Penyakit Kelamin

Ketahui Komplikasi Penyakit Kelamin

Baca Soalan

Penyakit kelamin (STD) merupakan jangkitan yang menular melalui hubungan seks. STD boleh disebabkan oleh bakteria, virus atau parasit. Antara contoh penyakit kelamin adalah gonorea, herpes genital, jangkitan papillomavirus (HPV), chlamydia, syphilis dan HIV/AIDS.

Kejadian penyakit kelamin telah berlipat ganda jumlahnya terutama dalam kelompok umur 16-24 tahun. Hal ini berlaku kerana pendedahan kepada hubungan seksual pada umur yang terlalu muda dan pendidikan tentang seks yang tidak cukup.

Kebanyakan individu yang dijangkiti penyakit kelamin tidak menunjukkan sebarang simptom tidak kira yang baru dijangkiti atau yang telah dijangkiti untuk beberapa tahun. Ini menyebabkan penyebaran penyakit ini dengan lebih rancak. Tetapi apa yang lebih merisaukan adalah komplikasi yang berlaku kerana penyakit kelamin yang tidak dirawat.

Meskipun kadang-kadang penyakit ini tidak menunjukkan sebarang tanda pada luaran fizikal anda, namun hakikatnya, penyakit ini banyak menjejaskan kesihatan dalaman anda secara khususnya pada kesihatan sistem reproduksi anda.

Antara komplikasi yang boleh berlaku adalah:

  • Ketidakselesaan di kawasan kelamin
  • Kemandulan pada wanita dan lelaki
  • Kanser di kawasan genitalia
  • Penyakit radang pelvik atau lebih dikenali sebagai ‘Pelvic Inflammatory Disease (PID)’
  • Masalah epididymitis dan orchitis pada kaum lelaki dan komplikasi berkaitan dengan kehamilan (kehamilan ektopik, keguguran atau jangkitan STD pada janin).
  • Kesan penyakit kelamin terhadap kesuburan boleh menjejaskan pihak wanita dan pihak lelaki.
  • Ketidaksuburan wanita adalah disebabkan kerosakan pada tiub fallopian.
  • Kemandulan lelaki pula boleh disebabkan oleh jangkitan dalam testis yang mengurangkan sperma yang dihasilkan menjadikannya lebih sukar untuk hamil.
  • Perkara ini berlaku hanya apabila penyakit kelamin dibiarkan tidak dirawat dalam jangka masa yang lama.
  • Jangkitan dengan pelbagai STD, terutamanya yang menyebabkan penyakit ulser genital seperti herpes dan sifilis boleh meningkatkan kecenderungan anda untuk jangkitan HIV.
  • Apabila tidak dirawat, jangkitan ini boleh menjadikan HIV lebih mudah untuk masuk ke dalam badan jika terdedah.

Adakah penyakit kelamin boleh sembuh?

Penyakit kelamin pada peringkat awal amat mudah dirawat dengan antibiotik dan ubat yang sedia ada. Apabila sudah menjangkau pada peringkat komplikasi, STD menjadi lebih sukar untuk dirawat sepenuhnya.

Penyakit kelamin yang telah dirawat memerlukan perhatian juga kerana peluang untuk re-infeksi adalah amat tinggi dengan penyakit-penyakit ini. Anda harus rajin menghadiri temu janji dan ujian yang ditentukan oleh doktor.

Ia adalah amat penting untuk individu yang aktif secara seksual untuk mendapatkan ujian STD secara berkala atau sekurang-kurangnya setahun sekali. Anda harus selalu peka akan perubahan pada tubuh badan anda.

Written by: Dr Ilias Yee

MB BCh BAO (NUI), LRCPI, LRCSI, Fellow Open Medical Institute (Addiction), Fellow ASHM Leadership (Sexual Health & HIV Medicine)

18 Aug 2018
Perlu Bantuan?