Psoriasis

Pencegahan Dan Cara Megatasi Penyakit Psoriasis

Baca Soalan

Pengenalan

  • Psoriasis adalah penyakit kulit yang kronik. Terdapat beberapa jenis penyakit kulit psoriasis. Antaranya adalah psoriasis jenis plak, yang menyebabkan sel-sel kulit tumbuh dengan tidak normal di mana sel-sel kulit baru tumbuh di atas kulit sedia ada.
  • Sel-sel tambahan ini menyerupai ketebalan yang tidak sekata, nampak berkilat, kering dan kegatalan yang bewarna merah yang kadangkala menyakitkan.
  • Menurut Persatuan Dermatologi Malaysia, satu kajian yang dijalankan berdasarkan statistik populasi di Malaysia pada tahun 2010 menganggarkan sebanyak 500,000 hingga 800,000 rakyat Malaysia menghidap penyakit psoriasis.
  • Penyebab sebenar psoriasis tidak diketahui. Walau bagaimanapun, psoriasis kerap kali dihidapi oleh mereka yang mempunyai sejarah keluarga.
  • Gejala psoriasis berbeza antara individu.
  • Antara gejala yang biasa dihidapi termasuklah:
    • Tompok merah pada permukaan kulit yang mempunyai sisik yang berkilat

    • Kulit kering dan merekah yang mungkin berdarah

    • Gatal-gatal, sakit, atau rasa pedih membakar pada kulit

    • Kuku kelihatan padat, tidak sekata dan bergelung

    • Sendi bengkak

Cara mengawal penyakit psoriasis:

  • Tiada penawar yang berjaya ditemui untuk penyakit psoriasis. Gejala ini boleh datang dan pergi tetapi terdapat beberapa kaedah untuk mengawal keadaan kulit dengan mengelakkan pencetus yang diketahui.
  • Oleh itu, penting untuk mengenal pasti faktor-faktor tertentu yang menyebabkan gejala anda bertambah teruk dan perkara yang dapat melegakannya.

Antaranya cara untuk kawal psoriasis adalah:

Tangani tekanan kehidupan harian dengan cara yang efektif

  • Tekanan kehidupan harian boleh memberi kesan negatif terhadap sesiapa sahaja. Bagi pesakit yang menghadapi masalah kulit psoriasis, stres boleh menjadi pencetus.
  • Tubuh pesakit lebih cenderung untuk mendapat reaksi keradangan apabila dalam keadaan stres.
  • Berikut adalah beberapa kaedah untuk dicuba:
    • Psikoterapi- Anda mungkin berasa lebih tenang selepas bercakap dengani ahli terapi mengenai keadaan anda dan faktor lain yang mungkin menyebabkan stres dalam hidup anda.

    • Yoga- Melegakan kecelaruan minda dan badan

    • Teknik meditasi- Mengulang sejenis mantra atau melakukan senaman pernafasan dalam boleh membantu mengurangkan tekanan.

Elakkan ubat-ubatan tertentu

  • Beberapa jenis ubatan tertentu boleh menganggu tindak balas tubuh terhadap sistem imunisasi yang menyebabkan keradangan dan seterusnya mengakibatkan psoriasis.
  • Ubat-ubat ini termasuk:
    • Litium- ubat yang digunakan untuk merawat gangguan mental seperti kemurungan manik

    • Ubat antimalaria- Contohnya: chloroquine dan hydroxychloroquine (Plaquenil), yang digunakan untuk mencegah malaria

    • Indomethacin (Indocin)- ubat untuk mengurangkan keradangan bagi merawat masalah sendi.

  • Pastikan anda berbincang dengan doktor tentang ubat-ubatan yang anda ambil. Doktor anda boleh menukar dos atau jenis ubat jika mereka mengesyaki ubat anda merupakan faktor pencetus kepada keadaan kulit anda.
  • Jangan berhenti mengambil ubat anda tanpa berbincang dengan doktor anda terlebih dahulu.

