Strok

Komplikasi Penyakit Strok

Baca Soalan

Prognosis dan bebanan strok

  • Strok merupakan satu dari lima penyakit penyebab kematian paling tinggi selain dari masalah jantung iskemik, jangkitan kuman dalam darah, barah dan pneumonia.
  • Mengikut peratusan pesakit strok, statistik menunjukkan kadar 15% kematian dalam kalangan pesakit strok dan hanya 10% sembuh seperti sediakala.
  • Manakala selebihnya mengalami masalah kehilangan upaya iaitu simptom lumpuh atau kecacatan sama ada kecil, sederhana atau teruk.
  • Pesakit strok boleh kehilangan upaya fizikal dan kognitif. 
  • Pesakit ini akan mengalami kesukaran bergerak sekaligus menyukarkan mereka menjalani kehidupan seharian. Sesetengah pesakit boleh pulih dengan rawatan dan rehabilitasi, namun sebahagian yang lain hilang upaya secara kekal.
  • Sebahagian lain pesakit yang diserang strok pula, mengalami masalah dengan keupayaan kognitif
  • Oleh sebab itu, terdapat pesakit yang mendapat penyakit yang dipanggil (vascular dementia) iaitu masalah hilang ingatan dan keupayaan berfikir (dementia) akibat strok ini. 

Komplikasi akibat masalah pergerakan

  • Kebanyakan pesakit sukar untuk bergerak aktif dan menguruskan diri sendiri selepas diserang strok. Hal ini akan menyebabkan mereka terdedah kepada pelbagai komplikasi. Pelbagai masalah boleh timbul bagi pesakit yang kurang bergerak.
  • Pressure sore (kudis tekanan) adalah kompliksi yang sering berlaku dalam pesakit sebegini. Pesakit mudah mendapat luka atau melepuh pada kulit kerana terlalu lama berbaring di atas katil. 
  • Mereka yang menghidap strok juga seringkali menghidap masalah diabetes. Masalah ini boleh memburukkan keadaan (pressure sore) ini kerana pesakit diabetes boleh mengalami neuropathy iaitu hilang deria rasa.
  • Pergerakan ini juga boleh membantu mengelakkan masalah lain seperti (Deep vein thrombosis) atau darah beku dalam salur darah vena. Masalah DVT selain dengan memperbanyak pergerakan, boleh dielakkan dengan penggunaan stoking khas (TED) dan ubat mencairkan darah.

Kekurangan nutrisi

  • Selain itu, pesakit strok juga mudah menghadapi masalah kekurangan nutrisi. Hal ini selalunya dihadapi oleh pesakit yang mempunyai masalah menelan. Pesakit ini terdedah kepada potensi tercekik atau tersedak dan boleh menyebabkan jangkitan paru-paru akibat makanan yang termasuk ke saluran pernafasan.
  • Sebahagian pesakit ini terpaksa menggunakan tiub makan atau mengambil cecair yang dipekatkan. Hal ini menyebabkan penurunan selera makan, sekaligus meyebabkan masalah kurang nutrisi.

Masalah jangkitan

  • Masalah lain yang boleh berlaku kepada pesakit ini juga adalah jangkitan. Seperti yang diterangkan sebelum ini, kehilangan upaya menelan dengan betul boleh menyebabkan jangkitan paru-paru kerana tersedak makanan ke dalam saluran pernafasan.
  • Selain itu, pneumonia juga boleh berlaku akibat lendir yang terkumpul di paru-paru kerana pesakit kurang bergerak. Pesakit yang menggunakan bantuan pernafasan turut berisiko mendapat jangkitan ini.
  • Jangkitan lain yang biasa berlaku adalah pada saluran kencing. Keadaan pesakit yang sukar bergerak menyukarkan mereka ke tandas. Ini menyebabkan mereka terdedah kepada risiko (Urinary retention) atau pundi kencing penuh.
  • Hal ini juga disebabkan mereka juga mungkin kehilangan deria mengesan keadaan pundi kencing yang penuh akibat strok yang berlaku. Ini menyebabkan mereka tidak terasa hendak membuang air walaupun pundi kencing mereka telah penuh.
  • Air kencing yang bertakung di dalam pundi kencing dalam jangka masa yang lama akan memudahkan pembiakan bakteria dan bakteria ini juga boleh merebak hingga ke saluran buah pinggang dan buah pinggang itu sendiri.
  • Jangkitan pada saluran kencing ini boleh menjadi serius seperti mengakibatkan (Septicaemia) atau jangkitan kuman dalam darah jika tidak dirawat.

Kemalangan dan kecederaan akibat jatuh

  • Pesakit strok juga lebih berisiko untuk jatuh dan mengalami kecederaan lebih serius. Hal ini boleh disebabkan oleh masalah kesihatan yang juga komplikasi strok seperti sawan dan masalah vascular dementia yang menyebabkan pesakit bertindak di luar kawalan.
  • Kehilangan upaya seperti lumpuh sebahagian badan juga menyebabkan mereka kurang stabil apabila bergerak. Pengawasan rapi perlu dilakukan keatas mereka kerana risiko jatuh bagi pesakit ini adalah amat tinggi.

Gangguan sosial dan emosi

  • Strok juga memberikan kesan jangka panjang terhadap aspek sosial dan emosi pesakit. Dari segi emosi, ramai dalam kalangan pesakit strok menghadapi masalah kemurungan, keresahan dan kekeliruan.
  • Ia mungkin disebabkan oleh kesan strok di otak secara langsung, namun ia juga disebabkan oleh gangguan emosi selepas diserang strok. 
  • Masalah strok juga turut memberi kesan kepada keluarga pesakit. Kebanyakan penjaga pesakit strok boleh mengalami masalah tekanan emosi dan kemurungan akibat keletihan.
  • Seseorang yang menjaga pesakit strok terutamanya yang mengalami kehilangan upaya mempunyai bebanan tugas yang banyak.
  • Selain memerlukan sumber kewangan yang baik untuk memberi keperluan yang cukup kepada pesakit selepas serangan strok, mereka juga perlu menguruskan kebersihan pesakit seperti mandi dan ke tandas.
  • Menyuap makanan dan memakai pakaian juga perlu dibantu bagi sesetengah pesakit. Pesakit yang mengalami gangguan emosi juga mungkin lebih sukar diuruskan.
  • Oleh itu, penjaga pesakit memerlukan cuti rehat dan sokongan moral dan kewangan bagi membantu mereka menjalankan tugas dengan baik dan mengelakkan mereka ditimpa masalah lain terutamanya gangguan emosi.

Written by: Dr Sri Viknarajan

Universiti Hasanuddin, Indonesia – MEDICAL DEGREE (DR)

18 Aug 2018
Tanya Doktor PERCUMA
Kunjungi ePharmacy