Hepatitis C

Ketahui Komplikasi Jangkitan Hepatitis C

Baca Soalan

  • Hepatitis C merupakan salah satu penyakit hepatitis yang paling berbahaya.
  • Seseorang pesakit hepatitis C boleh mengalami pelbagai jenis gejala yang berpunca dari komplikasi jangka pendek serta komplikasi jangka panjang hepatitis C.

Kesan jangka pendek hepatitis C

  • Hanya 15 peratus daripada pesakit yang menghidap jangkitan virus hepatitis C pada peringkat awal akan mengalami tanda-tanda jangkitan. 85 peratus daripada pesakit-pesakit tersebut tidak akan mengalami sebarang tanda.
  • Jangkitan virus hepatitis C yang akut biasanya menyebabkan gejala yang kurang spesifik seperti:
    • Kurang selera makan
    • Loya
    • Keletihan
    • Sakit otot
    • Sakit sendi 
    • Susut berat badan
  • Kekuningan atau “jaundice” jarang berlaku pada peringkat awal hepatitis C. Kadang kala virus hepatitis C boleh menyebabkan jangkitan serius yang boleh mengakibatkan kegagalan organ hati dan membawa maut.
  • Selain organ hati, virus hepatitis C juga berupaya menjangkiti bahagian badan yang lain seperti:
    • Buah pinggang
    • Sistem saraf 
    • Jantung
  • Jangkitan virus hepatitis C telah dikaitkan dengan pelbagai jenis penyakit lain seperti:
    • Vaskulitis atau radang pembuluh darah
    • Penyakit kelenjar tiroid
    • Kencing manis
    • Kekurangan platelet 
    • Radang buah pinggang
  • Selain itu, oleh sebab banyak pesakit hepatitis C tidak menyedari bahawa mereka telah menghidap jangkitan virus hepatitis C, golongan pesakit ini tidak mengetahui bahaya hepatitis dan akan menyebarkan virus tersebut kepada orang lain melalui hubungan kelamin tanpa perlindungan atau perkongsian jarum sesama pengguna-pengguna dadah.
  • Oleh itu, kesan buruk hepatitis C bukan sahaja membahayakan kesihatan sendiri malah mereka berupaya membawa kemudaratan kepada kesihatan orang lain.

Kesan jangka panjang hepatitis C

  • 80 peratus daripada pesakit yang terdedah kepada jangkitan virus hepatitis C akan menghidap hepatitis C yang kronik. Jangkitan hepatitis C yang kronik pula boleh menyebabkan sirosis hati.
  • Biasanya, pesakit yang menghidap hepatits C kronik tidak akan mengalami sebarang gejala sehingga peringkat akhir penyakit di mana sirosis hati telah berlaku.
  • Sirosis hati merujuk kepada kematian sel-sel di hati dan organ hati akan menjadi keras dan tidak berfungsi dengan normal.  
  • Bahaya hepatitis adalah apabila sirosis hati berlaku, pelbagai komplikasi akan wujud seperti:
    • Abdomen yang bengkak atau “ascites”

    • Kekuningan (jaundice)

    • Tubuh mudah lebam

    • Muntah darah yang disebabkan oleh perdarahan di esofagus

    • Najis hitam yang disebabkan oleh perdarahan ke dalam usus

    • Perubahan tingkah laku, kekurangan kepekaan, kekeliruan, sawan dan koma

  • Selain itu, kesan buruk hepatitis adalah sirosis hati akan meningkatkan risiko menghidap “hepatocellular carcinoma” atau kanser hati.
  • Selain kanser hati, risiko untuk menghidap kanser darah seperti limfoma juga akan meningkat. Pesakit yang menghidap sirosis hati biasanya tidak akan hidup untuk jangka masa yang panjang.
  • Pesakit sirosis biasanya akan meninggal dari komplikasi perdarahan esofagus yang terlalu banyak atau kanser hati.

Written by: Mohd Ramzdhan Bin Mohd Masdar

MD , Crimea State Medical University

18 Aug 2018
Perlu Bantuan?