Ingin Berhenti Merokok? Bersediakah Anda Menghadapi Sarak Nikotin?

Berhenti Merokok Secara Mengejut. Kenali Sarak Nikotin - DoctorOnCall

Rokok Dan Nikotin

Pernahkah anda melihat seseorang yang cuba berhenti merokok tetapi amat sukar bagi mereka meninggalkan tabiat ini. Mengapa? Kerana salah satu bahan yang terdapat dalam rokok adalah nikotin. Nikotin boleh menyebabkan ketagihan dan tanpa bahan ini, perokok akan mengalami  sindrom sarak nikotin atau gejala penarikan nikotin. Mari ikuti artikel ini dengan lebih lanjut untuk mengenali apakah itu bahan nikotin dan bagaimana ia boleh menyebabkan sindrom sarak. Adakah anda bergantung kepada nikotin?

Apa Itu Sarak Nikotin

Purata seorang perokok menggunakan reseptor nikotin dalam masa sehari adalah 200 kali. Bayangkan sebatang rokok menghasilkan 20 getaran pada reseptor, 10 puntung rokok dalam masa sehari menghasilkan 200 getaran, setahun anggaran 70 000 kali tindakbalas kepada reseptor berlaku. Nikotin merupakan dadah di dalam tembakau yang mampu menghasilkan ketagihan dan beberapa kesan yang lain seperti: 

  • Meningkatkan emosi ke arah lebih baik

  • Mengurangkan tekanan

  • Mengurangkan sifat agresif atau mudah marah

  • Meningkatkan daya tumpuan seseorang dalam melakukan kerja

  • Mengurangkan selera makan

Nampak membahagiakan bukan? Namun kesan ini hanyalah sementara. Penggunaan nikotin dalam jangka masa yang panjang menyebabkan kebergantungan kepada nikotin. Ini bermakna, mereka yang merokok sukar berasa tenang dan mengawal emosi tanpa rokok. Hal ini disebabkan mereka kini telah bergantung kepada nikotin untuk menikmati perasaan-perasan ini. Bagi mereka inilah nikmat menghisap rokok. Namun bayangkan apa berlaku ketika mereka berhenti merokok secara mendadak? Semua nikmat ini akan hilang dari badan si perokok serta merta. Apabila seseorang cuba untuk berhenti merokok, otak akan memberi isyarat bahawa nikotin tiada lagi dalam badan. Keinginan untuk mendapat semula nikotin akan membuak-buak sehinggakan seseorang hilang fokus dalam apa-apa aktiviti yang mereka lakukan. Inilah dipanggil sindrom sarak nikotin (nicotine withdrawal syndrome) akibat kebergantungan seseorang terhadap nikotin. 


Gejala Sarak Nikotin

Keinginan dan ketagihan terhadap nikotin berlaku apabila sel-sel otak bertindak balas dengan reseptor nikotin dalam otak. Reseptor ini telah meningkat bermula daripada mulanya tabiat merokok dan berterusan walaupun seseorang cuba untuk berhenti. Ketika proses berhenti merokok, otak akan mula mengesan ketiadaan nikotin dan cuba untuk melaraskan kembali reseptor nikotin. Proses ini akan menyebabkan simptom sarak nikotin berlaku. Ia akan menyebabkan efek berhenti nikotin seperti: 

  • Keinginan terlampau kepada nikotin

  • Kebas-kebas di tangan dan kaki

  • Berpeluh 

  • Loya dan muntah-muntah

  • Kekejangan perut atau perut memulas

  • Sakit perut 

  • Pening kepala

  • Batuk 

  • Sakit tekak

  • Kesukaran untuk tidur

  • Hilang daya tumpuan

  • Keresahan 

  • Kemurungan 

  • Berat badan meningkat

Jadi bagaimana untuk berhenti merokok? Tentu sukar. Jangan bimbang, terdapat juga nikotin berhenti merokok yang boleh didapati dengan preskripsi doktor sekiranya ingin berhenti merokok. Jumlah nikotin jenis ini adalah terkawal bagi mengimbangi keperluan reseptor dalam otak. Namun nikotin jenis ini juga boleh menyebabkan gejala sindrom sarak sekiranya berhenti secara mendadak. Antara gejala yang mungkin berlaku adalah: 

Tempoh Sindrom Sarak Nikotin

Seseorang yang berfikir untuk berhenti merokok perlu bersedia untuk menempuh kesan berhenti nikotin yang lama. Nikotin terakhir yang dihisap biasanya akan hilang dari badan dalam tempoh 30 minit hingga 72 jam. Maka, gejala penarikan nikotin paling awal boleh dirasai oleh seseorang adalah selepas 30 minit. Gejala ini akan memuncak pada hari ke 2 dan ke 3 setelah berhenti merokok. 

