Gallstone

Kenali Gejala Batu Karang Hempedu (Gallstones)

Baca Soalan

  • Batu hempedu (Gallstones) boleh ditemui dalam pundi hempedu yang terletak di bawah organ hati anda. Ia berfungsi menyimpan jus hempedu yang berfungsi membantu mencernakan lemak.
  • Jus ini mengandungi:
    • kolesterol
    • air
    • lemak
    • protein
    • garam
    • bilirubin (bahan akhir sel darah merah yang telah dimusnahkan)
  • Apabila ketidakseimbangan bahan-bahan kandungannya berlaku, batu hempedu akan terbentuk. Ia boleh wujud dalam pelbagai bentuk, bilangan, saiz dan warna seperti yang dilihat dalam gambar batu hempedu.

Gejala / Simptom batu hempedu

  • Batu hempedu biasanya tidak menyebabkan sebarang gejala. Tetapi, jika saluran hempedu tersumbat, gejala batu hempedu akut yang paling kerap berlaku ialah kesakitan perut (kolik bilary).
  • Kesakitan ini:
    • Adalah tajam

    • Di bahagian tengah perut/ di bawah rusuk sebelah kanan perut

    • Boleh merebak ke sisi perut atau bahu

    • Tidak kerap dan mungkin berulang selepas beberapa minggu/ bulan

    • Berterusan beberapa minit atau sehingga 1-5 jam.

    • Boleh ditemani gejala lain seperti peluh berlebihan, loya dan muntah

  • Pada tahap ini, sekatan saluran hempedu adalah sementara dan gejala batu hempedu ringan boleh hilang sendiri.

Tanda-tanda penyakit batu hempedu

  • Jika penyumbatan kekal berlaku atau jika bahagian lain di dalam sistem pencernaan tersekat, gejala hempedu bermasalah lain boleh timbul. Sekatan secara kekal menyebabkan pengumpulan hempedu berlebihan di dalam hati.
  • Bilirubin di dalam jus hempedu kemudiannya melimpah ke dalam sistem aliran darah dan berkumpul di kulit atau lapisan mukosa.
  • Ini boleh menyebabkan:
    • kulit dan mata seseorang menjadi kuning (jaundis)
    • air kencing menjadi warna gelap
    • najis berwarna pucat 
    • kulit menjadi gatal
  • Pengumpulan hempedu akibat sekatan saluran hempedu juga boleh mengakibatkan radang hempedu (cholecystitis akut) sehingga menyebabkan:
    • Sakit bahagian atas perut yang boleh merebak ke arah bahu anda, yang biasanya berlangsung lebih lama dari 5 jam

    • Demam tinggi

    • Degupan jantung cepat

  • Radang hempedu ini kemudiannya boleh meningkatkan risiko jangkitan kuman sehingga menyebabkan empyema (pengumpulan nanah) di dalam pundi hempedu.
  • Simptom awalnya adalah serupa radang hempedu.
  • Tetapi jika penyakit ini tidak dirawat, pundi hempedu boleh berlubang.
  • Kandungannya boleh melimpah ke dalam rongga perut sehingga menyebabkan keradangan lapisan dalaman perut (peritonitis) dan jangkitan darah (sepsis) yang mengakibatkan:
    • Perut yang tegang dan amat sakit untuk ditekan

    • Kekeliruan

    • Tekanan darah rendah

    • Degupan jantung cepat

  • Saluran hempedu juga berisiko dijangkiti bakteria (ascending cholangitis) dan boleh menyebabkan:
    • Sakit bahagian atas abdomen

    • Demam tinggi

    • Jaundis

  • Apabila batu hempedu terkeluar dari pundi hempedu dan menghalang saluran pankreas, ini menghalang aliran jus pankreas sehingga mengakibatkan keradangan pancreas akut (pankreatitis akut).
  • Tanda batu hempedu telah menyekat saluran pankreas termasuk:
    • Sakit tiba-tiba di bahagian atas perut yang boleh merebak ke bahagian belakang, menjadi lebih teruk selepas makan dan dilegakan apabila melengkung ke hadapan

    • Muntah

    • Cirit-birit

    • Hilang selera makan

    • Suhu tinggi

    • Jaundis

Written by: Mohd Ramzdhan Bin Mohd Masdar

MD , Crimea State Medical University

18 Aug 2018
Perlu Bantuan?