Tanyalah doktor faktor bintik gatal pada kemaluan

Apakah itu keputihan?

Keputihan bagi kaum wanita bukanlah suatu fenomena yang asing dalam kehidupan seharian mereka. Keputihan atau dikenali sebagai “leucorrhea” ialah cecair atau lendir yang keluar dari faraj wanita. Cecair atau lendir ini adalah nipis, tidak berwarna atau putih susu, dan berbau ringan. Lelehan lendir berlebihan yang keluar dari pangkal rahim ini merupakan bakteria normal dari faraj, sisa buangan dari rahim dan faraj, dan sel-sel yang telah mati dari dinding faraj.

Keputihan berfungsi untuk :

  • Bertindak sebagai pencuci semulajadi dalam membasmi bakteria-bakteria yang tidak diingini supaya dilindungi daripada jangkitan dan iritasi. Mengimbangkan pH dan bakteria semulajadi (normal flora) di sekeliling faraj wanita.
  • Jikalau pH faraj menjadi tidak seimbang, maka ianya mudah bagi bakteria atau kulat untuk menjangkiti faraj menyebabkan pertukaran warna, ketul-ketulan dan bau yang amat tidak menyenangkan kepada keputihan.




Apakah punca & sebab keputihan?

Terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada keputihan. Antara sebabnya seperti berikut:

  • Faktor hormon

            Keputihan yang keluar dari faraj atau serviks sebenarnya dipengaruhi oleh faktor fluktuasi tahap hormon dalam badan wanita. Keputihan yang normal biasanya disebabkan oleh perubahan kadar hormon estrogen. Apabila seseorang wanita hampir dengan tarikh haid, kadar hormon estrogen meningkat dan lendir yang terhasil akan menjadi lebih likat.

  • Faktor kebersihan

            Kebersihan di bahagian sulit wanita adalah salah satu daripadanya. Oleh demikian, kebersihan perlu dijaga dengan baik supaya dapat mengelakkan jangkitan. Kelembapan yang berterusan di bahagian sulit wanita akan mengundang jangkitan mikroorganisma seperti kulat dan bakteria.

  • Faktor ubat

            Pengambilan ubat seperti antibiotik yang berlebihan untuk jangka masa yang panjang menyebabkan bakteria semula jadi pada bahagian faraj mati dan ini secara tidak langsung menyumbang kepada pertumbuhan mikroorganisma patogen seperti bakteria atau kulat

  • Penyakit kronik

            Masalah kesihatan seperti penyakit kronik juga menyumbang kepada keputihan. Golongan wanita yang menghidapi penyakit kencing manis, lebih terdedah kepada penyakit keputihan disebabkan oleh kandungan gula yang tinggi dalam rembesan faraj yang menggalakkan pertumbuhan kulat yang banyak di bahagian faraj. Selain itu, pesakit AIDS, kanser, leukimia dan penyakit lain yang melemahkan dan menjejaskan sistem imun badan juga berhadapan dengan risiko yang tinggi untuk mendapat jangkitan faraj.




Jenis-jenis keputihan yang normal dan bermasalah?

Keputihan yang normal dikenali sebagai keputihan fisiologi manakala keputihan yang bermasalah ialah keputihan patologi.

  • Keputihan normal (keputihan fisiologi)

            Keputihan normal biasanya tidak menunjukkan sebarang gejala penyakit. Lelehan lendir normal sering berlaku semasa seseorang wanita itu mengalami kesuburan dan sebelum bermulanya kitaran haid. Ia berwarna putih susu, tidak berbau serta tidak mendatangkan gatal di kemaluan wanita. Cecair lendir yang dikeluarkan adalah sedikit.

  • Keputihan bermasalah (keputihan patologi)

            Manakala, keputihan yang bermasalah (keputihan patologi) yang disebabkan oleh jangkitan kuman, menunjukkan petanda penyakit seperti lelehan lendir yang kental, berwarna kuning, kelabu atau hijau, berbau busuk dan menyebabkan gatal di sekitar kemaluan dan selangkangan. Jangkitan kuman menjadi penyebab utama gatal pada kemaluan wanita remaja dan gatal pada kemaluan saat hamil. pH pada bahagian faraj wanita tidak seimbang semasa kehamilan dan secara tidak langsung ramai wanita berdepan dengan masalah keputihan saat hamil. Antara mikroorganisma yang menyebabkan keputihan bermasalah ialah Gardnerella vaginalis (bakteria), Trichomonas vaginalis (parasit), Candida albicans (kulat) dan lain-lain lagi.




