Penyakit Darah Tinggi Bahaya? Ketahui Punca, Kesan & Cara Merawatnya

Penyakit Darah Tinggi - Punca, Kesan & Cara Merawat - DoctorOnCall
Anonymous

Salam Sejahtera. Saya lelaki berumur 35 tahun. Saya sekarang amat risau akan kesihatan fizikal saya. Sejak 2 minggu yang lalu, saya kerap sakit kepala. Saya seorang lelaki yang memiliki berat 63kg dan ketinggian saya adalah 171cm. Sebelum ini saya tidak memiliki sebarang masalah kesihatan dan saya seorang yang minat bersukan. Paling merisaukan saya juga mengalami masalah penglihatan yang kadang kala kabur. Penglihatan saya menjadi kabur selama beberapa saat sahaja. Saya pergi untuk menukar cermin mata saya, namun optometrist disitu tidak menasihatkan saya untuk menukar cermin mata kerana tahap kerabunan saya masih sama. Semalam, saya dapati bahawa jari-jari tangan saya menjadi kebas. Saya ada terbaca tentang hipertensi disebabkan masalah buah pinggang. Ayah saya menghidapi hipertensi pada usia yang muda disebabkan oleh buah pinggang. Adakah saya mengalami masalah yang sama?

Anonymous
Salam Sejahtera. Saya lelaki berumur 35 tahun. Saya sekarang amat risau akan kesihatan fizikal saya. Sejak 2 minggu y... See More
Saringan Kesihatan PERCUMA
Mencegah adalah lebih baik daripada mengubati. Adakah anda sedia untuk melawan jangkitan? Ketahui dalam 5 minit!
Mula Saringan Kesihatan PERCUMA

Terima kasih atas soalan yang diberikan. Kami memahami kebimbangan yang anda hadapi dan pada pendapat saya, berdasarkan gejala yang anda gambarkan, anda berkemungkinan menghidapi penyakit darah tinggi. Penyakit ini boleh diwarisi jika ada antara ahli keluarga yang menghidap penyakit darah tinggi. Gejala seperti sakit kepala, rabun dan kebas anggota badan merupakan simptom dan gejala yang sering diadu pesakit yang mempunyai penyakit darah tinggi. Walaubagaimanapun, saya tidak boleh memberi satu diagnosis tanpa menjalankan pemeriksaan fizikal secara menyeluruh terutamanya pemeriksaan tekanan darah.

Saya menasihatkan anda supaya berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan rawatan yang paling selamat dan tepat. Jika diagnosis penyakit darah tinggi dibuat, anda perlu menerima rawatan ubatan untuk mengurangkan tekanan darah. Jika anda tidak mendapatkan rawatan, dikhuatiri anda mungkin akan mengalami komplikasi yang lebih serius pada masa akan datang.

Terima kasih atas soalan yang diberikan. Kami memahami kebimbangan yang anda hadapi dan pada pendapat saya, berdasark... See More

Apa Itu Penyakit Darah Tinggi

Darah tinggi atau nama lainnya hipertensi ialah suatu kondisi dimana tekanan darah pesakit adalah lebih dari normal iaitu lebih dari 140 mmHg untuk sistolik dan lebih 80 mmHg untuk diastolik. Diagnosis dibuat apabila doktor mendapati bacaan tekanan darah tinggi dan lebih dari 2 kali bacaan pada 2 masa yang berbeza. Walaubagaimanapun, tekanan darah mungkin berbeza mengikut umur pesakit. Secara praktikalnya, bacaan tekanan darah normal mengikut umur adalah berbeza dan bagi pesakit yang berumur 60 tahun ke bawah ialah tidak melebihi 140/80 mmHg dan bagi mereka yang berumur 60 tahun ke atas, bacaan yang normal tidak sepatutnya melebihi 150/90 mmHg. Bacaan tekanan darah perlu dibuat semasa pesakit dalam keadaan tenang dan bukan dibuat ketika pesakit sedang sakit seperti sedang mengalami sakit kepala, sakit gigi, selepas bersukan dan sebagainya.

Faktor Risiko Darah Tinggi

Patologi kepada tekanan darah menjadi tinggi ialah apabila saluran darah menjadi sempit atau mengeras. Maka, masalah-masalah yang membawa kepada saluran darah menjadi sempit atau mengeras menjadi faktor, sebab atau punca tekanan darah tinggi. Antara sebab dan punca kepada tekanan darah tinggi ialah:

