Fakta Yang Masyarakat Perlu Untuk Ketahui Tentang Coronavirus Simptom, Pencegahan dan Rawatan

Penyakit Coronavirus; ketahui Simptom, Pencegahan dan Rawatannya- DoctorOnCall
Anonymous
Salam sejahtera doktor, saya merupakan ayah kepada dua orang anak. Ketika saya menulis soalan ini, isu Coronavirus sedang menular dan anak saya juga telah 3 hari mengalami demam panas dan batuk. Adakah anak saya mengalami jangkitan virus corona. Selain itu, benarkah bahawa virus ini boleh disebarkan melalui barangan online dari China ? Apa tidaknya, saya baru sahaja memesan barangan yang diperbuat serta di kilangkan di China. Saya bukanlah berkira akan wang ringgit, namun barangan tersebut boleh dikatakan mahal dan seboleh-bolehnya saya tidak mahu membazir. Adakah perkara ini benar dan jika doktor berkelapangan, bolehkah cerita lebih lanjut berkenaan dengan coronavirus? Terima kasih.
Anonymous
Salam sejahtera doktor, saya merupakan ayah kepada dua orang anak. Ketika saya menulis soalan ini, isu Coronavirus sedan... See More
Saringan Kesihatan PERCUMA
Mencegah adalah lebih baik daripada mengubati. Adakah anda sedia untuk melawan jangkitan? Ketahui dalam 5 minit!
Mula Saringan Kesihatan PERCUMA
Tahniah kerana sampai pada platform yang sebetulnya untuk mendapatkan informasi yang sahih. Saya memahami kebimbangan anda dan belakangan ini juga saya banyak mendapatkan soalan yang sama terutamanya dalam ruangan Forum DoctorOnCall. Benar bahawa simptom yang anak anda alami juga merupakan simptom jangkitan virus corona namun kebarangkalian anak anda mendapatkan jangkitan ini amatlah rendah jika anak anda tidak ada kontak rapat bersama pesakit yang poisitif virus corona ataupun berkunjung ke China dalam masa terdekat ini. Bagi menjawab soalan kedua pula, setakat ini masih belum ada bukti mengatakan bahawa virus boleh hidup lama di luar badan manusia iaitu lebih daripada 24 jam. Namun anda masih perlu untuk melakukan langkah pencegahan iaitu dengan mengelap permukaan barangan dengan menggunakan tisu yang diletakkan ‘sanitizer’.
Tahniah kerana sampai pada platform yang sebetulnya untuk mendapatkan informasi yang sahih. Saya memahami kebimbangan an... See More

Bagaimanakah Virus Ini Menjangkiti Manusia Dan Merebak?

Virus ini dikelaskan sebagai virus zoonotik yang membawa maksud organisma yang merebak melalui haiwan kepada manusia. Bagi virus 2019-nCov pula, ia dipercayai berasal daripada haiwan eksotik seperti ular dan juga kelawar yang dijual di pasar makanan laut di Wuhan, China. Dua pesakit terawal yang dikenalpasti merupakan penjual dan juga pelanggan tetap di pasar tersebut. Mereka pada awalnya menunjukkan simptom seperti demam, batuk dan sesak nafas.

Dalam erti kata lain, virus yang pada mulanya hanya terdapat pada haiwan eksotik ini boleh merebak kepada manusia dengan pelbagai cara iaitu sentuhan, pengendalian sebagai ternakan ataupun makanan. Sesama manusia pula, ia boleh merebak melalui cara berikut:

  1. Bersin ataupun batuk.
  2. Rembesan cecair daripada badan seperti hingus.
  3. Sentuhan seperti bersalaman.
  4. Sentuhan terhadap barangan seperti tombol pintu yang telah dicemari virus.
  5. Terkena najis yang telah dijangkiti virus ini.

Apakah Simptom Atau Gejala Yang Akan Dialami Pesakit?

Simptom infeksi virus Corona adalah sama seperti simptom yang ditunjukkan oleh jangkitan lain pada saluran pernafasan. Kelazimannya, virus ini akan menjangkiti saluran pernafasan bahagian atas yang merangkumi hidung, mulut dan kerongkong. Maka pesakit akan mengalami masalah seperti:

  1. Sakit tekak
  2. Batuk
  3. Selsema
  4. Demam

Harus juga diingat bahawa ia boleh menyebabkan jangkitan pada saluran nafas bahagian bawah yang meliputi saluran bronkus dan juga paru-paru. Hal ini akan lebih mudah untuk berlaku pada pesakit yang memiliki sistem imun yang lemah seperti pesakit kencing manis kronik, golongan warga emas serta pesakit HIV. Jika perkara ini berlaku, pesakit akan mengalami simptom seperti sesak nafas. Pada tahap yang lebih teruk lagi, pesakit mungkin akan mengalami masalah seperti berikut:

  1. Sindrom Pernafasan Akut Yang Terus (SARS) 
  2. Kegagalan buah pinggang
  3. Pneumonia (jangkitan paru-paru)
  4. Kematian

Apakah Langkah Pencegahan Daripada Dijangkiti Virus Ini?

