Sifilis

Komplikasi Jangkitan Sifilis (Syphilis)

Baca Soalan

  • Sifilis merupakan sejenis penyakit kelamin yang biasa di seluruh dunia. Jangkitan sifilis boleh mendatangkan pelbagai jenis komplikasi.
  • Oleh itu, jangkitan sifilis telah dikenali sebagai “The Great Imitator” atau penyamar yang terhebat oleh Sir William Osler kerana jangkitan sifilis boleh mengakibatkan pelbagai jenis tanda dan gejala yang mirip dengan penyakit-penyakit lain.
  • Setiap kes jangkitan sifilis adalah unik kerana sifilis boleh menjangkiti dan merosakkan apa-apa sahaja tisu dan organ di dalam badan kita. Tanpa rawatan, jangkitan sifilis akan berterusan sehingga ke tahap jangkitan yang lebih serius.
  • Komplikasi sifilis biasanya akan berlaku pada tahap ketiga jangkitan sifilis. Dalam tahap ini, jangkitan sifilis telah berlaku di seluruh badan.
  • Salah satu komplikasi yang paling serius adalah masalah sistem saraf. Jangkitan sifilis boleh menyebabkan kesakitan saraf yang berlaku secara tiba-tiba dan diibaratkan sebagai kulit yang membakar.
  • Selain kesakitan, sistem saraf yang dirosakkan oleh jangkitan sifilis juga boleh menyebabkan:
    • Sakit perut
    • Muntah
    • Kehilangan deria sentuhan
    • Lemah tenaga batin
    • Masalah penglihatan
  • Jangkitan sifilis juga sering berlaku di jantung. Jangkitan sifilis di jantung akan menjejaskan saluran darah aorta dan merosakkan injap di jantung. Injap jantung yang rosak boleh mendatangkan komplikasi seperti kegagalan jantung dan kebocoran saluran darah aorta yang boleh membawa maut.
  • Selain jangkitan di jantung, jangkitan sifilis yang kronik sering menyebabkan sejenis ketumbuhan yang dikenali sebagai gumma.
  • Gumma sifilis boleh tumbuh di:
    • Kulit
    • Tulang
    • Hati
    • Mulut
    • Hidung
    • Kepala 
    • Kaki
  • Sifilis juga boleh merosakkan kelenjar pituitari. Kelenjar pituitari yang rosak akan menyebabkan proses penuaan yang lebih cepat dalam kalangan orang dewasa manakala kanak-kanak akan mengalami proses tumbesaran dan perkembangan yang terbantut.
  • Pesakit-pesakit yang menghidap jangkitan sifilis kronik akan mempunyai sistem pertahanan badan yang lemah. Kondisi ini terjadi kerana badan pesakit sifilis akan menggunakan banyak sumber untuk melawan jangkitan sifilis sehingga badan tersebut tidak mempunyai sumber pertahanan yang berlebihan untuk mengatasi jangkitan lain.
  • Oleh itu, pesakit-pesakit sifilis mudah menghidap jangkitan kuman, terutamanya jangkitan HIV yang sering disebarkan bersama dengan kuman sifilis melalui hubungan seks tanpa perlindungan.
  • Warga wanita yang menghidap sifilis mudah mengalami komplikasi semasa mereka hamil. Siflis boleh disebarkan kepada anak sewaktu proses kehamilan. Bayi yang menghidap jangkitan sifilis boleh dilahirkan cacat dan tidak sihat.
  • Bayi yang dijangkiti sifilis semasa proses kehamilan sering mengalami:
    • Kecacatan hidung
    • Kaki
    • Sendi
  • Bayi yang dilahirkan juga mudah mengalami:
    • Ruam kulit
    • Radang paru-paru
    • Masalah sistem saraf 
    • Demam
  • Banyak bayi yang dijangktii sifilis tidak hidup lama selepas dilahirkan. Selain itu, sifilis juga meningkatkan risiko keguguran semasa kehamilan.

Written by: Dr Ilias Yee

MB BCh BAO (NUI), LRCPI, LRCSI, Fellow Open Medical Institute (Addiction), Fellow ASHM Leadership (Sexual Health & HIV Medicine)

18 Aug 2018
Perlu Bantuan?