Hepatitis A

Cara Pencegahan Penyakit Hepatitis A

Baca Soalan

  • Terdapat pelbagai cara mencegah penularan penyakit hepatitis A yang boleh digunakan di Malaysia dan di luar negara.
  • Pencegahan hepatitis A secara umum adalah dengan sentiasa memantau kebersihan makanan dan minimum terutamanya di premis-premis makanan.
  • Walaupun hepatitis A bukan merupakan penyakit berjangkit yang sangat biasa di Malaysia, rakyat Malaysia tetap digalakkan untuk mencuci tangan dengan bersih sebelum dan selepas makan serta mengambil makanan yang telah dimasak sepenuhnya sahaja.
  • Ulam-ulaman, buah-buahan dan sayur-sayuran harus dibasuh dengan air bersih sebelum makan. Semasa memasak dan menyediakan makanan, pastikan air dari sumber bersih sahaja yang digunakan.
  • Semasa melancong ke tempat asing, air yang mentah haruslah dielakkan. Minum air yang telah dimasak atau dibotolkan sahaja. Hindarkan minuman berais kerana air batu sering dihasilkan menggunakan air yang tidak diproses.
  • Di samping itu, elakkan dari berenang di dalam kolam, tasik atau sungai yang kotor dan tercemar.
  • Elakkan dari memakan kerang dan tiram mentah.
  • Semasa makan di luar, perhatikan kebersihan sekeliling dan perkakas seperti meja, kerusi, sudu, dan pinggan sebelum mengambil makanan di premis tersebut.
  • Jika seseorang itu merupakan orang yang menjaga orang yang lumpuh, penggunaan sarung tangan adalah sangat digalakkan untuk mengelakkan penyentuhan najis, darah atau cecair secara badan secara langsung.

Vaksin hepatitis A

  • Vaksin hepatitis A merupakan salah satu cara yang paling efektif untuk mencegah penularan hepatitis A. Terdapat pelbagai jenis vaksin hepatitis A di pasaran Malaysia tetapi semua vaksin tersebut adalah sama dari segi keberkesanan dan kesan sampingannya.
  • Di Malaysia, vaksin hepatitis A tidak tersenarai dalam program vaksinasi kanak-kanak. Namun demikian, vaksinasi hepatitis A boleh diperoleh di hospital atau klinik swasta jika diperlukan.
  • Golongan yang harus mendapatkan vaksinasi hepatitis A adalah:

· Pelancong ke negara asing yang mempunyai wabak hepatitis A endemik terutamanya negara Afrika, Amerika Selatan, Timur Tengah, China dan India

· Lelaki homoseksual

· Pengguna dadah

· Pesakit hepatitis kronik seperti pesakit hepatitis B dan hepatitis C

· Pekerja kesihatan di hospital, klinik dan pusat jagaan

  • Vaksin hepatitis A biasanya diberi dalam bentuk 2 dos. Dos pertama memberi perlindungan selama 12 bulan.
  • Dos kedua boleh mencegah hepatitis A selama 5 tahun bagi golongan kanak-kanak dan 10 tahun bagi golongan dewasa. Dos kedua biasanya diberi 6 hingga 24 bulan selepas pemberian dos pertama. Perlindungan hanya akan bermula 4 minggu selepas pemberian dos pertama.
  • Oleh itu, orang yang ingin melancong ke negara asing digalakkan untuk mendapatkan vaksinasi hepatitis A sekurang-kurangnya satu bulan sebelum bertolak.

Written by: Mohd Ramzdhan Bin Mohd Masdar

MD , Crimea State Medical University

18 Aug 2018
Perlu Bantuan?