamanya saraf    tunjang. Ia mungkin berlaku pada peringkat awal jangkitan samada menunjukkan simptom seperti meningitis, kekebasan atau kelumpuhan dan ‘tabes dorsalis’. Biasanya berlaku dalam masa 4 hingga  25 tahun selepas jangkitan pertama.
    • Sifilis kardiovaskular Biasanya berlaku setelah 10 hingga 30 tahun selepas jangkitan pertama. Jangkitan ini akan menyebabkan benjolan aneurisma berlaku pada salur darah.
    • 'Gumma' Berlaku setelah setahun hingga 46 tahun selepas jangkitan pertama. Ketumbuhan  ketulan-ketulan yang lembut, bulat dan mempunyai pelbagai saiz daripada kecil hingga besar. Ia boleh berkalu di mana-mana sahaja.

        Seramai satu pertiga pesakit sifilis yang tidak mendapatkan rawatan akan mendapat sifilis tertiari. 

  • Sifilis Kongenital (Congenital Syphilis)

        Gejala-gejala yang sifilis kongenital biasanya berlaku beberapa tahun selepas kelahiran bayi. Antaranya pembesaran organ hati dan limfa, ruam-ruam, demam, neurosifilis dan radang paru-paru. Jika tidak dirawat gelaja-gejala seperti hidung berbentuk pelana, ‘Higoumenakis’ sign’, kebengkokan tulang tibia dan bengkak sendi akan berlaku. Keguguran juga mungkin berlaku jika ibu yang mengandung tersebut mempunyai jangkitan sifilis ini.

Diagnosis bagi penyakit sifilis

Terdapat beberapa ujian yang boleh digunakan untuk rawatan penyakit sifilis. Ia terbahagi kepada dua kumpulan rawatan.

  • Ujian darah
    • Ia merangkumi ujian VDRL (Venereal Disease Research Laboratory test) dan ujian RPR (Rapid Plasma Reagin test).
    • Ujian susulan seperti ujian TPHA (Treponemal Pallidum Particle Agglutination) atau FTA-Abs (Fluorescent Treponemal Antibody Absorption test)
  • Ujian secara terus
    • Menggunakan teknik ‘Dark Ground Microscopy’. Ujian ini harus dilakukan dengan segera setelah sampel diambil.
    • Ujian-ujian lain termasuk ‘Direct Fluorescein Antibody Test’ dan ‘Nucleic Acid Amplification Test’

Cara mencegah penyakit sifilis

  • Vaksin
    • Setakat ini, masih tiada lagi vaksin yang dijumpai untuk mengelakkan penyakit ini
  • Hubungan seksual
    • Penggunaan kondom dengan teknik yang betul ketika hubungan seksual
    • Menangguhkan diri daripada hubungan seksual
    • Mengelakkan daripada mempunyai ramai pasangan seksual
  • Sifilis kongenital
    • Ujian saringan kepada ibu mengandung pada trimester pertama dan trimester ketiga
    • Rawatan kepada ibu mengandung yang dijangkiti sifilis
    • Rawatan kepada pasangan (ayah kepada kandungan)
  • Ujian saringan
    • Saringan disyorkan kepada individu-individu yang aktif secara seksual

Cara rawatan untuk penyakit sifilis

Cara-cara pengubatan sipilis bergantung kepada tahap penyakit tersebut. Secara umumnya, rawatan antibiotik untuk sifilis akan digunakan sebagai rawatan utama.

Untuk rawatan sifilis primer, sekunder dan tertiari (kurang daripada setahun):

  • Benzanthine penicillin 1.8g IM dalam satu dos
  • Procaine penicillin 1g IM setiap hari selama 10 hari

Bagi jangkitan sifili yang melebihi 1 tahun atau berada pada tahap pertengahan, Bezanthine Penicillin 1.8g IM seminggu sekali sebanyak 3 dos

Salah satu daripada kesan sampingan daripada rawatan ini adalah reaksi Jarisch-Herxheimer. Ia bermula setelah satu jam rawatan diambil dan boleh berpanjangan sehingga 24 jam. Gejala-gejala yang akan muncul adalah seperti sakit kepala, demam, sakit-sakit otot dan degupan jantung yang laju. Ianya berlaku disebabkan oleh reaksi sistem ketahanan badan terhadap lipoprotein yang dilepaskan oleh dinding sel bakteria yang pecah selepas rawatan tersebut bermula.

Rujuk dengan seorang doktor untuk mendapatkan rawatan bagi penyakit sifilis pada laman web kami: https://www.doctoroncall.com.my/

Saringan Kesihatan PERCUMA
Mencegah adalah lebih baik daripada mengubati. Adakah anda sedia untuk melawan jangkitan? Ketahui dalam 5 minit!
Mula Saringan Kesihatan PERCUMA