
jean
5 tahun
Ayah ada kolesterol tinggi, apakah risiko saya?
Ayah saya ada kolestrol tinggi. Tapi saya jenis yang jaga makan dan selalu bersenam. Ada kemungkinanan ke saya akan dapat penyakit yang sama?

Dr Nur Syuhada binti Zulkifli,
5 tahun
Hai, terima kasih kerana mengemukakan soalan anda. Selain pemakanan yang tidak sihat dan kekurangan aktiviti fizikal, kolesterol tinggi juga boleh disebabkan oleh banyak faktor. Salah satu faktor adalah peningkatan umur. Fungsi organ akan menurun dengan peningkatan umur dan ini akan mempengaruhi proses metabolisme kolesterol.
Selain itu, merokok boleh menjejaskan saluran darah, menurunkan tahap kolesterol HDL (“baik”) dan menyebabkan gangguan metabolism. Berat badan yang berlebihan atau obesiti juga boleh meningkatkan kolesterol LDL (“jahat”) dan menurunkan kolesterol HDL (“baik”). Genetik atau sejarah keluarga turut mempengaruhi proses metabolisme kolesterol seseorang. Masalah genetik yang boleh menyebabkan kolesterol tinggi termasuk hiperkolesterolemia familial, defisiensi lipase hepatik dan defisiensi lipoprotein lipase familial. Faktor seterusnya yang boleh menyebabkan kolesterol tinggi adalah penyakit lain seperti kencing manis dan darah tinggi juga boleh meningkatkan risiko mendapat kolesterol tinggi. Akhir sekali, stres boleh mempengaruhi proses metabolisme seseorang.
Cara-cara lain untuk mencegah kolesterol tinggi termasuk mengekalkan berat badan yang ideal. Obesiti boleh diklasifikasi mengikut berat badan berdasarkan indeks jisim tubuh (BMI). Untuk orang asia, BMI 25 kg/m2 atau lebih diklasifikasi sebagai obes, sementara BMI 23 kg/m2 atau lebih sebagai berat badan berlebihan. Penurunan berat badan yang disyorkan pada peringkat permulaan adalah sebanyak 10% daripada berat badan asal dalam tempoh 6 bulan. Selain itu, anda harus berhenti merokok. Sekiranya anda merokok, anda boleh berhenti dengan kaedah-kaedah seperti terapi gantian nikotin, dapatkan sokongan dan menjauhkan diri dari tempat orang merokok. Anda juga harus tangani stres dan dapatkan tidur yang cukup. Akhirnya, buat pemeriksaan perubatan secara berkala.
Pastikan paras gula darah, kolesterol dan tekanan darah tinggi terkawal:
- Paras gula darah normal: 4.0 – 5.4 mmol/L (sebelum makan), < 7.8 mmol/L (2 jam selepas makan)
- Kolesterol biasa: Kolesterol total < 5.2mmol/L, trigliserida <1.7 mmol/L, kolesterol LDL (“buruk”) <2.6 mmol/L, kolesterol HDL (baik) <1.0mmol/L
- Tekanan darah normal: < 120/80 mmHg
Dapatkan pemeriksaan kesihatan berkala dan amalkan pemakanan dan gaya hidup sihat. Rujuk kepada doktor sekiranya anda inginkan nasihat lanjut. Terima kasih.