Kencing Manis

Komplikasi Diabetes Jenis 1 (Kencing Manis Jenis 1)

Baca Soalan

Diabetes Jenis 1- Kesan Jangka Panjang

  • Terdapat pelbagai kesan diabetes yang boleh terjadi kepada pesakit yang menghidapnya disebabkan oleh pendedahan berterusan tubuh badan terhadap kadar gula yang lebih tinggi dari biasa.  
  • Secara ringkasnya, keadaan ini mampu mencederakan bahagian dalam dinding salur darah, seterusnya mengakibatkan tindak balas berantai yang mengganggu fungsi biasa organ-organ penting seperti:
    • jantung
    • otak
    • buah pinggang
    • mata
    • sistem saraf.

Komplikasi diabetes jenis 1

  • Seperti yang telah dinyatakan, kesan kencing manis terhadap pesakitnya amatlah berbahaya kerana ia boleh menjejaskan kualiti hidup atau pun meragut nyawa. Komplikasi untuk penyakit ini boleh dibahagikan kepada dua; iaitu komplikasi salur darah besar (makrovaskular) dan salur darah kecil (mikrovaskular).
  • Serangan jantung dan strok merupakan dua penyakit utama yang berada di dalam kategori komplikasi makrovaskular. Bagi komplikasi mikrovaskular pula, kerosakan buah pinggang, kecederaan pada sistem saraf dan masalah pada retina mata adalah keadaan yang berkemungkinan untuk dihadapi oleh invididu yang terjejas oleh diabetes jenis 1 ini.
  • Komplikasi diabetes tersebut walaubagaimanapun hanya akan hadir dalam jangka masa yang panjang. Jadi, adakah terdapat kesan jangka pendek untuk penghidap diabetes jenis 1?
  • Ya, para pesakit mempunyai peratusan yang tinggi untuk menghadapi suatu situasi yang dipanggil sebagai ‘diabetic ketoacidosis’ dimana pesakit mengalami paras gula yang tinggi yang menyebabkan kadar pernafasan meningkat dengan segera serta akan berada dalam keadaan keliru atau koma.
  • Demam, cirit-birit atau selsema boleh menjadi punca kepada berlakunya perkara ini, selain daripada tidak mengikut aturan suntikan insulin yang telah ditetapkan.

Kesan sampingan rawatan diabetes

  • Apabila insulin disuntik, paras gula di dalam darah akan menjadi normal. Namun, terdapat beberapa situasi dimana paras gula tersebut akan menjadi lebih rendah daripada kadar normal.
  • Ia dinamakan sebagai ‘hypoglycemia’.  
  • Apabila ia berlaku, pesakit akan:
    • Berpeluh
    • Pening
    • Loya atau muntah
    • Sakit kepala
    • Kabur penglihatan
    • Mudah marah
    • Mempunyai denyutan jantung yang tinggi 
    • Pengsan.
  • Sekiranya pesakit adalah kanak-kanak yang boleh bercakap, maka lebih mudah untuk penjaga mengesan gejala yang telah dinyatakan itu namun jika pesakit masih lagi kecil, maka penjaga harus selalu berwaspada dengan tingkah laku pesakit.

Langkah-langkah yang boleh diambil untuk mengurangkan kesan jangka panjang

  • Penjaga dan pesakit perlu mengetahui cara-cara untuk mengelakkan dari terdedah kepada bahaya kencing manisini. Perkara pertama yang perlu dititikberatkan adalah dengan mengetahui bahawa diabetes tidak boleh sembuh, namun dapat dikawal.
  • Oleh itu, rejim suntikan insulin yang telah ditetapkan oleh doktor perlulah diikuti setiap hari. Elakkan daripada terjebak dengan rawatan alternatif yang kadangkala boleh memburukkan lagi keadaan.
  • Setiap temujanji dengan doktor juga haruslah dihadiri dan diet pemakanan mestilah dijaga.

Written by: Mohd Ramzdhan Bin Mohd Masdar

MD , Crimea State Medical University

18 Aug 2018
Perlu Bantuan?