Badan Gemuk

Apakah Gejala Berlebihan Berat Badan & Obesiti (Kegemukan)

Baca Soalan

BMI dan Obesiti

Obesiti merupakan sejenis kondisi yang disebabkan oleh lemak berlebihan di dalam badan sehingga menyebabkan kesan negatif kepada kesihatan.

Mengikut kriteria yang telah ditetapkan oleh WHO, obesiti didefinisikan sebagai Body Mass Index atau bmi yang melebihi 30. Namun begitu, pakar-pakar perubatan di negara-negara Asia termasuk Malaysia sering mendefinasikan obesiti sebagai bmi kg yang melebihi 28 kerana saiz badan orang Asia adalah lebih kecil daripada orang Barat.

Gejala Obesiti

Obesiti boleh menyebabkan pelbagai tanda dan simptom. Gejala obesiti yang paling utama ialah kegemukan. Orang yang mengalami obesiti sering mempunyai lemak berlebihan di bahagian abdomen, paha, bawah lengan, leher dan muka. Selain itu, mereka akan mendapati bahawa pakaian lama mereka tidak lagi muat badan mereka dan mereka terpaksa memakai pakaian baru yang bersaiz lebih besar. Berat badan mereka juga adalah lebih tinggi berbanding dengan orang lain yang mempunyai ketinggian, umur dan jantina yang sama dengan mereka.

Selain perubahan bentuk badan, obesiti juga boleh menjejaskan kualiti kegiatan harian. Salah satu simptom obesiti yang paling ketara ialah keletihan, terutamanya semasa menjalankan aktiviti fizikal seperti berkebun, mencuci kereta dan bersenam. Sebarang aktiviti yang memerlukan tenaga yang banyak seperti berlari akan menyebabkan keletihan dalam masa yang pendek sahaja. Selain itu, mereka mudah menjadi tercungap-cungap dan sesak nafas semasa menjalankan aktiviti fizikal. Orang yang menghidap obesiti juga mudah berpeluh dan kondisi ini boleh menyebabkan bau badan yang kurang menyenangkan.

Orang yang menghidap obesiti selalu berasa tidak bermaya dan sering berehat kerana mereka menggunakan tenaga yang banyak untuk menggerakkan bahagian-bahagian badan mereka yang berat. Badan yang besar adalah lebih sukar untuk dikawal dan pergerakan dan refleks akan menjadi lebih perlahan. Tulang belakang dan bahagian kaki mereka terpaksa menampung berat badan mereka setiap hari. Oleh itu, mereka sering mengalami masalah sakit belakang, sakit pinggang dan sakit lutut. Selain itu, lemak yang berlebihan di bahagian leher akan menyebabkan tekanan kepada saluran pernafasan mereka. Justeru itu, orang yang mempunyai gejala obesiti sering berdengkur semasa tidur kerana saluran pernafasan mereka adalah lebih sempit.

Simptom obesiti tidak terhad kepada tanda-tanda fizikal sahaja. Obesiti sering dikaitkan kepada penyakit kronik yang lain seperti penyakit jantung, kencing manis, darah tinggi dan kanser. Mengikut keputusan kajian yang dikemukakan di forum obesiti, orang yang mengalami obesiti juga sering mengalami stress dan tekanan emosi yang berpanjangan. Mereka mempunyai keyakinan diri yang rendah dan sering dibuli kerana bentuk badan mereka kurang menarik. Kondisi ini akan meningkatkan risiko menghidap penyakit-penyakit psikiatrik seperti kumurungan, anorexia nervosa dan bulimia nervosa.

Written by: SASHINI A/P SEENIVASAGAM

MBBS (Melaka-Manipal)

18 Aug 2018
Perlu Bantuan?