Apa yang merisaukan adalah gejala ini juga akan berterusan dalam tempoh beberapa minggu atau bulan sebelum pulih sepenuhnya. Dalam tempoh inilah cabaran utama bagi perokok untuk melawan nafsu mereka. Ramai yang telah berjaya, ramai juga yang kecundang dalam tempoh ini.

Bagaimana Merawat Sindrom Sarak Nikotin ?

Sebelum berhenti merokok, anda di sarankan untuk mendapatkan khidmat nasihat ahli professional bagi membimbing anda. Proses pemulihan yang mengambil masa yang lama perlu di pantau oleh mereka yang bertauliah. Di Malaysia, kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia telah komited untuk menubuhkan Klinik Berhenti Merokok bagi memberi khidmat kaunseling dan bimbingan kepada mereka yang ingin berhenti. Terdapat satu terapi yang dipanggil Terapi Gantian Nikotin (Nicotine Replacement Therapy) untuk merawat ketagihan merokok dan nikotin. Anda juga boleh mendapatkan bantuan daripada institusi kesihatan swasta yang berdaftar.

Antara rawatan yang anda boleh pertimbangkan dalam terapi ini adalah: 

1. Tampalan nikotin (nicotine patch)

Mengikut kajian yang dilakukan, tampalan nikotin boleh membantu mengurangkan gejala sarak nikotin sebanyak 50-70 peratus. Tampalan nikotin ini boleh diletak pada bahagian kulit yang bersih dan tidak berbulu seperti dada, paha, dan lengan. Tampalan tersebut perlu dipakai sekurang-kurangnya 16 jam sehari.

2. Gula-gula getah nikotin dan lozenges nikotin

Perokok boleh menghilangkan keinginan merokok dengan mengunyah gula-gula ini. Ia boleh merawat gejala penarikan dalam tempoh masa yang singkat sahaja. Gula-gula ini mengandungi nikotin yang akan diserap melalui mukosa mulut. Makanan dan minuman boleh memberi kesan kepada penggunaan gula-gula ini. Oleh itu anda dinasihatkan untuk mengelakkan makan dan minum 15 minit sebelum makan gula-gula ini.

Gabungan tampalan nikotin yang berterusan dan makan gula-gula sekali sekala adalah cara yang paling berkesan dalam membantu seseorang berhenti merokok.

3. Inhaler nikotin dan semburan nikotin

Sedutan (inhaler) dan semburan nikotin mengurangkan kebergantungan terhadap nikotin yang diperoleh melalui rokok. Nikotin yang disembur akan masuk ke dalam salur darah melalui lapisan mukosa yang terdapat di dalam mulut.

Bahan ini sesuai digunakan oleh individu yang ingin berhenti merokok sama ada secara berkala ataupun serta merta. Keberkesanannya dapat ditingkatkan dengan menggabungkan tampalan nikotin bersama dengan semburan nikotin. Bahan ini bertindak dalam jangka masa yang panjang (long-acting) dan kebiasaannya digunakan sebanyak empat kali atau kurang dalam sehari, bergantung kepada perokok dan preskripsi yang diberikan oleh doktor. Menurut FDA, pengguna terapi gantian nikotin boleh menggunakan produk-produk di atas selama 8, 10, atau 12 minggu

Nikotin jenis inhaler dan spray memerlukan preskripsi daripada doktor. Walau bagaimanapun, kedua-dua inhaler dan semburan nikotin tidak terdapat di Malaysia. 

4. Ubat Berhenti Merokok

Varenicline merupakan bahan yang akan diberikan kepada perokok sebagai bahan pengganti nikotin. Ubat berfungsi dengan bercantum pada reseptor nikotin dan menghalang nikotin daripada bercantum pada reseptornya dan ini akan mengurangkan keinginan seseorang untuk merokok.

Untuk meningkatkan keberkesanan ubat ini kepada para perokok untuk berhenti merokok, ubat ini digunakan di dalam kempen berhenti merokok di mana perokok akan diberikan kaunseling dan sokongan di samping mengambil ubat ini untuk membantu mereka. 

