Strok

Gejala Serangan Stroke

Baca Soalan

Tanda-tanda awal strok

Strok merupakan salah satu masalah yang paling banyak menyebabkan kehilangan upaya dalam kalangan penghidapnya. Sebahagian pesakit berpotensi untuk pulih bergantung pada jenis strok yang dihadapi. Namun begitu, terdapat sebahagian besar pesakit yang kekal lumpuh. Gejala stroke usia muda tidak bermakna seseorang itu akan sembuh dengan lebih cepat, begitu juga sekiranya ia berlaku pada usia yang lanjut.

Salah satu faktor yang meningkatkan kebarangkalian seorang pesakit untuk pulih dari serangan penyakit ini adalah dengan memastikan pesakit mendapat rawatan dengan segera.

Oleh itu, dengan mengetahui tanda-tanda awal serangan penyakit ini, dapat membantu menyelamatkan banyak nyawa.

Gejala awal strok ini selalunya berlaku kepada pesakit secara tiba-tiba dan dikenali sebagai FAST iaitu:

F = Face (Muka)

Kedua-dua belah muka tidak sekata.

Pesakit boleh merasa kebas pada sebahagian muka, atau herot sebelah.

A = Arm (Lengan)

Sebelah lengan menjadi lemah atau tidak boleh diangkat.

Tangan pesakit menjadi lemah hingga tidak boleh diangkat atau tidak berdaya memegang sesuatu objek.

S = Speech (Percakapan)

Perkataan yang tidak jelas

Pesakit mungkin tidak boleh berkata-kata, tidak memahami percakapan, mengeluarkan ayat yang tidak tersusun atau ayat yang tidak mempunyai maksud.

T = Time (Masa)

Hubungi talian kecemasan atau datang ke hospital dengan segera

Maklumat mengenai FAST telah tersebar ke seluruh dunia bertujuan untuk memastikan semua golongan masyarakat sedar tentang simptom-simptom awal strok dan bertindak dengan segera.

Jenis-jenis strok mengikut kawasan yang terlibat

Setiap pesakit yang diserang strok akan mengalami simptom yang berlainan. Hal ini adalah kerana ia bergantung kepada kawasan yang terlibat dengan salur darah yang terganggu sama ada akibat darah beku atau pendarahan yang dikenali sebagai jenis stroke hemoragik. Berikut adalah pembahagian jenis strok mengikut kawasan otak.

Bamford Classification atau Oxford Stroke Classification digunakan dalam perubatan untuk membahagikan jenis serangan penyakit ini. Terdapat 4 jenis strok menurut klasifikasi tersebut iaitu:

  1. Total Anterior Circulation Stroke

    Salur darah yang terlibat adalah: (Middle Cerebral Artery) dan (Anterior Cerebral Artery)

Ia berlaku apabila pembuluh darah yang berada pada bahagian hadapan dan tengah otak tersumbat. Bagi stroke jenis ini, keseluruhan pembuluh darah yang berada pada bahagian hadapan (Anterior) terputus bekalan darah, menyebabkan keseluruhan bahagian hadapan otak tidak dapat berfungsi. Diagnosis ini dibuat sekiranya pesakit mempamerkan kesemua simptom strok dibawah:

  • Lemah atau hilang deria rasa pada sebelah bahagian badan atau kedua-duanya

  • Homonymous Hemianopia - hilang sebahagian kawasan penglihatan

  • Higher cerebral dysfunction - hilang fungsi otak yang mengawal kebolehan aras tinggi. Pesakit mungkin mengalami masalah sukar mengeluarkan ayat untuk bercakap atau sukar memahami ayat yang diperkatakan oleh orang lain. Selain itu pesakit juga mungkin menghadapi masalah dengan penglihatan, dimana pesakit sukar mentafsirkan objek yang dilihatnya.

  1. Partial Anterior Circulation Syndrome

Salur darah terlibat: Middle Cerebral Artery dan Anterior Cerebral Artery.

Serangan ini melibatkan pembuluh darah yang sama dengan jenis pertama. Namun begitu bahagian yang terlibat tidak terlalu besar. Diagnosis ini pula dibuat sekiranya pesakit mengalami 2 dari ketiga-tiga simptom yang terdapat dalam strok jenis pertama.

