Sakit Gigi Memberi Kesan Buruk Kepada Orang Dewasa! Ketahui Petua Hilangkannya.

Dijawab oleh: Dr Sri Viknarajan
Dikemaskini pada: Jun 12, 2020

Soalan:

Selamat sejahtera doktor. Saya Revathi berusia 18 tahun. Sejak semalam, saya mengalami sakit pada gigi saya. Ia amat sakit sehingga mengganggu waktu tidur saya. Saya selalu terbangun daripada tidur kerana sakit yang saya alami ini berdenyut-denyut. Saya juga dapati bahagian sakit tersebut semakin membengkak dan sekarang saya rasa seperti hendak demam. Sakit ini juga menyebabkan air liur saya berkumpul kerana saya juga berasa sakit apabila saya menelan air liur saya. Saya ada mengambil ubat tahan sakit. Namun, ia tidak berkesan sama sekali. Saya takut hendak berjumpa doktor gigi kerana saya telah trauma setelah insiden gigi saya dicabut sewaktu kecil dulu. Tolong bantu saya doktor.

Jawapan:

Terima kasih ke atas soalan yang anda ajukan kepada pihak kami. Sakit gigi sememangnya satu gejala yang boleh mengganggu aktiviti harian pesakit. Terdapat segelintir pesakit yang tidak boleh bercakap sama sekali, takut untuk mengunyah makanan dan tidak boleh tidur seperti yang anda alami. Untuk makluman anda, sakit gigi ialah sakit pada sekitar gigi atau rahang. Gejala ini sering menjadi gejala utama pesakit berjumpa dengan doktor gigi. Ia boleh berlaku kepada pelbagai lapisan umur tidak kira kanak-kanak atau orang dewasa

Apakah Penyebab Sakit Gigi?

Soalan pertama yang akan diajukan kepada doktor gigi sejurus pesakit masuk ialah punca gejala yang mereka alami. Kebanyakan pesakit akan hadir dalam keadaan memegang pipi di bahagian yang sakit, dahi berkerut kerana mengerang kesakitan, dan kelihatan tidak bermaya kerana waktu tidur yang tidak mencukupi. Punca utama masalah gejala ini ialah pengabaian kesihatan mulut. Kesihatan mulut perlu dijaga demi mengelakkan gejala yang boleh dikatakan sebagai ‘seksa dunia’ ini. Antara penyebabnya ialah:

  • Kerosakan Gigi (Karies)

Masalah ini berlaku kerana lapisan enamel terhakis akibat persekitaran asidik didalam mulut. Enamel merupakan lapisan yang menyelaputi gigi. Apabila ia terhakis, gigi terdedah kepada proses pereputan dan boleh menyebabkan kerosakan gigi. Persekitaran yang asidik di dalam mulut biasanya terhasil daripada tindak balas bakteria dan gula yang dimakan. Jika lapisan enamel terhakis, gigi akan dihakis asid tersebut sehingga menyebabkan kerosakan gigi. Sakit gigi berlubang parah ialah kerosakan gigi yang sering dialami oleh pesakit kanak-kanak akibat pengambilan gula yang berlebihan. 

  • Masalah Gigi Sensitif

Jika anda mengalami gejala seperti sakit yang mencucuk dan berlaku sepantas kilat selepas anda makan aiskrim, anda mungkin mengalami masalah gigi sensitif. Kebiasaannya, makanan yang sejuk, manis dan berasid boleh menyebabkan masalah ini timbul. Selain itu, terdapat segelintir pesakit yang mengadu mengalami masalah ini sewaktu memberus gigi. Puncanya ialah lapisan enamel yang terhakis sehingga ‘Dentin’ yang bersambung dengan saraf gigi terdedah kepada stimulasi. 

  • Gigi Retak

Trauma akibat kemalangan, pergaduhan atau tergigit makanan yang keras sehingga menyebabkan gigi retak boleh menyumbang kepada simptom ini. 

  • Jangkitan Gigi

Memandangkan mulut berfungsi untuk mengunyahi makanan, maka gigi sering terdedah kepada jangkitan kuman. Pesakit boleh mengalami demam, sakit gigi dan kadang-kala bernanah pada kawasan gigi yang terjejas. Apabila hal ini berlaku, pesakit disarankan untuk mendapatkan rawatan lanjut dengan segera. 

  • Penyakit Gusi Seperti Radang Gusi Dan Jangkitan Tulang Di Sekitar Gusi

Radang gusi atau terma medikal, Gingivitis ialah keadaan di mana gusi menjadi bengkak, merah dan mudah berdarah apabila diberus atau diflos. Keradangan gusi ini timbul apabila plak gigi yang keras menggesel permukaan gusi. Plak gigi yang telah menjadi keras ini yang turut dikenali sebagai ‘Tartar’ hanya boleh dibersihkan oleh doktor gigi menggunakan peralatan yang sesuai. 

