Apakah Cara Rawatan Yang Perlu Dilakukan Jika Hidung Berdarah Secara Tiba-Tiba?

Hidung Berdarah Secara Tiba-Tiba, Cara Merawat Pendarahan - DoctorOnCall
Anonymous

Hello, doktor, saya seorang remaja perempuan berumur 16 tahun. Masalah yang saya hadapi ialah hidung saya sering berdarah. Kadang-kadang tak ada sebab tiba-tiba darah mengalir keluar. Adakah ini petanda masalah serius seperti kanser hidung? Saya risau, sebab kalau terhantuk sikit pun akan berdarah. Kadang-kadang lepas kelas Pendidikan Jasmani pun akan berdarah. Saya pernah berjalan dalam cuaca panas, lepas balik rumah tiba-tiba darah mengalir keluar dari hidung. Tolong saya doktor, saya risau. Adakah hidung berdarah ini normal? Apa yang patut saya lakukan? Saya harap ada rawatan yang saya boleh ambil untuk pulihkan masalah ini kerana ia sedikit sebanyak membataskan aktiviti harian saya. Saya suka bersukan, tapi setiap kali bersukan selalunya saya kena berhenti sebab pendarahan hidung ini. 

Anonymous
Hello, doktor, saya seorang remaja perempuan berumur 16 tahun. Masalah yang saya hadapi ialah hidung saya sering berd... See More
Saringan Kesihatan PERCUMA
Mencegah adalah lebih baik daripada mengubati. Adakah anda sedia untuk melawan jangkitan? Ketahui dalam 5 minit!
Mula Saringan Kesihatan PERCUMA
Salam sejahtera. Terima kasih atas soalan yang anda ajukan. Untuk makluman anda, gejala hidung berdarah adalah antara perkara yang biasa berlaku dalam kalangan kanak-kanak mahupun dewasa. Namun begitu, gejala ini boleh menimbulkan perasaan panik bagi yang menghidapinya. Gejala hidung berdarah biasanya disebabkan oleh kecederaan pada saluran darah di permukaan dalaman hidung. Saluran darah di permukaan ini adalah lemah dan mudah tercedera. Ia boleh berlaku akibat cuaca panas, udara kering atau kecederaan akibat trauma kecil seperti perbuatan mengorek hidung atau terhantuk. Namun begitu, pendarahan hidung yang terlalu kerap boleh disebabkan oleh masalah kesihatan lain seperti masalah pembekuan darah, tekanan darah tinggi, jangkitan dalam hidung atau ketumbuhan di dalam hidung. Untuk mengetahui penyebab anda mengalami masalah ini, anda disarankan untuk merujuk kepada doktor di klinik bagi mendapatkan pemeriksaan lanjut.
Salam sejahtera. Terima kasih atas soalan yang anda ajukan. Untuk makluman anda, gejala hidung berdarah adalah antara pe... See More

Mengapa Hidung Berdarah Secara Tiba-Tiba?

Pendarahan hidung biasanya disebabkan oleh perkara-perkara seperti:

  • Tabiat mengorek hidung

Tabiat mengorek hidung boleh menyebabkan pendarahan. Ini adalah kerana tekanan yang kuat ketika mengorek hidung boleh memecahkan pembuluh darah kecil atau kuku atau objek tajam yang digunakan boleh mencederakan struktur yang lemah ini.

  • Hentakan pada hidung

Disebabkan struktur pembuluh darah pada permukaan dalam hidung adalah lemah, sebarang hentakan kecil atau besar pada kawasan hidung boleh menyebabkan hidung berdarah.

  • Menghembus hidung terlalu kuat

Tekanan yang terhasil daripada hembusan hidung terlalu kuat, atau terlalu kerap juga boleh mencederakan saluran darah hidung lalu menyebabkan pendarahan. Oleh itu anda tidak disarankan untuk melakukan perkara ini jika anda selsema atau mengalami gejala hidung tersumbat

  • Cuaca panas

Cuaca panas menyebabkan saluran darah mengembang dan ini menyebabkan pendarahan lebih mudah untuk berlaku.

  • Udara yang sejuk dan kering

Hidung mudah berdarah ketika cuaca panas, namun cuaca sejuk juga boleh menyebabkan gejala ini. Udara yang sejuk dan kering menyebabkan kerengsaan terhadap saluran darah pada hidung. Sebab inilah anda merasa pedih apabila bernafas dalam cuaca sejuk seperti di dalam bilik berhawa dingin atau ketika musim sejuk di negara-negara 4 musim. Sesetengah wanita juga mengalami hidung berdarah ketika hamil. Ini adalah disebabkan oleh salur darah yang lebih mengembang dan isipadu darah yang lebih banyak ketika kehamilan

Biasanya pendarahan hidung yang disebabkan oleh perkara - perkara di atas adalah berpunca daripada saluran darah hidung yang kecil di permukaan dalam hidung. Pendarahan yang berlaku akibat kecederaan saluran darah ini biasanya adalah kecil dan mudah berhenti.

