Sifilis

Penyebab Jangkitan Penyakit Sifilis (Syphilis)

Baca Soalan

Apakah itu Sifilis?

  • Sifilis merupakan sejenis penyakit kelamin yang boleh berjangkit dalam kalangan lelaki dan perempuan. Penyebab penyakit sifilis adalah bakteria T. pallidum.
  • Sebagaimana dengan penyakit kelamin yang lain, sifilis boleh mengakibatkan komplikasi yang lebih teruk jika dibiarkan tanpa perhatian dan rawatan doktor.

Faktor - Faktor Risiko Jangkitan Sifilis

  • Terdapat beberapa faktor yang boleh mendedahkan anda kepada jangkitan sifilis. Individu yang aktif secara seksual merupakan salah satu risiko terbesar untuk dijangkiti sifilis.
  • Baru-baru ini, didapati antara penyebab sifilis pada lelaki adalah hubungan seks sama jenis (lelaki yang melakukan hubungan seks dengan lelaki).
  • Terdapat kajian baru yang membuktikan penularan sifilis dan penyakit kelamin lain didapti lebih cepat dan mudah dalam kalangan individu yang melakukan hubungan seks ‘anal’.
  • Hubungan seks tanpa perlindungan, individu yang berstatus HIV positif dan mereka yang mempunyai hubungan seks dengan ramai pasangan mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk dijangkiti penyakit ini.

Cara Sifilis Berjangkit

  • Sifilis hanya boleh berjangkit melalui hubungan seks atau daripada ibu yang telah dijangkiti kepada bayi dalam kandungan. Hubungan seks oral, vaginal dan anal boleh menyebabkan penularan penyakit ini.
  • Cara sifilis berjangkit melalui hubungan seks adalah apabila luka sifilis pada kemaluan, kulit atau mulut pasangan bersentuhan dengan anda. Sifilis tidak boleh berjangkit melalui objek seperti mangkuk tandas atau tombol pintu.
  • Punca sifilis pada lelaki dan wanita adalah sama.

Akibat Jangkitan Sifilis

  • Perkembangan jangkitan sifilis dalam badan berlaku dalam beberapa peringkat. Pada peringkat pertama, pesakit mengalami luka sekitar mulut dan pada kemaluan.
  • Simptom ini akan bermula 10 ke 90 hari selepas sentuhan dengan luka sifilis daripada orang yang sudah dijangkiti. Luka ini akan sembuh tanpa rawatan dan tanpa bekas luka dalam masa 6 minggu.
  • Peringkat sekunder bermula dari jangka masa 6 minggu ke 6 bulan selepas pendedahan kepada jangkitan sifilis.
  • Pesakit akan mengalami:
    • Ruam pada badan
    • Ketuat di sekitar genitalia
    • Tompok putih dalam mulut
    • Kelenjar limfa bengkak
    • Demam
    • Berat badan berkurangan
  • Sifilis sekunder juga akan reda jika pesakit tidak mendapatkan rawatan akan menjadi ‘latent’ sifilis. Pada peringkat ini, pesakit tidak akan mengalami sebarang tanda-tanda jangkitan.
  • Daripada peringkat ini, pesakit mungkin tidak akan mengalami sebarang simptom lagi atau jangkitan akan menjadi lebih serius dengan adanya sifilis tertiari.
  • Sifilis tertiari boleh merosakkan otak, saraf, mata, jantung, saluran darah, hati, tulang dan sendi.
  • Oleh sebab itu, adalah dinasihatkan untuk anda mendapatkan bantuan dan rawatan doktor dengan segera jika anda mengesyaki diri anda atau pasangan anda dijangkiti penyakit ini.

Written by: Dr Ilias Yee

MB BCh BAO (NUI), LRCPI, LRCSI, Fellow Open Medical Institute (Addiction), Fellow ASHM Leadership (Sexual Health & HIV Medicine)

18 Aug 2018
Tanya Doktor PERCUMA
Kunjungi ePharmacy