Mencegah kecederaan kulit

  • Kecederaan pada kulit boleh mengakibatkan psoriasis bagi sesetengah pihak. Ini dikenali sebagai fenomena Koebner (Koebner’s phenomenon). Keadaan ini berlaku apabila pesakit mendapat luka baru pada permukaan kulit yang tidak diserang psoriasis dan kemudian kepingan plak psoriasis muncul pada bahagian tersebut.
  • Anda harus mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengelak munculnya plak psoriasis ini. Hal ini kerana hanya kecederaan kulit yang biasa seperti terkena calar atau terkena sinaran matahari boleh mengakibatkan keadaan kulit tersebut.
  • Oleh itu, anda harus sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga, termasuklah:
    • Menggunakan krim pelindung matahari (SPF50) dan memakai topi apabila terdedah pada cahaya matahari

    • Memakai pakaian lengan panjang dan sarung tangan semasa berkebun

  • Hubungi doktor anda dengan segera jika anda dapati gejala psoriasis muncul selepas kecederaan kulit. Fenomena Koebner boleh dirawat dengan berkesan jika dikenal pasti dengan lebih awal.

Elakkan jangkitan

  • Jangkitan adalah faktor pencetus psoriasis kerana ia menjejaskan sistem imunisasi dan menyebabkan keradangan. Jangkitan saluran pernafasan oleh Streptococcus khususnya, dikaitkan dengan “psoriasis guttate”, terutamanya kepada kanak-kanak.
  • Walau bagaimanapun, psoriasis boleh berlaku selepas sakit telinga, jangkitan pada tonsil, atau jangkitan kulit.
  • Adalah penting untuk mendapatkan rawatan segera jika anda mengesyaki anda terkena jangkitan. Sekiranya anda mengalami kecederaan kulit, seperti calar atau luka, pastikan untuk membersihkannya dengan betul dan pastikan ia dilindungi untuk mencegah jangkitan.
  • Cara lain untuk mencegah jangkitan termasuklah:
    • cuci tangan anda secara kerap sepanjang hari

    • elakkan berkongsi makanan, minuman, atau peralatan makan dengan orang lain

    • hadkan pergaulan dengan orang sakit, terutamanya kanak-kanak

Makan makanan yang sihat

  • Obesiti atau masalah berat badan berlebihan boleh mengakibatkan gejala psoriasis bertambah teruk. Oleh itu, penting untuk menguruskan berat badan anda dengan bersenam dan makan makanan yang sihat.
  • Pemakanan pesakit psoriasis haruslah merangkumi makanan yang seimbang seperti ikan yang kaya dengan omega seperti salmon dan tuna, kekacang seperti badam dan juga sayur-sayuran hijau.
  • Para pesakit juga perlu mengelakkan diri dari memakan makanan yang boleh menyebabkan keradangan seperti daging merah, tenusu, makanan yang tinggi dengan kandungan gula dan lemak dan makanan yang diproses.
  • Anda juga boleh mendapat manfaat dari pengambilanl vitamin atau makanan tambahan jika diet anda kurang nutrien tertentu. Pastikan anda berunding dengan doktor atau pakar pemakanan sebelum menambah vitamin atau mengambil makanan tambahan.
  • Berikut adalah beberapa cara mengatasi kulit kering bersisik dan gatal yang boleh anda lakukan dengan bahan yang ada di rumah anda:
    • Gunakan losyen atau Vaseline untuk menjaga kelembapan permukaan kulit anda sekerap yang mungkin

    • Elakkan berjemur di bawah sinaran matahari. Namun begitu, sejumlah cahaya matahari yang sederhana dapat meningkatkan pengeluaran vitamin D, yang mungkin berkesan dalam mengawal keadaan kulit.

    • Jikalau anda mempunyai permukaan kulit yang merekah atau luka, sapukan krim berasaskan minyak pada permukaan tersebut.

Perubahan gaya hidup untuk mengatasi psoriasis

  • Elakkan pengambilan alkohol

  • Kurangkan pengambilan tomato dan makanan yang mengandungi tomato

  • Banyakkan melakukan meditasi, yoga, bersukan dan aktiviti yang boleh membawa ketenangan diri

Kesimpulan

  • Mengenal pasti pencetus penyakit kulit anda sangatlah penting untuk mengurangkan atau mencegah gejala psoriasis. Jikalau anda mengambil ubat tepat pada masanya dan sedar jenis pencetus penyakit psoriasis, anda akan dapat mengekalkan keadaan kulit dalam situasi terkawal.
  • Anda disarankan untuk bertemu dengan doktor jika anda memerlukan bantuan untuk mengenal pasti pencetus penyakit kulit anda atau inginkan cadangan mengenai cara untuk mengawal keadaan penyakit kulit anda.




Written by: Dr Nur Syuhada Binti Zulkifli

Degree in Medicine, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

18 Aug 2018
Perlu Bantuan?