Psoriasis

Apakah Komplikasi Penyakit Psoriasis?

Baca Soalan

  • Ramai yang mungkin berpandangan bahawa penyakit yang melibatkan kulit tidak mampu untuk memberi kesan yang serius kepada kesihatan seseorang secara amnya. Walau bagaimanapun, persepsi ini adalah salah, lebih-lebih lagi sekiranya ia melibatkan psoriasis.
  • Terdapat beberapa kesan dan komplikasi bagi penyakit ini yang tidak harus dipandang enteng.

Kesan psoriasis

  • Kesan psoriasis terhadap individu yang terlibat boleh dibahagikan kepada dua; kesan kepada tubuh badan dan kesan terhadap kesihatan mental. Impak terhadap tubuh badan seseorang itu berlaku kerana kulit yang sihat biasanya berfungsi untuk:
    • Mengawal suhu badan
    • Mengawal kelembapan 
    • Melindungi tubuh daripada serangan kuman atau virus
  • Apabila psoriasis menyerang, pesakit akan terdedah kepada risiko dehidrasi atau kehilangan air, jangkitan dan penurunan suhu badan yang ketara sehingga kadangkala boleh mengganggu jantung dan buah pinggang.
  • Bagi kesan psoriasis kepada kesihatan mental pula, banyak kajian telah membuktikan bahawa penyakit ini mempunyai hubungan yang jelas dengan pelbagai masalah psikiatrik seperti skizofrenia.
  • Oleh itu, adalah bukan sesuatu yang luar biasa bagi pesakit psoriasis untuk menghadapi masalah ini. Selain itu, oleh kerana imej badan, individu yang menghidap psoriasis juga tidak mempunyai keyakinan diri yang tinggi, seterusnya boleh membawa kepada masalah di tempat kerja dan di rumah.
  • Stigma masyarakat bahawa psoriasis boleh berjangkit perlu dihentikan dengan secepat mungkin untuk membantu pesakit membina jati diri yang lebih utuh.
  • Implikasi ubat rawatan juga boleh menjadi antara kesan sampingan penyakit psoriasis. Krim sapuan steroid adalah ubat yang diberikan secara normal oleh doktor kepada pesakit. Walaupun mujarab, ia boleh membuatkan kulit menjadi:
    • Kemerahan
    • Panas
    • Berubah warna
    • Gatal-gatal
    • Tumbuh jerawat 
    • Kering 

Komplikasi psoriasis

  • Antara 10 hingga ke 30% pesakit yang terjejas dengan psoriasis akan mengalami suatu keadaan yang dinamakan sebagai ‘psoriatic arthritis’. Ia merupakan sejenis radang sendi yang menjadikan sendi dan tisu lembut di sekelilingnya keras dan sakit, seperti osteoartritis yang banyak berlaku kepada lutut warga-warga emas.
  • Perbezaannya adalah artritis jenis ini boleh melibatkan:
    • Sendi leher
    • Tulang belakang,
    • Jari kaki dan tangan
    • Sendi tumit
  • Tanpa pengawasan dan rawatan yang betul, ia boleh melumpuhkan pesakit.
  • Selain itu juga, psoriasis dikaitkan dengan serangan jantung. Melalui beberapa mekanisme yang kompleks, keadaan di dalam badan pesakit psoriasis meningkatkan risiko kepada berlakunya proses yang menggangu aliran darah ke jantung.
  • Ia seterusnya boleh menyebabkan salur darah jantung menjadi tersumbat dan jantung akan kekurangan oksigen. Walaupun agak jarang berlaku, pesakit haruslah sentiasa berhati-hati dan menjaga kesihatan diri.
  • Jauhkan diri daripada perkara yang boleh menyebabkan episod serangan psoriasis daripada terjadi.

Written by: Dr Nur Syuhada Binti Zulkifli

Degree in Medicine, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

18 Aug 2018
Perlu Bantuan?