Namun begitu terdapat beberapa keadaan yang boleh menyebabkan pendarahan yang lebih banyak berpunca daripada saluran darah yang lebih besar dan dalam, contohnya:

  • Trauma atau hentakan pada kepala.
  • Pendarahan selepas prosedur pembedahan pada hidung.

Pendarahan hidung juga boleh menandakan penyakit yang lebih serius seperti:

  • Masalah pembekuan darah akibat penyakit darah seperti leukemia atau kesan sampingan ubat-ubatan seperti ubat cair darah.
  • Terdapat objek asing di dalam hidung biasanya terjadi kepada kanak-kanak.
  • Ketumbuhan di dalam hidung seperti tumor.

Apa Yang Anda Perlu Buat Jika Hidung Berdarah?

Cara merawat hidung berdarah yang boleh dilakukan di rumah:

  1. Elakkan pesakit berasa panik terutamanya kanak-kanak. Tenangkan mereka dan dudukan mereka dalam posisi tegak.
  2. Picit batang hidung dan tundukkan kepala ke hadapan. Lakukan ini selama 10 minit.
  3. Jika pendarahan belum berhenti selepas 10 minit langkah di atas dilakukan. Ulang semula langkah ini.
  4. Jika pendarahan masih tidak berhenti selepas 30 minit, segera dapatkan rawatan di klinik atau hospital.
  5. Selepas pendarahan berhenti, anda boleh tuam hidung dengan ais. Elakkan dari menuam terlalu lama bagi mengelakkan kerengsaan pada kulit.

Jangan lakukan perkara di bawah:

  1. Berbaring atau mendongakkan kepala
  2. Menyumbat hidung dengan tisu, kapas atau kain
  3. Menghembus hidung atau mengorek hidung
  4. Makan makanan panas atau pedas boleh menyebabkan hidung kembali berdarah

Bagaimana Cara Mengelakkan Hidung Berdarah

  • Buang tabiat kerap mengorek hidung. Potong kuku anda selalu agar tidak mencederakan permukaan hidung.
  • Sekiranya kulit anda mudah kering, gunakan semburan saline untuk menjaga kelembapan dalam hidung. Permukaan dalam hidung yang kering lebih mudah tercedera dan berdarah. Jika anda kurang gemar menggunakan semburan, anda boleh gunakan gel pelembap atau petroleum jelly seperti vaseline untuk tujuan ini.
  • Gunakan pelembap udara. Berada terlalu lama di dalam udara sejuk dan kering seperti bilik berhawa dingin menyebabkan lapisan dalam hidung mudah kering dan berdarah. Pelembap udara meningkatkan kelembapan udara, memudahkan anda bernafas dan mengurangkan risiko pendarahan hidung.
  • Sekiranya anda terlibat dalam kegiatan sukan lasak seperti ragbi yang boleh meningkatkan risiko kecederaan pada hidung, gunakan alat pelindung muka bagi megurangkan risiko dan impak kecederaan pada hidung.
  • Sesetengah bahan kimia juga boleh menyebabkan kerengsaan pada bahagian dalam lapisan hidung. Sekiranya anda terlibat dalam industri kimia, pastikan anda sentiasa memakai penutup muka yang sesuai.

Pendarahan Hidung Pada Kanak-Kanak

  • Hidung berdarah pada kanak-kanak boleh menimbulkan panik dan kerisauan dalam kalangan ibu bapa. Sama seperti dewasa, biasanya pendarahan hidung pada kanak-kanak terjadi akibat:


    • Tabiat mengorek hidung
    • Udara kering
    • Alergi
    • Selsema
    • Polip hidung
    • Penggunaan spray hidung secara berlebihan
    • Masalah pendarahan seperti leukemia atau hemofilia

    Kanak-kanak mungkin akan berasa panik apabila mendapati hidung mereka berdarah. Ini mungkin terjadi ketika mereka bermain. Ini adalah perkara yang biasa berlaku dan jarang disebabkan oleh perkara yang serius. Pendarahan hidung pada kanak-kanak biasanya akan berhenti dalam masa yang singkat. Cara mengatasi hidung berdarah bagi kanak-kanak adalah sama seperti orang dewasa. 

Perkara Yang Ibu Bapa Perlu Ambil Perhatian Apabila Berlaku Pendarahan Hidung Pada Anak

  • Pendarahan lebih daripada 20 minit.
  • Berlaku selepas kecederaan kepala, terjatuh atau hentakan pada muka.
  • Kanak-kanak turut mengalami sakit kepala.
  • Hidung anak terdapat tanda patah tulang.
  • Anak kelihatan pucat atau pening akibat kehilangan banyak darah.
  • Anak muntah atau batuk dengan kahak berdarah.

Jika terdapat sebarang tanda-tanda di atas, bawa anak anda ke hospital dengan segera. Tanda-tanda ini juga perlu diwaspadai jika berlaku kepada orang dewasa.