  • Umur: Apabila umur meningkat, tekanan darah juga akan meningkat kerana saluran darah menjadi lebih keras dan sempit disebabkan oleh plak yang tersumbat dari semasa ke semasa.
  • Etnik/ kaum: Mereka yang berbangsa Afrika-Amerika, Amerika-India/ Alaska natif, Asia atau natif Hawai dan kepulauan Pacific mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk menghidapi penyakit darah tinggi berbanding kaum atau bangsa lain.
  • Saiz dan berat badan: Semakin besar atau berat seseorang, semakin banyak kuantiti atau kandungan darah dalam badan dan semakin tinggi tekanan darah.
  • Jantina: Lelaki lebih terdedah untuk mendapatkan masalah ini pada usia muda berbanding wanita yang lebih terdedah untuk mendapatkannya pada usia yang lebih tua.
  • Masalah kesihatan yang sedia ada: Masalah kesihatan seperti masalah buah pinggang, kencing manis dan masalah tidur “sleep apnea” juga boleh meningkatkan tekanan darah.
  • Kekurangan aktiviti fizikal: Mereka yang kekurangan aktiviti fizikal selalunya memiliki kadar denyutan jantung yang lebih tinggi dan hal ini mengakitbatkan jantung bekerja dengan lebih keras dan memberikan tekanan yang tinggi kepada saluran darah dan juga tekanan darah itu sendiri.
  • Pemakanan yang tinggi kandungan garam, kolesterol, dan makanan yang diproses
  • Makan makanan yang rendah kandungan potasium: Terlalu rendah potasium dalam darah menyebabkan kandungan sodium meningkat dan hal ini boleh mengakibatkan tekanan darah tinggi.
  • Sejarah keluarga: Tekanan darah tinggi merupakan penyakit keturunan dimana apabila ada ahli keluarga yang menghidapinya, risiko untuk ahli keluarganya memiliki masalah yang sama juga meningkat.
  • Merokok: Kandungan tembakau di dalam rokok bukan sekadar boleh menaikkan tekanan darah malah bahan kimia di dalam rokok tersebut boleh merosakkan lapisan di saluran darah dan menyebabkan saluran menjadi sempit dan meningkatkan risiko untuk mendapat sakit jantung.

Simptom & Gejala Darah Tinggi

Kebanyakkan mereka yang menghidapi penyakit darah tinggi tidak mempunyai sebarang simptom atau gejala walaupun tekanan darah telah mencecah bacaan yang merbahaya. Walaubagaimanapun, terdapat sesetengah individu yang mengalami sakit kepala, sesak nafas atau pendarahan di hidung akibat daripada masalah tersebut. Gejala ini tidak spesifik dan mungkin terdapat hanya pada individu yang tertentu sahaja dan selalunya tidak berlaku selagi tekanan darah tidak mencapai bacaan atau tahap yang teruk.

Komplikasi & Kesan Tekanan Darah Tinggi

Kesan jangka panjang tekanan darah tinggi boleh mengakibatkan pelbagai komplikasi yang disebabkan oleh ruang salur darah menjadi lebih sempit akibat daripada pembentukan plak (atherosclerosis). Hal ini juga mengakibatkan tekanan darah menjadi lebih teruk kerana jantung perlu mengepam darah dengan lebih kuat. Antara komplikasi tekanan darah tinggi ialah:

  • Serangan jantung dan strok: Kerana salur darah menjadi sempit akibat daripada kesan jangka masa panjang darah tinggi, kuantiti darah dan oksigen yang sampai ke organ jantung atau otak menjadi terhad. Hal ini akan mengakibatkan kematian sel-sel otak atau jantung dan menyebabkan kegagalan jantung dan otak untuk berfungsi dengan baik.
  • Aneurisme: Apabila tekanan darah meningkat, ia boleh menyebabkan saluran darah menjadi lemah dan mengelembung membentuk aneurisme. Jika aneurisme pecah, ia boleh mengakibatkan kematian akibat daripada pendarahan yang teruk.
  • Kegagalan jantung: Untuk mengepam darah ke seluruh badan melalui saluran yang sempit, jantung perlu melakukannya dengan kuat dan dalam jangka masa yang panjang jantung akan menjadi bengkak dan gagal berfungsi dengan baik.
  • Kegagalan buah pinggang
  • Rabun atau masalah penglihatan
  • Masalah memori dan dimensia

Apabila saluran darah ke organ menjadi sempit dan kurang efektif akibat daripada masalah darah tinggi, ianya akan mengakibatkan kegagalan organ tersebut untuk berfungsi dengan baik.

Cara Menurunkan Darah Tinggi Secara Tradisional (Makanan) & Ubat-Ubatan

Ubat-ubatan yang selalu digunakan untuk menurunkan tekanan darah ialah penghalang beta “beta-blocker”, perencat ACE (“ACE inhibitors”), diuretik, penghalang reseptor angiotensin 2 (“Angiotensin 2 receptor blocker”), dan penghalang saluran kalsium (“calcium channel blockers”). Doktor akan memberi preskripsi dan memilih ubat mengikut keadaan semasa pesakit kerana kesemua ubat mempunyai fungsi dan kesan sampingan yang tersendiri dan tidak boleh digunapakai oleh orang lain.

Pada masa yang sama, terdapat beberapa cara menurunkan darah tinggi secara tradisional atau melalui gaya hidup dan pemakanan. Antara ialah:

  • Mengurangkan pengambilan garam dalam makanan
  • Makan makanan yang berkhasiat atau makanan yang membantu mengurangkan tekanan darah seperti bawang putih, kayu manis, halia, minyak ikan dan herba hawthorn
  • Bersenam secara rutin
  • Berhenti menghisap rokok

Secara amnya, tiada makanan atau ubat-ubatan yang mampu menyembuhkan penyakit darah tinggi sepenuhnya. Walaupun risiko untuk mendapatkan penyakit darah tinggi meningkat akibat daripada faktor-faktor yang tidak boleh dielakkan, namun tekanan darah tinggi boleh dikawal melalui penggunaan ubat yang betul dan berdisiplin. Kesan dan komplikasi akibat daripada permasalahan ini juga boleh dikawal dan dielakkan jika pesakit mengubah gaya hidup kepada yang lebih sihat.