Sakit Kepala

Ketahui Apakah Langkah Pencegahan Sakit Kepala

Baca Soalan

Cara Mencegah Sakit Kepala

Terdapat pelbagai cara mengatasi sakit kepala yang telah ditemui oleh pakar-pakar perubatan. Pepatah Melayu ada menyebut bahawa “mencegah adalah lebih baik dari merawat”. Oleh itu, cara yang paling berkesan untuk mengatasi sakit kepala ialah mencegah sakit kepala daripada berlaku. Kaedah-kaedah pencegahan sakit kepala bukan sahaja akan mengurangkan jumlah serangan sakit kepala malah kesakitan yang dialami juga boleh dikurangkan.

  1. Bagi sakit kepala migrain, faktor-faktor yang mencetuskan sakit kepala ialah minuman beralkohol, minuman yang mengandungi kafein seperti kopi, keletihan, bunyi bising, cahaya terang, bau busuk, kurang tidur dan makanan tertentu.
    • Oleh itu, cara mengatasi migrain yang paling berkesan ialah dengan mengelakkan diri dari terdedah kepada faktor-faktor pencetus yang tersebut di atas.
  2. Stres dan tekanan emosi merupakan salah satu faktor yang paling lazim menyebabkan sakit kepala.
    • Oleh itu, kaedah-kaedah yang mengurangkan stres seperti mengisi masa lapang dengan hobi, senaman, meditasi, menarik dan menghembus nafas dalam dan mengambil cuti rehat adalah sangat berkesan untuk mencegah sakit kepala.
    • Di samping itu, tidur yang mencukupi juga berupaya mengecas tenaga badan dan mengurangkan tekanan emosi. Bantal dan tilam yang sesuai harus digunakan untuk menjamin tidur yang berkualiti.
  3. Bagi mereka yang bekerja di pejabat, sakit kepala sering berpunca dari ketegangan otot di bahagian bahu dan leher.
    • Ketegangan otot berlaku kerana mereka yang bekerja di pejabat sering mengamalkan posisi kepala yang tidak seimbang semasa menggunakan komputer atau membuat laporan.
    • Oleh itu, warga pejabat digalakkan untuk meluangkan sedikit masa untuk membuat senaman ringan selepas bekerja untuk beberapa jam.
    • Urutan di bahagian leher dan bahu juga membantu melegakan ketegangan otot.
    • Kedudukan kerusi, meja dan skrin komputer haruslah sesuai supaya tidak menyebabkan tekanan dan ketegangan pada otot di leher, bahu dan belakang badan.
  4. Kajian telah menunjukkan bahawa amalan diet yang sihat berkesan untuk mencegah sakit kepala.
    • Pengambilan daging tanpa lemak, buah-buahan dan sayur-sayuran segar harus ditingkatkan manakala makanan yang berlemak, berminyak, berkalori tinggi atau makanan segera(proses) haruslah dielakkan.
    • Selain itu, minum air yang secukupnya adalah sangat penting kerana kekurangan air di dalam badan akan meningkatkan risiko sakit kepala.
    • Di samping itu, tabiat merokok haruslah dihentikan dan tempat terbuka yang penuh dengan asap rokok haruslah dielakkan.
  5. Untuk sesetengah pesakit, ubat-ubatan boleh digunakan untuk mencegah serangan sakit kepala.
    • Sebagai contoh, ubat seperti propanolol boleh digunakan untuk mencegah serangan sakit kepala dalam kalangan pesakit migrain.
    • Selain ubatan, rawatan alternatif seperti chiropraktik, akupuntur dan aromaterapi juga boleh membantu mencegah sakit kepala.

Para pesakit digalakkan untuk berbincang dengan doktor untuk mendapatkan rawatan yang paling sesuai.

Written by: Mohd Ramzdhan Bin Mohd Masdar

MD , Crimea State Medical University

18 Aug 2018
Perlu Bantuan?