Demam

Apakah Langkah Pencegahan Demam (Fever)

Baca Soalan

Bolehkan demam dicegah?

Jawapan untuk soalan di atas adalah “ya”. Kebanyakan penyakit yang diketahui puncanya boleh dicegah. Jika kita telah mempelajari dan memahami ciri-ciri dan punca-punca yang boleh menyebabkan demam, maka kita boleh mengambil langkah-langkah yang berkesan untuk mencegah demam.

Cara-cara pencegahan demam

Oleh sebab demam sering disebabkan oleh penyakit berjangkit seperti selesema dan influenza, maka pencegahan demam yang paling baik adalah dengan mengurangkan pendedahan kepada kuman-kuman yang menyebabkan penyakit berjangkit.

  • Pada permukaan tangan kita terdapat banyak kuman kerana kita menyentuh barang dan perkakas yang tercemar dengan menggunakan tangan kita. Oleh itu, pembasuhan tangan yang bersih adalah sangat penting terutamanya selepas bersentuh dengan orang lain seperti berjabat tangan, menyentuh perkakas yang tidak bersih dan selepas menjalankan aktiviti-aktiviti di luar rumah seperti berkebun dan bersukan. Gunakan kain atau sapu tangan yang bersih dan elakkan penggunaan tangan untuk menyentuh muka atau mulut. Kebersihan diri dan pesekitaran amatlah penting untuk mencegah demam terutamanya bagi golongan kanak-kanak yang sering demam.
  • Salah satu cara mencegah demam yang berkesan ialah mengelakkan penggunaan perkakas-perkakas orang lain. Perkakas-perkakas persendirian seperti tuala, berus gigi dan cawan harus digunakan oleh satu orang pemilik sahaja untuk mengelakkan kuman daripada merebak kepada orang lain.
  • Selain itu, jika ahli keluarga atau staf di tempat kerja menghidap demam, elakkan daripada berada berhampiran mereka. Jika ahli keluarga atau staf di tempat kerja tidak sihat, pemakaian topeng muka dan pembasuhan tangan yang kerap merupakan cara berkesan untuk mencegah demam. Orang yang menghidap demam seharusnya meminta cuti sakit dan berehat di rumah sahaja. Kaedah ini bukan sahaja mempercepat proses pemulihan malah ia juga membantu mencegah penyebaran kuman kepada orang lain.
  • Aktiviti-aktiviti yang fizikal yang terlampau boleh melemahkan sistem pertahanan kita dan menyebabkan demam. Oleh itu, pastikan anda mendapatkan rehat dan minum air yang secukupnya semasa menjalankan aktiviti fizikal. Pengambilan air yang secukupnya bukan sahaja membantu mencegah demam malah ia merupakan cara mengatasi demam yang berkesan kerana ia membantu merendahkan suhu badan semasa demam. Semasa bersenam, pakai pakaian yang selesa dan elakkan daripada bersenam semasa cuaca panas.
  • Bagi golongan yang mudah demam seperti kanak-kanak dan orang tua, vaksinasi untuk mencegah jangkitan kuman adalah sangat berkesan untuk mencegah demam. Jika anda merancang untuk melancong ke luar negara, anda digalakkan untuk mendapatkan informasi tentang penyakit berjangkit di negara tersebut dan mendapatkan vaksinasi yang sesuai sebelum bertolak.
  • Jika anda merupakan golongan yang bekerja dengan haiwan seperti penternak atau doktor haiwan, pastikan anda menggunakan pakaian dan perkakas perlindungan yang sesuai untuk mencegah kuman berjangkit dari haiwan.

Written by: SASHINI A/P SEENIVASAGAM

MBBS (Melaka-Manipal)

18 Aug 2018
Perlu Bantuan?