Psoriasis

Bagaimana Mengetahui Diagnosis Psoriasis?

Baca Soalan

Psoriasis-Diagnosis

  • Secara kebiasaannya, walaupun terdapat banyak penyakit lain yang boleh menyerupai simptom-simptom dan tanda-tanda psoriasis, diagnosis boleh dicapai secara klinikal.
  • Antara penyakit lain yang mempunyai persamaan dengan psoriasis adalah dermatitis seborea yang secara utamanya melibatkan:
    • Kulit kepala
    • Telinga
    • Celahan jari atau paha
  • Selain itu, kronik liken simpleks, dermatitis atopic, ekzema, dan jangkitan kulat pada kulit juga perlu diambil kira di dalam proses bagi memperolehi diagnosis tersebut.

Pemeriksaan fizikal untuk psoriasis

  • Oleh kerana psoriasis boleh muncul di mana-mana bahagian kulit, maka doktor akan meminta izin untuk melihat anggota badan pesakit secara kesuluruhan. Tidak perlu untuk berasa risau dan tidak selesa kerana pemeriksaan ini dilakukan di dalam bilik yang tertutup dan ditemani oleh jururawat.
  • Privasi dan kehormatan pesakit dijaga dengan baik oleh doktor yang professional dan beretika.
  • Doktor akan melihat dan mengesan sebarang plak yang terjadi disebabkan oleh psoriasis ini. Pemeriksaan dibuat bermula dari kulit kepala, belakang telinga sehingga ke hujung kaki.
  • Apabila plak telah dikenalpasti, maka diagnosis kebiasaannya boleh dicapai serta-merta, namun ianya adalah berdasarkan pengalaman doktor tersebut.
  • Selain daripada plak, doktor juga akan cuba mencari tanda-tanda lain yang boleh menyokong diagnosis psoriasis ini seperti kemerahan di kawasan yang jarang berlakunya plak, dan pendarahan yang berlaku apabila plak tersebut cuba untuk digaru atau dicabut oleh pesakit.
  • Maklumat lain yang mungkin diperlukan oleh doktor sebelum membuat diagnosis adalah sejarah ubat-ubatan yang diambil kerana sesetengah ubat boleh menjadi penyebab berlakunya penyakit ini.
  • Di samping itu juga, psoriasis merupakan salah satu tanda bagi jangkitan HIV, jadi pesakit juga akan diajukan beberapa soalan yang mungkin bersifat peribadi.

Apakah ujian makmal untuk psoriasis?

  • Jarang sekali ujian makmal psoriasis ditawarkan oleh doktor untuk dilakukan kepada pesakit. Walaupun terdapat banyak kemungkinan bahawa penilaian yang dilakukan adalah salah oleh kerana terdapat banyak diagnosis lain seperti yang telah dinyatakan di atas, kombinasi pemeriksaan fizikal bersama maklumat daripada pesakit boleh mengurangkan kebarangkalian tersebut.
  • Sekiranya pemeriksaan klinikal tidak dapat memberikan maklumat yang cukup kepada doktor, maka barulah ujian makmal akan dibuat ke atas pesakit.
  • Biopsi kulit akan dilakukan dimana doktor akan mengambil sedikit tisu daripada kulit yang terlibat. Seterusnya analisis akan dijalankan oleh pihak makmal dan keputusan boleh diperolehi dalam masa yang terdekat.
  • Buat masa sekarang, tiada lagi ujian makmal lain yang disediakan bagi mengesahkan status psoriasis seseorang itu.


Written by: Dr Nur Syuhada Binti Zulkifli

Degree in Medicine, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

18 Aug 2018
Tanya Doktor PERCUMA
Kunjungi ePharmacy