  1. Posterior Circulation Syndrome

Salur darah terlibat: Posterior Cerebral Artery

Strok jenis ini selalunya melibatkan kawasan belakang otak yang mengawal penglihatan dan imbangan badan iaitu bahagian cerebellum, brainstem dan occipital. Diagnosis bagi masalah jenis ini pula adalah sekiranya pesakit mempunyai satu daripada simptom yang berkaitan.

Simptom yang boleh dialami oleh penghidap stroke jenis ini adalah yang berkaitan dengan fungsi cerebellum dan brainstem. Gangguan penglihatan yang biasa terjadi kepada pesakit adalah homonymous hemianopia tanpa sebarang gejala kerosakan neurologi yang lain. Pesakit juga boleh tidak sedarkan diri akibat masalah ini.

  1. Lacunar Syndrome

Salur darah terlibat: Salur darah kecil yang berada pada kawasan dalam otak.

Seseorang itu akan mendapat diagnosis Lacunar Stroke sekiranya mereka mengalami salah satu daripada simptom berikut:

  • Lemah sebahagian badan pada kaki, tangan, muka atau ketiga-tiganya sekali

  • Hanya hilang deria rasa

  • Ataxic Hemiparesis

Simptom-simptom yang terlibat

Secara amnya, berikut merupakan tanda dan gejala stroke yang boleh dihadapi oleh seseorang yang diserang masalah ini iaitu:

Simptom bertumpu (focal symptom)

Motor (pergerakan)

  • Lemah atau cemerkap pada sebelah bahagian badan, atau badan tidak seimbang apabila berdiri

Percakapan dan bahasa

  • Dysphasia – tidak mampu berkata-kata atau masalah di dalam memahami percakapan orang lain

  • Dyslexia – sukar mengenali perkataan, huruf atau simbol

  • Dysgraphia – tidak boleh menulis dengan betul

  • Dyscalculia – tidak boleh mengira

  • Dystextia– tidak boleh menulis mesej melalui peranti elektronik dengan betul

  • Dysarthria – percakapan tidak jelas

Deria

  • Hilang deria rasa pada sebelah bahagian badan

Penglihatan

  • TMB (Transient Monocular Blindness) – pandangan kabur atau gelap tiba-tiba buat seketika pada sebelah mata sahaja

  • Hemianopia – hilang separuh bahagian penglihatan pada biji mata yang sama

  • Bilateral blindness – buta kedua-dua belah mata

  • Diplopia – pandangan berbalau

Vestibular

  • Vertigo – dunia terasa berpusing, sukar untuk berdiri tegak

Behavourial/Cognitif

  • Visuospatial dysfunction – merasa keliru, tidak dapat menafsirkan keadaan sekeliling

Simptom am (non-focal)

  • Lemah seluruh badan atau gangguan deria

  • Pitam

  • Tidak dapat mengawal pembuangan air kecil dan air besar

  • Kekeliruan

  • Telinga berdengung

  • Pengsan/Pitam

Seseorang yang terkena serangan ini akan melalui pemeriksaan lengkap untuk mengetahui kesannya terhadap keupayaan pesakit tersebut. Pemeriksaan ini selalunya bertumpu kepada pemeriksaan neurologi bagi mengesan kawasan otak yang terlibat selain menggunakan teknik pengimejan. Simptom-simptom serangan penyakit ini selalunya berlanjutan lebih daripada 24 jam dan boleh berlaku dalam jenis strok ischemic atau jenis strok hemoragik.

Selain itu, terdapat keadaan yang dipanggil ‘Transient Ischemic Attack (TIA)’, di mana pesakit mendapat simptom seperti strok tetapi dalam tempoh masa kurang daripada 24 jam dan selalunya kurang daripada 1 jam. Pesakit yang telah diserang TIA lebih berisiko untuk mendapat serangan penyakit strok pada masa akan datang. Oleh itu, keadaan ini perlu dikenal pasti dengan lebih awal supaya rawatan dan langkah-langkah pencegahan dapat diberikan untuk mengurangkan risiko terjadinya strok.

Written by: Dr Sri Viknarajan

Universiti Hasanuddin, Indonesia – MEDICAL DEGREE (DR)

18 Aug 2018
Tanya Doktor PERCUMA
Kunjungi ePharmacy