Kulat di Faraj

Apakah Rawatan Penyakit Kandidiasis (Candidiasis)

Baca Soalan

Rawatan untuk kandidiasis

Apabila doktor telah membuat diagnosis jangkitan kulat ini terhadap simptom-simptom yang anda alami, maka satu cara mengubati kandidiasis ini adalah dengan mengambil ubat antifungal atau anti-kulat.Rawatan yang diberikan adalah bergantung kepada tahap jangkitan yang anda alami. Berikut adalah rawatan yang tersedia untuk kandidiasis vulvovaginitis ataupun jangkitan kulat candida pada faraj wanita.

  1. Sekiranya anda hanya mendapat jumlah jangkitan yang tidak kerap yang datang bersama-sama dengan simptom yang tidak begitu teruk, maka ubat antifungal untuk faraj yang datang dalam pelbagai bentuk boleh digunakan hanya dalam masa tiga ke tujuh hari. Antara pilihan bentuk ubat adalah jenis krim sapuan, tablet, supositori dan salap.
  2. Miconazole, terconazole dan clotrimazole adalah ubat anti kulat yang paling kerap diberikan kepada pesakit dan ia terbukti berkesan dalam melawan jangkitan.
  3. Selain itu juga, sekiranya anda tidak mengandung, mungkin doktor akan memberikan anda ubat fluconazole untuk dimakan sebagai salah satu terapi kandidiasis vulvovaginitis. Ia hanya boleh diambil sekali. Walaubagaimanapun, adalah dilarang untuk anda membeli ubat-ubat yang telah dinyatakan di atas tanpa pengesahan dan kebenaran oleh doktor.
  4. Jika jangkitan anda boleh dikatakan amat teruk dan kerap berlaku sehingga memberi impak yang negatif dalam kualiti hidup anda, maka obat kandidiasis vulvovaginitis yang perlu diletakkan pada kawasan faraj perlu diambil setiap hari selama dua minggu. Kemudian ia diikuti dengan kekerapan sebanyak sekali seminggu selama 6 bulan.
  5. Anda juga akan diberikan lebih dari satu jenis ubat makan, mengikut pertimbangan doktor. Sekiranya masih tidak berkesan maka mungkin doktor akan menyarankan untuk penggunaan asid borik dalam bentuk pil supositori, dimana anda harus memasukkan ubat tersebut ke dalam faraj.
  6. Bergantung kepada syarikat yang mengeluarkan ubat, harga juga boleh menjadi berlainan. Anda boleh mengunjungi beberapa farmasi atau klinik untuk membuat perbandingan. Namun, kebiasaannya, harga obat miconazole yang paling kerap digunakan adalah antara 15 ke 30 ringgit Malaysia.
  7. Anda mungkin juga pernah mendengar satu ubat yang dinamakan sebagai metronidazole. Walaupun ia mempunyai penghujung yang sama dengan ubat antifungal yang lain (-azole), namun ubat ini tidak tergolong dalam kumpulan yang sama.
  8. Ia adalah sejenis antibiotik (digunakan untuk jangkitan bakteria) dan anti parasitik (untuk parasit seperti cacing). Oleh itu, pengobatan keputihan dengan metronidazole sama sekali tidak akan membuahkan hasil. Metronidazole digunakan untuk melawan jangkitan vaginosis bakteria dan trikomonas selain daripada jangkitan parasit di hati, otak dan usus manusia.
  9. Setakat ini, masih tiada lagi rawatan alternatif yang boleh dikatakan mujarab bagi melawan jangkitan kulat jenis candida ini. Adalah tidak digalakkan untuk anda memilih rawatan jenis ini dan mengendahkan pilihan perubatan moden kerana bimbang ia boleh merebak dengan lebih jauh lagi.

Written by: Dr Nur Syuhada Binti Zulkifli

Degree in Medicine, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

18 Aug 2018
Perlu Bantuan?