Minta penjelasan mengenai kurap (Ringworm) dan penyebabnya serta cara merawat?

Anonymous

Selamat pagi Doktor. Saya Cik A berusia 26 tahun, seorang veterinar. Saya seorang yang sihat dan tiada penyakit kronik. Sejak sebulan yang lalu, terdapat ruam berwarna kemerahan yang timbul di bahagian dagu saya. Pada mulanya, saiz ruam tersebut agak kecil, lalu saya abaikan kerana menganggap ia ruam biasa. Tetapi sekarang, saiznya semakin besar. Kadang-kadang turut terasa gatal terutama ketika saya berpeluh dengan banyak. Sebelum ini, saya pernah menyapu ubat ‘cream’ yang dibeli secara online di bahagian tersebut untuk menghilangkan jerawat saya.Sekarang, jerawat telah hilang, tetapi ruam ini pula yang timbul. Saya juga risau kerana ada ahli keluarga saya yang menghidap penyakit psoriasis. Adakah saya turut mengalami penyakit yang sama atau mungkin penyakit kulit lain seperti kurap atau ekzema?

Anonymous
Selamat pagi Doktor. Saya Cik A berusia 26 tahun, seorang veterinar. Saya seorang yang sihat dan tiada penyakit kroni... See More
Saringan Kesihatan PERCUMA
Mencegah adalah lebih baik daripada mengubati. Adakah anda sedia untuk melawan jangkitan? Ketahui dalam 5 minit!
Mula Saringan Kesihatan PERCUMA

Terima kasih atas soalan anda. Berdasarkan gejala yang diceritakan, berkemungkinan besar anda sedang menghidapi penyakit kulit yang dsebabkan oleh jangkitan kulat. Di Malaysia, penyakit ini turut dikenali sebagai kurap (Ringworm). Ia boleh berlaku atas beberapa faktor, dan sesetengah orang lebih berisiko untuk mendapat penyakit ini. Beberapa ujian perlu dilakukan terlebih dahulu bagi mengesahkan diagnosis kurap. Sekiranya betul, anda perlu mendapatkan rawatan dan nasihat daripada doktor untuk merawat dan mencegah penyakit ini daripada berulang semula.

Terima kasih atas soalan anda. Berdasarkan gejala yang diceritakan, berkemungkinan besar anda sedang menghidapi penya... See More

Apakah itu kurap

Kurap atau nama lainnya ‘ringworm merupakan sejenis jangkitan kulat yang berlaku pada kulit manusia. Dalam dunia perubatan, kurap turut dikenali sebagai ‘tinea. Kawasan yang sering dijangkiti termasuklah kulit kepala, kemaluan, dan kaki. Selain itu, rambut dan kuku juga boleh terkena jangkitan kulat.Kebiasaannya, kurap tidak terjadi kepada manusia yang sihat. Sebaliknya, mereka yang lemah sistem imun tubuh badan berisiko untuk mendapat penyakit ini. Sebagai contoh, orang tua, kanak-kanak, penghidap kencing manis, pesakit kegagalan buah pinggang, HIV, dan AIDS.

Apakah penyebab kurap

  • Kurap disebabkan oleh jangkitan kulit oleh sejenis kulat (fungi) yang dikenali sebagai ‘dermatophyte’. Diagnosis akan diberikan mengikut kawasan yang dijangkiti. Sebagai contoh, jangkitan di bahagian kaki dipanggil ‘tinea pedis’ (athlete’s foot). Jika berlaku di bahagian alat sulit pula, ia dinamakan ‘tinea cruris’. Walaupun nama berbeza, tetapi secara umumnya punca penyakit ini masih tetap sama iaitu kulat ‘dermatophyte’.
  • Berbeza dengan gelaran popularnya iaitu ‘ringworm’ (‘ring’ = cincin, dan ‘worm’ = cacing), penyakit ini bukanlah disebabkan oleh jangkitan cacing. Sebaliknya, gelaran ini digunakan sebagai rujukan kepada bentuk ruam yang terhasil setelah dijangkiti kurap.

Bagaimana kurap boleh berjangkit

  • Kurap boleh berjangkit melalui sentuhan kepada manusia, haiwan, tumbuhan, mahupun objek yang telah terjangkit. Oleh itu, cara yang terbaik untuk mengelakkan penyakit ini ialah dengan menjauhi daripada bersentuhan dengan seseorang atau haiwan yang telah disahkan menghidapi kurap pada kawasan yang terlibat sehingga rawatan diberikan.
  • Selain itu, tanah, permukaan, serta objek yang telah dipegang oleh manusia atau haiwan juga boleh membawa kulat kurap dan perlu diuruskan dengan berhati-hati. Contohnya seperti dinding,lantai, pakaian, cadar, tuala, dan sikat.

