Hepatitis A

Apakah Rawatan Penyakit Hepatitis A

Baca Soalan

Fungsi hati

  • Penyakit Hepatitis A yang berpunca daripada virus hepatitis A merupakan sejenis penyakit yang menjejaskan hati manusia.
  • Hati memainkan peranan penting dalam proses metabolik tubuh untuk mencerna, menyerap dan memproses makanan.
  • Hati juga membantu tubuh untuk mengekstrak tenaga daripada makanan dan membuang toksin yang berbahaya daripada tubuh.
  • Jangkitan hepatitis A tidak akan menyebabkan masalah kronik hati tetapi kita harus berwaspada dengan kemungkinan kegagalan hati akut (hepatitis fulminant), yang walaupun jarang berlaku, tetapi boleh mengancam nyawa.

Gejala hepatitis A

  • Gejala penyakit ini lebih ketara dalam orang dewasa berbanding kanak-kanak. Selepas dijangkiti, ia akan mengambil masa lebih kurang 4 minggu sebelum menimbulkan sebarang gejala.
  • Gejala awal hepatitis adalah kurang spesifik seperti yang disenaraikan di bawah:
    • Letih/lesu

    • Sakit sendi

    • Hilang selera makan

    • Demam ringan (selalunya tidak melebihi 39C)

    • Sakit tekak dan batuk

    • Sembelit atau cirit-birit

    • Ruam gatal

    • Sakit di bahagian atas kanan perut

Gejala yang timbul lebih lewat adalah:

    • Kekuningan pada kulit dan mata (jaundice)

    • Air kencing berwarna gelap seperti warna “teh O”

    • Najis berwarna pucat

Rawatan hepatitis A

  • “Penyembuhan hepatitis A berapa lama?” Suatu soalan yang sering dibangkitkan dan secara amnya akan memakan masa 6 bulan.
  • Ini kerana tidak ada rawatan khas untuk penyakit ini dan tubuh badan manusia akan menghapuskan virus tersebut dalam masa 6 bulan tanpa kerosakan berkekalan pada hati.
  • Oleh kerana itu, perawatan hepatitis A selalunya ditumpukan kepada cara-cara mengawal gejala pesakit.
  • Cara mengubati penyakit hepatitis adalah seperti yang berikut:
    • Mendapatkan rehat yang secukupnya, terutamanya semasa peringkat awal infeksi kerana pada masa tersebut majoriti pesakit akan berasa letih dan kurang tenaga.

    • Mengambil ubat tahan sakit seperti paracetamol dan ibuprofen hanya jika mengalami kesakitan. Nasihat doktor diperlukan untuk kuantiti ubat tahan sakit yang boleh diambil kerana ini bergantung kepada fungsi hati pada ketika itu.

    • Mengurangkan gatal dengan memastikan persekitaran sejuk, memakai pakaian yang longgar dan mengambil ubat antihistamin (hanya untuk kes gatal yang teruk).

    • Mengurangkan rasa mual dan muntah dengan mengambil makanan dalam kuantiti yang kecil tetapi kerap. Untuk mencegah dehidrasi, ia adalah digalakkan untuk minum banyak air.

    • Elakkan alkohol kerana dengan meminum alkohol, ia akan memberi tekanan tambahan kepada hati.

Pencegahan penyebaran jangkitan hepatitis A

  • Penyembuhan hepatitis A akan mengambil masa 6 bulan, dan selama itu, pesakit boleh menyebarkan jangkitan mereka kepada orang lain. Pesakit paling berjangkit dua minggu sebelum gejala timbul dan seminggu selepas gejala hilang.
  • Cara-cara untuk mencegah penyebaran jangkitan termasuklah:
    • Mengelakkan kerja atau sekolah sekurang-kurangnya sehingga seminggu selepas gejala bermula
    • Elakkan menyediakan makanan untuk orang lain
    • Basuh tangan dengan sabun (terutamanya selepas pergi ke tandas)
    • Elakkan berkongsi tuala
    • Basuh cucian berasingan pada kitaran panas dalam mesin basuh
  • Juga dinasihatkan untuk sesiapa yang mempunyai hubungan rapat dengan pesakit, seperti tinggal di rumah yang sama, untuk mendapatkan vaksin hepatitis A supaya boleh mengurangkan risiko mereka untuk dijangkiti.

Written by: Mohd Ramzdhan Bin Mohd Masdar

MD , Crimea State Medical University

18 Aug 2018
Perlu Bantuan?