Jika radang gusi tidak dibendung, penyakit gusi yang lebih teruk seperti jangkitan tulang di sekitar gusi yang dikenali sebagai Periodontitis. Apabila jangkitan ini berlaku, gusi menjadi terhakis sehingga menghasilkan poket pada gusi. Poket ini akan menjadi tempat kuman membiak dan terkumpul dan jika tidak dirawat, hakisan akan terus berlaku sehingga menyebabkan gigi tertanggal dengan sendiri. 

Kadang kala, simptom ini bukan disebabkan oleh masalah pada bahagian gigi, namun, ia boleh disebabkan sakit pada bahagian lain dan hal ini dikenali sebagai sakit rujukan (Reffered Pain). Ia dikatakan berlaku kerana bahagian yang berpenyakit tersebut berkongsi saraf yang sama. 

  • Sakit sendi rahang
  • Sakit telinga
  • Radang sinus/ Sinus tersumbat

Apakah Kesan Buruk Sakit Gigi?

Seperti yang kita maklum, masalah ini bukanlah sakit yang boleh dipandang enteng hanya semata-mata ia tidak melibatkan organ penting seperti jantung, paru-paru, otak dan sebagainya. Rata-rata pesakit mengatakan simptom yang mereka alami boleh menjadi teruk sehingga tahap kesakitan yang diberikan mencapai 10/10. Maka, tidak mustahil simptom ini mempengaruhi setiap aspek pesakit termasuk mental dan fizikal. 

  • Mengganggu waktu tidur 
  • Menjejaskan emosi sehingga menyebabkan pesakit berasa murung
  • Mutu pekerjaan terjejas kerana pesakit tidak boleh melakukan apa-apa aktiviti akibat sakit yang melampau
  • Berat badan berkurangan kerana sukar untuk mengunyah makanan dan sukar untuk membuka mulut. 

Bagi mengelakkan kesan buruk ini berlaku, anda harus segera mendapatkan rawatan lanjut. Namun, bagi pesakit yang masih lagi berdegil untuk mengunjungi klinik gigi berdekatan, mereka harus tahu tentang gejala-gejala berikut yang boleh dikatakan berbahaya jika pesakit masih lagi menghiraukan keadaan gigi mereka. 

  • Demam 
  • Gusi yang merah, bengkak dan menghasilkan bau busuk
  • Sukar untuk mengunyah atau menelan makanan
  • Trauma
  • Sakit lebih daripada 2 hari
  • Tidak boleh melakukan sebarang aktiviti

Apakah Cara Mudah Untuk Menghilangkan Sakit Gigi?

  • Dapatkan rawatan lanjut daripada doktor gigi
  • Mengambil ubat tahan sakit. Walaupun, kebanyakan pesakit mengatakan ubat ini tidak hilangkan simptom yang menggerunkan ini, namun, ia boleh mengurangkan tahap kesakitan yang dialami oleh pesakit. 
  • Berkumur-kumur dengan air garam yang suam
  • Menekap bahagian bengkak dengan ais
  • Kerap memberus dan flos gigi bagi membuang makanan yang menyebabkan iritasi pada gusi
  • Mengambil rawatan yang diberikan doktor gigi anda seperti antibiotik jika jangkitan kuman berlaku

Bagaimanakan Cara Mencegah Sakit Gigi?

Nasihat pakar kesihatan yang sering kita dengar ialah mencegah itu lebih baik daripada merawat. Nasihat ini sememangnya sesuatu yang perlu kita maknai lebih-lebih lagi dalam membendung gejala ini. Tiada guna jika kita cuba mencari pelbagai jenis ubat seperti ubat sakit gigi tradisional, ubat sakit gigi gusi bengkak, ubat sakit gigi anak dan ubat sakit gigi alami cepat sembuh jika pencegahan untuk simptom ini berlaku sekali lagi tidak diamalkan. Oleh itu, bagi mencegah masalah ini daripada berlaku, petua dan saranan yang perlu anda amalkan ialah: 

  • Menjaga kebersihan mulut dengan kerap memberus dan flos gigi.
  • Menjaga kesihatan gigi dengan berjumpa dengan doktor gigi sekurang-kurangnya sekali setahun
  • Makan makanan yang sihat dan mengandungi kurang kandungan gula.
Saya berharap penerangan yang telah diberikan boleh menyelesaikan sedikit sebanyak keraguan anda. Jika anda masih mempunyai soalan tentang masalah ini, anda boleh berbincang dengan lebih lanjut dengan doktor kami. www.doctoroncall.com.my . 



Rujukan

Tentang DoctorOnCall

Artikel ini dikemaskini dan diselenggarakan oleh DoctorOnCall. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai jawapan, sila email kami di contact@DoctorOnCall.com.my

Tanya Doktor RM0
Hadiah Tunai RM30 eFarmasi
Tuntut RM300 Ujian COVID-19 >