Hepatitis C

Kenali Gejala Hepatitis C

Baca Soalan

Ciri-ciri hepatitis C

  • Hepatitis C merupakan sejenis penyakit yang menyebabkan radang hati yang akut atau kronik. Virus hepatitis C disebarkan melalui cecair badan seperti darah dan air mani.
  • Virus hepatitis C tidak mampu hidup lama di luar badan dan ia akan mati dalam masa beberapa jam sahaja. Namun demikian, jika virus hepatitis C berjaya memasuki badan, virus tersebut akan menjadi agresif dan boleh membawa gejala hepatitis yang serius.
  • Gejala Hep C biasanya tidak akan muncul serta merta selepas jangkitan virus berlaku. Jangka inkubasi virus hepatitis C adalah antara 2 minggu hingga 6 bulan.
  • Sindrom jangkitan hepatitis C akut akan muncul semasa proses inkubasi tersebut manakala sindrom jangkitan kronik akan muncul bertahun-tahun kemudian.

Tanda dan gejala hepatitis C

  • Pelbagai simptom hepatitis C telah dikenal pasti oleh pakar-pakar perubatan. Kebanyakan pesakit yang menghidap jangkitan hepatitis C akut tidak akan mengalami sebarang simptom.
  • Jika pesakit hepatitis C mengalami simptom, sindrom penyakit Hepatitis C biasanya adalah kurang spesifik seperti:
    • mudah letih dan tidak bermaya

    • sakit otot

    • sakit badan

    • sakit sendi

    • demam (jangkitan hepatitis C akut biasanya tidak akan menyebabkan demam panas yang serius)

    • loya dan muntah

    • kurang selera makan

    • kekeringan mulut dan bibir

    • sakit perut

    • ruam dan kegatalan kulit

    • air kencing yang berwarna gelap

    • Jaundice, iaitu kekuningan yang biasa berlaku di bahagian kulit serta putih mata

  • Oleh sebab tanda jangkitan hepatitis C adalah kurang spesifik, banyak pesakit yang tidak sedar bahawa mereka telah menghidap penyakit ini. Oleh itu, jangkitan hepatitis akut yang tidak dirawat akan menjadi jangkitan hepatitis C kronik.
  • Jangkitan hepatitis C kronik boleh menyebabkan sirosis hati. Sirosis hati merujuk kepada kematian sel-sel di hati dan organ hati akan menjadi keras dan tidak berfungsi dengan normal.
  • Sirosis hati boleh menyebabkan pelbagai jenis tanda dan gejala. Lebih teruk lagi, apabila pesakit mula mengalami simptom-simptom sirosis hati, ia bermakna bahawa hati pesakit telah rosak.
  • Gejala sirosis hati akibat jangkitan kronik hepatitis C merangkumi:
    • Keletihan dan kelemahan badan

    • Hilang selera makan

    • Kesusutan berat badan yang mendadak

    • Kesusutan otot-otot badan

    • Loya dan muntah

    • Kesakitan dan kepedihan di bahagian abdomen

    • Kegatalan kulit yang serius

    • Spider naevi atau garisan merah halus pada kulit

    • Kekuningan yang lebih gelap

    • Kulit yang mudah lebam

    • Keguguran rambut

    • Demam menggigil terutamanya pada waktu malam

    • Pitting oedema, iaitu bengkak di bahagian kaki yang disebabkan oleh pengumpulan cecair

    • Ascites, iaitu bengkak di bahagian abdomen yang disebabkan oleh pengumpulan cecair

    • Pendarahan hidung dan gusi

    • Kesukaran untuk tidur

    • Kekeliruan dan kesukaran untuk menumpukan perhatian

Written by: Dr M Ramzdhan

MD , Crimea State Medical University

18 Aug 2018
Tanya Doktor PERCUMA
Kunjungi ePharmacy