Hepatitis A

Bagaimana Diagnosis Penyakit Hepatitis A

Baca Soalan

  • Penyakit viral hepatitis A ialah sejenis penyakit hati yang disebabkan oleh jangkitan virus hepatitis A. Virus ini disebarkan melalui makanan atau air yang tercemar dengan sisa najis seseorang yang dijangkiti hepatitis A.
  • Oleh itu, penyakit ini berkait rapat dengan air atau makanan yang tidak bersih, sanitasi yang tidak mencukupi dan kebersihan diri yang tidak baik.
  • Berbanding dengan hepatitis B dan C, hepatitis A adalah berbeza kerana ia tidak menyebabkan penyakit hati yang kronik (jangka panjang) dan jarang membawa maut.
  • Walau bagaimanapun, ia tidak patut dipandang rendah kerana ia masih boleh menyebabkan gejala yang serius dan kegagalan hati akut (hepatitis fulminant), yang sering boleh membawa maut.
  • Penyakit hepatitis A tidak boleh dibezakan secara klinikal (melalui gejala-gejala yang dialami dan tanda-tanda yang dijumpai ketika pemeriksaan fizikal) daripada penyakit hepatitis akut yang lain.
  • Oleh itu, bagi jangkitan viral hepatitis diagnosis yang tepat perlu dilakukan menggunakan ujian-ujian makmal.


Ujian Diagnosis Hepatitis A

Bagi pesakit yang berisiko tinggi atau disyaki mempunyai jangkitan hepatitis A, sampel darah akan dikumpulkan untuk dianalisa menggunakan ujian lab diagnosis yang tertentu.

  • Ujian darah paling spesifik yang biasa dijalankan, membantu untuk mengesan antibodi Immunoglobulin M bagi virus hepatitis A (antiHAV IgM). IgM merupakan protein yang dihasilkan oleh sistem imun badan bagi melawan jangkitan.

  • Ujian tambahan termasuk ujian “reverse transcriptase polymerase chain reaction” (RT-PCR) untuk mengesan RNA virus hepatitis A (bahan genetik virus).

  • Ujian darah juga akan dilakukan untuk mengukur tahap enzim hati dan protein dalam darah bagi memantau tahap keradangan hati.

Keputusan Ujian Darah Hepatitis A

  • Ujian untuk anti-HAV IgM boleh menjadi positif dalam tempoh 5-10 hari selepas jangkitan hepatitis A berlaku.
  • Namun begitu, ujian lab diagnosis ini biasanya tidak lagi dapat mengesan jangkitan virus 4-6 bulan selepas jangkitan akut telah berlaku. Ujian ini juga boleh menunjukkan keputusan positif yang palsu setelah vaksin hepatitis A baru sahaja diberikan.
  • Oleh itu, ujian ini hanya akan dilakukan bagi sesiapa yang mempunyai simptom penyakit viral hepatitis.
  • Jumlah keseluruhan dua jenis antibodi anti-HAV (IgM dan immunoglobulin G) akan kekal positif bagi pesakit yang pernah dijangkiti hepatitis A atau sesiapa yang telah menerima imunisasi vaksin hepatitis A.
  • Tetapi, ujian ini tidak biasa dijalankan dan hanya berguna untuk mengenal pasti siapa yang berisiko tinggi tetapi belum diimunisasi.
  • Seseorang yang mengalami gejala-gejala jangkitan hepatitis A biasanya mempunyai peningkatan tahap enzim hati dalam aliran darah mereka yang menandakan keradangan hati telah berlaku.

Written by: Mohd Ramzdhan Bin Mohd Masdar

MD , Crimea State Medical University

18 Aug 2018
Perlu Bantuan?