Cara mengatasi keputihan

Secara umumnya, keputihan adalah satu perkara yang biasa. Keputihan yang dikeluarkan ini merupakan bakteria normal dari faraj, sisa buangan dari rahim dan faraj, dan sel-sel yang telah mati dari dinding faraj. Selagi lendir keputihan kelihatan jernih atau putih, tiada bau atau tidak berasa pedih atau gatal pada kulit di faraj, keputihan ini dianggap normal. Anda tidak perlu risau.

Sekiranya anda mengalami keputihan bermasalah diikuti dengan gatal di kemaluan wanita, terdapat beberapa cara mengatasi gatal pada kemaluan akibat keputihan.

  • Bagi mengelakkan keputihan berjangkit, wanita harus memastikan kemaluan sentiasa bersih dan kering selepas membuang air kecil atau besar.
  • Elakkan penggunaan pembersih faraj ("douching") yang menganggu kestabilan pH atau menyebabkan kegatalan. Menjadikan amalan untuk menukar atau mengganti tuala wanita (pad) semasa haid (period). Gunakan pelapik seluar dalam "panty liner" pada saat yang diperlukan sahaja.
  • Menjadikan amalan untuk sering menukar pelapik seluar dalam. Elakkan juga pemakaian seluar dalam yang ketat dan diperbuat daripada kain satin.
  • Memperbanyakkan minum air bagi badan anda sentiasa sihat dan mampu mengawal jangkitan bakteria di faraj.
  • Elakkan penggunaan bahan wangian seperti bedak pada bahagian faraj.
  • Elakkan pengambilan ubat secara berterusan tanpa nasihat doktor.
  • Kurangkan pengambilan makanan yang mempunyai kandungan gula yang tinggi.
  • Basuh bahagian sulit dengan air yang bersih dengan tekanan yang kurang dan buang air kecil selepas aktiviti seks.




Apakah rawatan masalah gatal di kawasan faraj?

Rawatan bagi keputihan bermasalah bergantung kepada punca yang menyumbangnya. Doktor-doktor kami dapat membantu menjalankan pemeriksaan untuk mengenalpasti punca kepada simptom-simptom ini dengan memeriksa anda. Anda boleh berkomunikasi dengan doktor kami menerusi telefon atau panggilan video dan menerima preskripsi ubatan yang boleh dihantar ke rumah anda. Untuk berkomunikasi dengan doktor kami, KLIK DI SINI.

Wanita perlu mengambil langkah berikut untuk mengelakkan daripada gatal-gatal kemaluan:

Untuk mengelak daripada sebarang jangkitan di kawasan kemaluan, lap bahagian kemaluan dari depan ke belakang untuk menghalang bakteria dari dubur masuk ke dalam vagina, setiap kali selepas buang air di tandas.

Salah satu petua yang boleh digunakan ialah jika gatal-gatal kemaluan tersebut disebabkan oleh alergen atau perengsa, anda haruslah mengenal pasti dan mengelak daripada alergen itu.

Elakkan seks tanpa perlindungan, terutamanya jika anda bimbang bahawa anda atau pasangan anda mungkin mengalami jangkitan.

Di samping itu, terdapat ubat-ubatan juga untuk membantu merawat gatal di kemaluan wanita. Ubat yang diberi berdasarkan kepada puncanya.

  • Vaginosi Bakteria

            Diberi antibiotik Metronidazole atau Clindamycin dalam bentuk pessari, gel atau krim (yang dimasukkan ke dalam faraj) atau tablet.

  • Jangkitan Yis

            Biasanya dirawati dengan pessari atau krim yang mengandungi clotrimazole, econazole, miconazole atau fenticonazole.

  • Chlamydia

            Diberi pil antibiotik Doxycycline selama tujuh hari atau Azithromycin atau Zithromax diambil satu dos tunggal.

  • Gonorrhea

            Rawatan yang disarankan untuk gonorrhea adalah antibiotik sama ada ceftriaxone atau cefixime yang diberikan sebagai suntikan. Anda juga akan diberikan antibiotik yang dipanggil azithromycin yang diambil dalam bentuk tablet pada masa yang sama ini membantu merawat jangkitan Chlamydia (mudah untuk pesakit mendapat kedua-dua jangkitan itu bersama-sama).

Anda boleh dapatkan ubat gatal pada kemaluan wanita di farmasi dengan preskripsi daripada doktor yang berdaftar. Sila tanya doktor di laman web www.doctoroncall.com.my sekarang untuk penerangan lebih lanjut.




Saringan Kesihatan PERCUMA
Mencegah adalah lebih baik daripada mengubati. Adakah anda sedia untuk melawan jangkitan? Ketahui dalam 5 minit!
Mula Saringan Kesihatan PERCUMA