Pedih Ulu Hati

Komplikasi Masalah Pedih Ulu Hati (Refluks)

Baca Soalan

Komplikasi pedih ulu hati

  1. Pedih ulu hati berpanjangan boleh mendatangkan pelbagai komplikasi fizikal dan mental. Salah satu komplikasi pedih ulu hati yang paling biasa ialah radang esofagus atau esophagitis.
    • Apabila lapisan mukosa di bahagian bawah esofagus terdedah kepada asid perut, tindak balas kimia akan berlaku dan lapisan mukosa esofagus akan menjadi terjejas. Kondisi ini akan menyebabkan keradangan esofagus. Keradangan esofagus yang berpanjangan boleh menyebabkan keperitan di bahagian bawah dada.
    • Selain itu, keradangan tersebut boleh menyebabkan perdarahan dan ulser di bahagian esofagus. Perdarahan esofagus ini biasanya tidak menyebabkan perdarahan akut yang teruk tetapi lama-kelamaan ia akan mengakibatkan anemia atau kekurangan darah di dalam badan.
    • Anemia sering menyebabkan simptom-simptom seperti keletihan, sesak nafas, sakit dada dan muka pucat.
  2. Radang esofagus yang kronik akan menyebabkan sejenis kondisi yang dikenali sebagai Barrett’s esophagus.
    • Kondisi ini adalah disebabkan oleh perubahan sel-sel di lapisan mukosa bahagian esophagus. Tindak balas kimia dari asid perut akan menjejaskan lapisan mukosa esofagus dan lama-kelamaan lapisan mukosa esofagus akan diganti oleh lapisan mukosa dari usus.
    • Lapisan mukosa usus yang tumbuh di bahagian bawah esofagus berupaya mencegah penjejasan oleh asid perut tetapi ia meningkatkan risiko menghidap kanser esofagus.
    • Adalah dianggarkan bahawa setiap pesakit Barrett’s esophagus mempunyai risiko sebanyak 3% untuk menghidap kanser esofagus setiap tahun. Kanser esofagus merupakan sejenis kanser yang sukar untuk dirawat.
    • Kanser esofagus di peringkat awal tidak menyebabkan sebarang tanda yang jelas. Oleh itu, jika seseorang pesakit kanser itu mula mengalami gejala seperti kesukaran menelan, ia bermakna bahawa kanser esofagus tersebut telah menjadi kanser peringkat lewat.
    • Untuk masa sekarang, rawatan berkesan untuk menyembuhkan kanser esofagus peringkat lewat belum ditemui lagi.
  3. Selain kanser esofagus, radang esofagus yang kronik juga boleh menyebabkan keketatan atau stricture di bahagian esofagus.
    • Kondisi ini akan menyebabkan kesukaran untuk menelan makanan. Biasanya, pesakit-pesakit akan menyatakan bahawa makanan akan tersangkut di bahagian kerongkong atau dada.
    • Akibatnya, pesakit-pesakit yang menghidap penyakit stricture sering hilang selera makanan dan berat badan mereka makin menyusut.
  4. Selain komplikasi fizikal, pedih ulu hati sering menjejaskan kualiti kehidupan pesakit-pesakit terutamanya bagi golongan wanita yang sedang mengandung.
    • Orang yang mengalami pedih ulu hati yang kronik akan mengalami tekanan emosi dan stres yang berlebihan kerana mereka sering berada dalam kesakitan.
    • Selain itu, pedih ulu hati juga sering menyebabkan batuk yang teruk dan kesusahan bernafas terutamanya pada waktu malam.
    • Akibatnya, banyak pesakit pedih ulu hati tidak dapat menikmati tidur yang berkualiti.
    • Kajian telah menunjukkan bahawa pesakit-pesakit pedih ulu hati mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk menghidap masalah insomnia dan penyakit kemurungan.

Written by: Sri Viknarajan A/L Puvendran

Universiti Hasanuddin, Indonesia – MEDICAL DEGREE (DR)

18 Aug 2018
Perlu Bantuan?