Tiroid

Kenali Apakah Penyebab Penyakit Tiroid

Baca Soalan

Punca hipertiroid

  • Hipertiroid merujuk kepada kelenjar tiroid terlalu aktif dan menghasilkan hormon tiroid yang terlalu banyak. Terdapat pelbagai punca penyebab tiroid terlalu aktif yang telah dikenal pasti. Penyakit Graves, iaitu sejenis penyakit autoimun, merupakan salah satu punca tiroid terlalu aktif.
  • Penyakit Graves merupakan punca utama hipertiroid di banyak negara termasuk negara Malaysia. Penyakit Graves biasanya berlaku pada golongan wanita muda yang berumur 20 hingga 40 tahun.
  • Golongan wanita mempunyai risiko 8 kali ganda untuk menghidap penyakit Graves berbanding dengan golongan lelaki.
  • Penyakit Graves adalah disebabkan oleh antibodi-antibodi badan yang merangsangkan kelenjar tiroid untuk menghasilkan hormon tiroid yang berlebihan.
  • Selain penyakit Graves, goiter multinodular toksik juga merupakan salah satu punca tiroid terlalu aktif. Kondisi ini merujuk kepada ketumbuhan pada kelenjar tiroid yang terlalu aktif dan menghasilkan banyak hormon tiroid.
  • Bagi sesetengah wanita yang baru bersalin, mereka akan mengalami radang kelenjar tiroid yang dikenali sebagai postpartum thyroiditis (PPT). PPT akan menyebabkan hipertiroid tetapi ia biasanya akan sembuh sendiri dalam masa beberapa minggu tanpa sebarang rawatan.
  • Pengambilan makanan yang kaya dalam zat iodin seperti rumpai laut boleh meningkatkan penghasilan hormon tiroid dan menyebabkan hipertiroid.
  • Ubat-ubatan yang mengandungi hormon tiroid seperti levothyroxine serta ubat amiodarone, iaitu sejenis ubat untuk rawatan penyakit jantung, juga boleh menyebabkan hipertiroid.

Punca hipotiroid

  • Hipotiroid merujuk kepada kelenjar tiroid yang kurang aktif dan tidak berupaya menghasilkan hormon tiroid uang mencukupi. Terdapat pelbagai punca penyebab tiroid kurang aktif yang telah dikenal pasti oleh pakar-pakar perubatan.
  • Di negara-negara yang kurang maju, kekurangan zat iodin dalam pemakanan merupakan punca utama hipotiroid. Di negara-negara yang lebih maju pula, hipotiroid sering disebabkan oleh kegagalan fungsi kelenjar tiroid atau primary hypothyroidism.
  • Punca utama kegagalan fungsi kelenjar tiroid ialah penyakit Hashimoto. Penyakit Hashimoto merupakan sejenis penyakit autoimun yang lebih biasa berlaku pada golongan wanita berbanding dengan golongan lelaki.
  • Penyakit Hashimoto biasanya berlaku pada golongan wanita yang berumur 30 hingga 50 tahun. Selain penyakit Hashimoto, pembedahan tiroid, rawatan iodin radioaktif dan radioterapi terapi ke bahagian leher juga boleh menyebabkan kegagalan fungsi kelenjar tiroid.
  • Kondisi-kondisi yang menjejaskan kelenjar pituitari boleh menyebabkan hipotiroid. Hal ini demikian kerana kelenjar pituatari berfungsi merembeskan hormon TSH yang membolehkan kelenjar tiroid untuk menghasilkan hormon tiroid.
  • Jika kelenjar pituitari telah dirosakkan oleh kondisi-kondisi seperti pembedahan otak, ketumbuhan otak, perdarahan otak atau jangkitan kuman, maka hormon TSH tidak akan dihasilkan dan kelenjar tiroid akan berhenti berfungsi dengan normal.
  • Selain itu, ubat-ubatan seperti lithium dan amiodarone boleh menyebabkan hipotiroid.

Written by: Mohd Ramzdhan Bin Mohd Masdar

MD , Crimea State Medical University

18 Aug 2018
Perlu Bantuan?