Sifilis

Bagaimana Diagnosis Jangkitan Sifilis (Syphilis)

Baca Soalan

Sifilis merupakan sejenis penyakit kelamin yang disebabkan oleh organisma yang bernama Treponema pallidum. Jangkitan ini disebarkan melalui hubungan seksual dengan individu yang mempunyai sifilis atau daripada ibu kepada bayi ketika kehamilan atau proses kelahiran anak.

Tanda-tanda dan gejala-gejala penyakit sifilis kerap menyerupai penyakit-penyakit lain.

Oleh itu, cara mengetahui penyakit sifilis yang paling tepat adalah melalui kombinasi:

  • Pemeriksaan fizikal 

    • Doktor akan memeriksa alat kelamin, faraj (untuk wanita) atau bahagian badan lain untuk mencari bukti jangkitan sifilis
  • Ujian darah

    • Ujian ini membantu mengesahkan jangkitan sifilis. Walau bagaimanapun kadangkala ketika fasa awal jangkitan, ujian darah mungkin gagal mengesan sifilis. Sekiranya keputusannya adalah negatif tetapi seseorang mempunyai risiko tinggi dan gejala jangkitan sifilis, ujian darah akan diulangi
  • Ujian swab 

    • Swab kapas digunakan untuk mengambil sampel cecair dari mana-mana luka untuk analisa jangkitan sifilis


Ujian saringan

  • Saringan bagi penyakit sifilis biasanya bermula dengan ujian darah jenis 'nontreponemal'.
  • Ujian ini mengesan antibodi (protein yang dihasilkan oleh sistem imun badan anda untuk membantu melawan jangkitan) untuk antigen “cardiolipin-kolesterol-lecithin” yang merupakan bahan yang dihasilkan akibat kerosakan yang disebabkan oleh organisma yang menyebabkan sifilis.
  • Contoh-contoh ujian darah “nontreponemal” termasuk ujian Makmal Penyelidikan Penyakit Venereal (VDRL) dan reagin plasma cepat (RPR). Keputusan ujian VDRL biasanya bertukar positif 1-2 minggu selepas pembentukan chancre.
  • Walau bagaimanapun, terdapat kemungkinan ujian “nontreponemal” boleh menyebabkan keputusan positif yang palsu.
  • Oleh itu, jika ujian “nontreponemal” adalah positif, ujian “treponemal” akan dilakukan untuk mengesahkan penyakit sifilis.


Ujian pengesahan jangkitan sifilis

  • Ujian darah “treponemal” yang dilakukan selepas ujian “nontreponemal” bagi mengesahkan sifilis membantu mengesan antibodi T. pallidum yang dihasilkan oleh badan seseorang sebagai tindak balas kepada jangkitan sifilis.
  • Contoh-contoh ujian “treponemal” termasuk:
    • Ujian antibodi penyerapan antibodi fluorosen (FTA-ABS)
    • Ujian T. pallidum particle agglutination (TPPA)
    • Ujian immunoassay enzyme Treponemal (EIA)
  • Kaedah mikroskopi “dark-field” juga merupakan ujian pengesahan sifilis tetapi ia tidak biasa digunakan kini kerana ia memerlukan juruteknik yang berkemahiran tinggi.
  • Sampel cecair badan (dari chancre atau cecair saraf tunjang belakang (cerebrospinal)) akan dianalisa menggunakan mikroskop untuk melihat dan mengesan kehadiran organisma yang menyebabkan sifilis.
  • Kaedah ini berguna bagi penyakit peringkat lewat apabila ujian lain tidak dapat mengesahkan jangkitan sifilis atau bagi mengesan penyakit sifilis kongenital dalam bayi yang baru lahir yang biasanya sukar didiagnosis.

Risiko sifilis

Risiko jangkitan sifilis meningkat sekiranya seseorang:

  • Melakukan seks tanpa perlindungan

  • Mempunyai >1 pasangan seks

  • Merupakan lelaki yang melakukan hubungan seks dengan lelaki lain

  • Dijangkiti HIV

Individu-individu yang berisiko tinggi dinasihatkan mendapatkan ujian saringan sifilis. Semua wanita hamil juga akan diuji bagi penyakit sifilis bagi mengelakkan jangkitan merebak kepada anak kandungan mereka.

Written by: Dr Ilias Yee

MB BCh BAO (NUI), LRCPI, LRCSI, Fellow Open Medical Institute (Addiction), Fellow ASHM Leadership (Sexual Health & HIV Medicine)

18 Aug 2018
Tanya Doktor PERCUMA
Kunjungi ePharmacy