Setiap sakit pastinya ada langkah pencegahannya yang tersendiri. Bagi sakit yang berkisarkan sistem pernafasan pula, kaedahnya hampir sama iaitu dengan menggunakan topeng muka. Topeng muka yang ideal bagi mencegah virus ini ialah topeng muka jenis 3ply yang juga digunakan untuk pembedahan ataupun topeng muka N95. Namun, majoriti masyarakat kurang peka akan cara penggunaan topeng muka yang betul. Sebaiknya seseorang itu haruslah menggunakan topeng muka dengan kaedah berikut:

  1. Bahagian berwarna hendaklah berada di luar.
  2. Topeng seharusnya menutupi hidung dan mulut.
  3. Bahagian berwayar di hidung hendaklah ditekan mengikut struktur hidung pemakainya.
  4. Ikat dan pakai dengan kemas.
  5. Jangan membuka dan meletakkan topeng ini pada dagu.

Selain topeng muka, seseorang perlulah untuk mempraktikkan langkah-langkah berikut:

  1. Mencuci tangan dengan sabun dan air.
  2. Elakkan daripada menyentuh mata, hidung atau mulut dengan tangan yang tidak dicuci.
  3. Jauhi daripada orang yang sakit terutamanya yang menunjukkan simptom jangkitan virus Corona.
  4. Elakkan daripada mengunjung kawasan tumpuan ramai orang
  5. Elakkan daripada memakan daging mentah atau yang tidak dimasak dengan sempurna
  6. Pastikan mulut dan hidung ditutup dengan tisu ketika batuk atau bersin dan buang tisu ke tong sampah
  7. Cuci permukaan objek atau barangan secara berkala.

Bagaimanakah Jangkitan Ini Dikesan Ataupun Didiagnos?

Pesakit yang mengalami simptom dan rekod perjalanan ke China terutamanya bahagian Wuhan perlu melakukan pemeriksaan kesihatan dengan segera. Pengamal perubatan akan mengambil serum yakni komponen dalam darah anda untuk melihat sama ada anda dijangkiti oleh virus ini. Selain itu, spesimen daripada saluran pernafasan anda iaitu pada kerongkong ataupun kahak boleh juga digunakan untuk mengesan virus ini.

Apakah Rawatan Bagi Jangkitan Virus Corona Dan Adakah Terdapat Vaksin Yang Boleh Diambil?

Untuk pengetahuan am, penggunaan antibiotik tidak membantu dalam membunuh virus ini kerana ia bukanlah berpunca daripada bakteria. Buat setakat ini pula, antiviral ataupun agen yang boleh digunakan untuk membunuh virus ini masih belum ditemui. Hal ini sama juga terhadap vaksin yang belum lagi wujud bagi mengekang virus ini. Bagi pesakit yang telah disahkan dijangkiti virus ini, mereka perlulah dikuarantin dan diasingkan di bilik khas bagi mengelakkan daripada menyebarkan virus ini pada orang lain.

Oleh hal yang demikian, rawatan yang boleh diberikan adalah untuk melegakan simptom yang dialami oleh pesakit. Antaranya:

  1. Berehat dengan secukupnya.
  2. Banyakkan minum air suam.
  3. Pengambilan ubat untuk melegakan demam dan sakit tekak.

Bagi pesakit yang berada pada tahap yang membimbangkan pula, mereka akan diberikan bantuan pernafasan mengunakan alatan ventilasi dan bantuan terhadap organ vital. 

Ketahui Sejarah Serta Fakta Tentang Virus Corona

Pada pertengahan bulan Disember 2019, dunia dikejutkan dengan wabak yang menyebabkan masalah pernafasan di bandar Wuhan, China. Takjubnya, virus tersebut tidak menyerupai apa-apa virus yang lazim dijumpai untuk menjangkiti saluran pernafasan manusia. Beberapa hari selepas itu, kerajaan China mengesahkan bahawa ia merupakan virus baru yang dipercayai terdiri daripada keluarga virus yang menyebabkan Sindrom Pernafasan Akut Yang Teruk (SARS) pada tahun 2002 dan Sindrom Pernafasan Timur Tengah (MERS) pada tahun 2012. Buat ketika ini, virus ini diberi nama sebagai 2019-nCov yakni Novel Coronavirus 2019. Untuk pengetahuan am, ia mendapat nama Corona kerana virus tersebut berbentuk seakan-akan crown iaitu Tiara dalam terma Bahasa Melayu.

References