Badan Gemuk

Punca dan Faktor-Faktor Obesiti (Berlebihan Berat Badan)

Baca Soalan

Punca-punca Obesiti

Obesiti merupakan sejenis kondisi yang kompleks di mana terdapatnya pengumpulan lemak yang berlebihan pada tubuh dan menyebabkan seseorang itu mengalami berat badan yang berlebihan. Badan kita memerlukan tenaga untuk berfungsi dengan berkesan. Apabila sumber tenaga yang diambil melebihi tenaga yang digunakan oleh badan kita, badan kita akan menyimpan sumber tenaga yang berlebihan dalam bentuk lemak. Terdapat pelbagai punca yang boleh menyebabkan obesiti.

Pemakanan Punca Obesiti

Pada zaman sekarang, faktor pemakanan punca obesiti yang paling utama.Gaya pemakanan yang kurang sihat juga merupakan punca obesiti di kalangan pelajar. Obesiti sering berpunca dari pengambilan kalori yang terlalu banyak daripada sumber karbohidrat dan lemak seperti nasi, tepung, roti, biskut, minuman manis dan makanan makanan digoreng. Bagi warga pelajar, kantin-kantin yang menjual makanan yang kurang sihat seperti ayam goreng, nuget, sosej, keropok dan minuman ais manis turut menyumbang kepada obesiti. Kemunculan pelbagai restoran makanan segera yang yang menjual makanan berkalori tinggi pada harga yang rendah serta peningkatan saiz hidangan di restoran-restoran tersebut turut menyebabkan peningkatan kadar obesiti dalam kalangan rakyat Malaysia.

Gaya Hidup Tidak Sihat

Selain pemakanan yang kurang sihat, kurang bersenam punca obesiti yang penting juga. Di Malaysia, banyak pekerjaan yang fizikal dahulu telah diganti dengan mesin-mesin. Di seluruh dunia terdapatnya perubahan dari kerja-kerja fizikal kepada kerja-kerja pejabat. Oleh itu, penggunaan tenaga dalam satu hari semakin berkurang kerana banyak pekerja di pejabat duduk di hadapan komputer sahaja. Beban pekerjaan yang makin meningkat juga menyebabkan banyak orang tidak mempunyai masa untuk bersenam selepas kerja. Selain itu, banyak orang lebih suka menghabiskan masa lapang mereka bermain dengan telefon atau berehat di rumah daripada bersenam di luar rumah.

Masalah Keturunan

Kajian-kajian telah mendapati bahawa anak-anak di mana ibu bapanya menghidap obesiti mempunyai risiko setinggi 80% untuk menghidap obesiti juga. Jika ibu bapa mempunyai berat badan yang normal, maka risiko anak-anak mereka untuk menghidap obesiti adalah dianggarkan pada 10% sahaja.

Punca-punca Lain

Stres punca obesiti yang penting terutamanya dalam kalangan pelajar dan orang dewasa. Sesetengah orang yang mengalami tekanan akan mengambil makanan yang berlebihan sebagai cara untuk mengurangkan stres. Selain itu, sesetengah penyakit seperti penyakit Cushing, kekurangan hormon tiroid dan sindrom polisistik ovari boleh menyebabkan obesiti. Obesiti juga boleh berpunca dari kesan sampingan ubat-ubatan seperti ubat hormon, ubat steroid dan ubat psikiatrik.

Kesimpulannya, obesiti merupakan masalah yang semakin serius di negara kita. Oleh itu, kempen kesedaran harus digiatkan agar rakyat mengetahui dan memahami punca-punca obesiti dan cara mengatasinya.

Written by: SASHINI A/P SEENIVASAGAM

MBBS (Melaka-Manipal)

18 Aug 2018
Perlu Bantuan?