Apakah gejala kurap

Simptom yang terjadi dalam kurap banyak bergantung kepada sistem imun seseorang selain daripada kawasan yang terlibat sama ada jangkitan di kepala, kaki, alat sulit, kuku, dan sebagainya. Secara umumnya, gejala yang biasa berlaku ialah:

  • Ruam
  • Kulit kering, bersisik, kemerah-merahan
  • Bisul
  • Gatal-gatal
  • Keguguran rambut (botak)
  • Rambut rosak
  • Kelemumur
  • Kuku bertukar warna kuning atau hitam serta berkeruping

Ruam Kurap

  • Ruam yang terjadi dalam penyakit kurap biasanya dihuraikan sebagai plak asimetri bersisik yang timbul di atas permukaan kulit. Kebiasaannya ruam ini berwarna kemerah-merahan, dengan bahagian tengah yang lebih cerah berbanding sempadannya (border) yang lebih gelap. Bentuk ini dipanggil ‘central clearing’, dan dinamakan sebagai ‘ringworm’ dalam jangkitan kurap.
  • Selain itu, ada juga keadaan dimana timbul bisul-bisul kecil yang mengandungi air di sekeliling ruam ini selain daripada bintik-bintik merah di bahagian tengah. Walaupun begitu, ciri-ciri ini tidaklah boleh digunapakai dalam setiap ruam kurap kerana terdapat kes dimana kurap datang dengan manifestasi lain.

Apakah yang perlu dilakukan sekiranya dijangkiti kurap

  • Antara langkah penting sekiranya dijangkiti kurap, ialah elakkan daripada menggaru kawasan yang gatal sekiranya ada. Tindakan ini boleh menyebabkan kulat merebak ke kawasan lain sama ada melalui air nanah daripada bisul kecil yang pecah ataupun daripada kulit yang sedia dijangkiti.
  • Sewaktu mandi pula, bersihkan badan dengan baik dan kemudian keringkan kawasan yang dijangkit. Kelembapan boleh menggalakkan penumbuhan kulat dan perlulah dielakkan. Selain itu, barangan peribadi seperti tuala dan pakaian pula harus ditukar dengan kerap.
  • Sekiranya ruam seperti ini atau gejala lain muncul, anda dinasihatkan untuk berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan rawatan. Jika diabaikan, saiznya boleh membesar dan merebak ke tempat lain.
  • Aktiviti harian seperti bekerja atau bersekolah pula boleh diteruskan seperti biasa, melainkan kondisi penyakit yang teruk seperti kurap yang merebak luas atau kegatalan melampau sehingga mengganggu aktiviti harian.

Apakah penyakit lain yang boleh menyerupai kurap

Walaupun kurap banyak terjadi terutamanya di negara-negara dunia ketiga, namun untuk mengesahkan diagnosis penyakit ini memerlukan pemerhatian yang tinggi. Ini kerana gejala kurap seperti ruam selalunya tidak ketara, selain daripada bentuk ruam yang seakan-akan sama dengan beberapa penyakit lain. Antaranya:

  • Psoriasis
  • Urtikaria
  • Leprosi
  • Discoid Eczema
  • Sifilis Sekunder
  • Kanser kulit

Apakah ujian yang dilakukan untuk mengesahkan jangkitan kurap

Ujian darah tidak membantu dalam kebanyakan kes jangkitan kurap kerana kulat tidak masuk ke dalam darah dan sekadar berada di permukaan kulit. Pada kebanyakan masa, ujian yang dilakukan adalah ‘skin scraping’, iaitu mengikis sedikit kulit yang dijangkiti untuk dilihat sampelnya di bawah mikroskop.

Terdapat juga satu lagi cara iaitu ‘skin culture’, dimana bahagian kulit yang telah terjangkit akan diambil dan disimpan di dalam makmal selama beberapa hari untuk membiakkan kulat. Cara ini lebih panjang dan memakan masa serta tidak dilakukan melainkan tiada keputusan muktamad daripada kaedah ‘skin scraping’.

Apakah rawatan kurap

Setelah diagnosis disahkan, rawatan akan dimulakan oleh doktor. Kaedah ubati bergantung kepada luas kawasan yang telah dijangkiti, kurap yang berulang, atau yang tidak sembuh setelah menerima rawatan pertama.

Sekiranya kawasan yang dijangkiti kecil dan terhad pada satu kawasan, maka ubat sapu krim akan diberikan. Contohnya ‘clotrimazole’, ‘miconazole’, ‘terbinafine’, atau ‘amorolfine’. Ubat ini perlu disapu pada kawasan yang dijangkiti selama beberapa kali sehari selama 2 ke 4 minggu bergantung kepada ubat.

Sekiranya kawasan yang terlibat lebih besar, merebak, atau tidak berjaya dirawat dengan ubat krim, maka ubat dalam bentuk pil atau kapsul akan diberikan. Antaranya ialah ‘itraconazole’ dan ‘terbinafine’. Ubat oral ini perlu diambil dalam jangka masa yang lebih panjang, bermula dari sebulan hingga ke 6 bulan bergantung kepada bahagian badan yang terlibat.

Pastikan nasihat daripada doktor adalah jelas berkenaan kesan sampingan ubatan serta elakkan daripada mengambil ubat tanpa arahan doktor.

References