Sakit Kepala

Penyebab Sakit Kepala Sering Menyerang

Baca Soalan

Gejala sakit kepala primari

Migrain

Migrain menyebabkan sakit kepala berdenyut yang biasanya berlaku di satu belah kepala pesakit. Tahap kesakitan adalah sederhana atau parah dan ia biasanya berlanjutan selama 4-72 jam tanpa rawatan. Migrain mungkin jarang berlaku atau menyerang beberapa kali sebulan dan ia boleh bertambah buruk dengan aktiviti fizikal, cahaya atau bunyi.

Gejala-gejala tambahannya adalah seperti

  • Loya dan muntah

  • Sensitif kepada cahaya, bunyi dan kadangkala bau

  • Kabur penglihatan

  • Pening yang mungkin diikuti oleh pengsan.

Sesetengah pesakit migrain mempunyai aura iaitu simptom amaran sementara sebelum sakit kepala berlaku. Contoh-contoh simptom:

  • Masalah visual di mana pesakit melihat pelbagai bentuk, cahaya berkelip atau bintik terang

  • Kebas pada tangan dan kaki

  • Lemah atau kebas pada muka atau satu sisi badan

  • Pening kepala

  • Kesukaran bercakap

  • Mendengar bunyi

Sakit kepala tegang (sakit kepala kerana tekanan)

Ciri-ciri sakit kepala kerana tekanan termasuk sakit kepala yang melibatkan keseluruhan kepala, seolah-olah kepala diikat ketat. Tahap kesakitan yang dialami adalah ringan atau sederhana.

Sakit kepala kluster

Sakit kepala kluster menyerang dengan pantas dan biasanya menjejaskan satu belah kepala. Kesakitan yang dialami juga boleh merebak ke bahagian badan lain seperti sakit kepala sebelah kiri sampai mata atau sakit kepala sebelah kiri menjalar ke leher.

Gejala-gejala lain termasuk:

  • Air mata berlebihan, mata merah atau bengkak mata di belah yang terjejas

  • Hidung berair

  • Muka pucat

  • Peluh

  • Sensitif pada cahaya dan bunyi

Gejala sakit kepala sekunder

Sakit kepala sekunder berlaku akibat penyakit yang lain. Ini bermaksud pesakit boleh mengalami pelbagai jenis gejala bergantung kepada penyakit yang sedang dialaminya. Secara umumnya, sakit kepala sekunder akan dipertimbangkan sekiranya terdapat tanda-tanda amaran atau jika sakit kepala tersebut:

  • Berlaku buat pertama kali

  • Tahap kesakitan adalah parah

  • Diikutii dengan pemeriksaan fizikal pesakit. Apabila sakit kepala berlaku bersama dengan gejala neurologi lain, kemungkinan terdapatnya masalah pada struktur otak

  • Mempunyai perubahan corak kitaran ulangan

  • Dialami oleh individu yang menghidapi kanser, HIV atau kehamilan

Red flags sakit kepala

Tanda-tanda amaran sakit kepala harus dikenal pasti awal kerana terdapat kemungkinan ia disebabkan oleh keadaan yang serius atau mengancam nyawa. Pesakit dinasihatkan mendapatkan rawatan dengan segera jika sakit kepala mereka:

  • Berlaku secara tiba-tiba dan parah

  • Berpanjangan dan semakin serius

  • Berlaku selepas kecederaan kepala

  • Sakit kepala terus menerus disertai mual

  • Terjadi secara tiba-tiba selepas batuk, bersin, perubahan postur atau senaman

  • Berlaku bersama simptom neurologi lain seperti lemah anggota badan, rasa kebas, kesukaran berjalan, masalah penglihatan, masalah bercakap dan kekeliruan

  • Mempunyai gejala tambahan seperti demam, sakit dan tegang pada leher, sakit pada rahang semasa mengunyah, masalah penglihatan, sakit pada mata atau mata merah

Written by: Dr M Ramzdhan

MD , Crimea State Medical University

18 Aug 2018
Tanya Doktor PERCUMA
Kunjungi ePharmacy