Hepatitis A

Kenali Tanda Dan Gejala Penyakit Hepatitis A

Baca Soalan

Fungsi organ hati

  • Hepatitis A adalah sejenis penyakit yang menjejaskan hati manusia dan punca penyakit ini adalah virus hepatitis A.
  • Hati merupakan organ utama dalam proses metabolik tubuh di mana ia mencerna, menyerap dan memproses makanan, di samping mengekstrak tenaga dan, membantu membuang toksin yang merbahaya daripada tubuh.
  • Organ ini juga menghasilkan banyak protein penting untuk fungsi badan seperti albumin dan faktor pembekuan darah.
  • Hepatitis A tidak akan menyebabkan masalah kesihatan kronik hati seperti yang berlaku dalam kes jangkitan Hepatitis B dan C (masalah sirosis dan kanser hati).
  • Namun begitu, kita haruslah berjaga-jaga dengan kemungkinan hepatitis fulminant (kegagalan hati akut) yang boleh berlaku kerana walaupun insidennya sangat jarang ia boleh membawa maut.

Cara penularan hepatitis A

  • Virus hepatitis A ini menular melalui (faeco-oral) iaitu apabila seseorang individu yang tidak pernah dijangkiti virus ini ataupun tidak pernah menerima vaksin untuknya, makan minuman yang tercemar dengan najis atau air kencing individu yang telah dijangkiti.
  • Bahkan, seseorang boleh dijangkiti jika mereka minum air yang tercemar (termasuk kiub ais), makan kerang mentah atau kurang masak yang diambil dari air yang tercemar dan melakukan hubungan seks dengan seseorang yang mengalami jangkitan (terutamanya jika menyentuh laluan belakang mereka dengan jari, mulut atau lidah).
  • Individu yang mengalami jangkitan virus ini membawa risiko jangkitan paling tinggi dalam tempoh dua minggu sebelum mereka mula mengalami simptom Hepatitis A sehingga seminggu selepas itu.

Gejala hepatitis A

  • Secara purata, gejala hepatitis A berlaku empat minggu selepas individu dijangkiti, walaupun bukan semua yang mengalami jangkitan akan menunjukkan gejala.
  • Ciri-ciri penyakit hepatitis yang awal termasuk:
    • Letih

    • Sakit sendi

    • Hilang selera makan

    • Demam ringan (selalunya tidak melebihi 39C)

    • Sakit di bahagian atas kanan perut

    • Sakit tekak dan batuk

    • Sembelit atau cirit-birit

    • Ruam gatal

  • Ciri - ciri hepatitis A yang timbul lebih lewat adalah:
    • Kekuningan pada kulit dan putih mata (jaundice)

    • Air kencing berwarna gelap (warna “teh O”)

    • Najis berwarna pudar

  • Majoriti pesakit pulih sepenuhnya dalam masa beberapa bulan tetapi gejala-gejala tersebut boleh datang dan pergi selama 6 bulan.
  • Seperti yang dinyatakan di atas, walaupun jarang berlaku, kita harus berwaspada untuk kes kegagalan hati akut kerana ia boleh mengancam nyawa.
  • Simptom keadaan tersebut adalah:
    • Muntah teruk tiba - tiba

    • Lebih cenderung untuk lebam dan berdarah (contoh: gusi berdarah)

    • Mengalami masalah kurang daya ingatan dan tumpuan

    • Kekeliruan

Written by: Mohd Ramzdhan Bin Mohd Masdar

MD , Crimea State Medical University

18 Aug 2018
Perlu Bantuan?