Terdapat beberapa cara untuk menggunakan ubat ini; sama ada setelah menetapkan tarikh berhenti ataupun sebelum mempunyai tarikh. Kebiasaannya ubat ini diambil dalam 12 minggu bermula 1-2 minggu sebelum berhenti dan dosnya akan diubahsuai oleh doktor yang merawat anda untuk mengelakkan daripada anda mengalami kesan sampingannya seperti loya dan muntah. 

Bersediakah Anda Untuk Melalui Sindrom Sarak Nikotin ?

Selain daripada terapi gantian nikotin, ikuti tips di bawah bagi membantu anda mengatasi sindrom sarak nikotin.

1. Ketahui mengapa anda ingin berhenti.

Setiap individu mempunyai sebab tersendiri mengapa mereka ingin berhenti merokok. Ada yang berhenti demi kesihatan keluarga, ada pula untuk melangkah ke alam perkahwinan, ada juga kerana kesedaran mereka sendiri tentang bahaya rokok. Sentiasa ingatkan diri anda apa sebab-sebab anda mengambil langkah untuk berhenti merokok. Setiap kali anda cuba untuk mencucuh api ke rokok, bayangkan kemusnahan segala harapan anda yang tersemat selama ini. Jangan sia-siakannya.

2. Elakkan perkara yang mendorong anda merokok

Kadangkala anda bukannya ingin merokok, tetapi situasi sekeliling yang menjerumuskan anda ke arah merokok. Contohnya, kurangkan pergaulan dengan mereka yang merokok. Ini tidak bermaksud anda perlu putuskan tali persahabatan, cuma kurangkan bersama-sama mereka terutamanya apabila berkumpul melepak dan berbual kosong hanya untuk merokok. Cari apa yang telah mendorong anda untuk merokok, dan cuba elakkan perkara tersebut. Amalkan rutin baru yang membuatkan anda sibuk dan melupakan tentang rokok.

3. Mengawal tekanan dengan baik

Salah satu punca merokok dalam kalangan masyarakat adalah tekanan atau stres. Tidak kiralah stres di tempat kerja atau di rumah, minda anda telah diset untuk merokok bagi menghilangkan tekanan. Jangan mudah putus asa ! kawal emosi anda dengan baik. Lakukan tugas di pejabat dengan teratur, rehat sebentar daripada kerja, renggangkan otot anda dan ubah persepsi anda “stres, hisap rokok” kepada “stres, rehat sebentar.

4. Amalkan gaya hidup sihat

Lakukan aktiviti senaman atau bersukan sekurang-kurangnya 30 minit sehari, 3 kali seminggu. Aktiviti sebegini bukan sahaja menyihatkan badan, ia juga boleh mengalihkan tumpuan anda daripada rokok. Di samping itu, amalkan pemakanan yang sihat bagi menjamin kesihatan anda yang berpanjangan. Bukan sehaja senaman, anda juga boleh melakukan aktiviti seperti berkebun atau menghias rumah sebagai aktiviti untuk melupakan rokok.

5. Raikan kejayaan anda

Setelah anda berjaya untuk tinggalkan rokok sehari, seminggu atau sebulan, raikan kejayaan anda ini dengan perkara yang anda gemari. Gunakan wang untuk membeli rokok tersebut dengan pembelian lain yang lebih bermanfaat. Dengan cara ini, anda akan mula sedar bahawa telah banyak wang yang anda laburkan untuk rokok dan sebenarnya wang ini boleh digunakan untuk hobi anda atau membeli sesuatu yang lebih bermanfaat.

Kesimpulan

Melihat kepada simptom atau gejala yang akan dihadapi oleh si perokok apabila mereka cuba berhenti, kenapa masih ramai di luar sana masih suka untuk memulakan tabiat ini ? Masyarakat perlu lebih sedar tentang bahayanya merokok kepada kesihatan badan. Merokok bukan sahaja merugikan wang, ia juga merugikan kehidupan kita yang sepatutnya lebih bahagia tanpanya. Rujuk kepada doktor untuk berhenti merokok dari sekarang, anda pasti boleh!


Ingin berhenti merokok? Konsult doktor kami secara PERCUMA!

 


Rujukan:

* Inisiatif konsultasi doktor percuma disokong dan ditanggung sepenuhnya oleh DoctorOnCall