Kencing Manis
Baca Soalan

Cara mengatasi penyakit diabetes jenis 2

  • Terdapat pelbagai cara mengatasi kencing manis pada masa kini. Cara menangani diabetes melitus terbahagi kepada perubahan gaya hidup dan penggunaan ubat-ubatan yang merendahkan paras gula dalam darah.
  • Pesakit-pesakit kencing manis digalakkan untuk menggunakan ubat-ubatan seperti yang telah disyorkan oleh doktor.
  • Ubat kencing manis harus diambil setiap hari dalam dos yang sesuai.
  • Selain itu, para pesakit juga harus sentiasa patuh menghadiri sesi susulan di klinik untuk memantau kondisi mereka. Penggunaan alat glukometer untuk memantau paras gula adalah sangat digalakkan.
  • Pemantauan paras gula di rumah bukan sahaja membolehkan pengawalan paras gula yang lebih efektif, malah ia boleh memberi amaran jika paras gula telah menjadi terlalu rendah dan risiko hipoglisemia meningkat.
  • Para pesakit kencing manis juga disyorkan untuk sentiasa memeriksa kaki untuk sebarang luka dan memakai kasut yang sesuai di luar rumah.
  • Pesakit yang menghidap penyakit kencing manis harus mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat. Mereka harus mengurangkan pengambilan makanan yang mengandungi kandungan gula dan karbohidrat yang tinggi.
  • Selain itu, pengambilan makanan bergoreng, berminyak dan diproses harus dikurangkan. Pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan segar serta daging dan ikan harus ditingkatkan.
  • Pesakit kencing manis digalakkan untuk berbincang dengan pakar diet dan pemakanan untuk memperoleh maklumat tentang kombinasi makanan yang paling sesuai untuk mereka.
  • Selain pemakanan, pesakit kencing manis juga harus bersenam sekurang-kurangnya satu jam setiap hari. Untuk golongan yang mempunyai berat badan berlebihan, senaman dan pemakanan sihat adalah penting untuk menurunkan berat badan dan mengelakkan komplikasi kencing manis.
  • Pesakit-pesakit kencing manis juga disarankan untuk berhenti merokok dan meminum minuman keras kerana ia akan meningkatkan risiko untuk menghidap komplikasi kencing manis.

Bolehkah diabetes keturunan dicegah?

  • Untuk masa sekarang, tiada ubat yang terbukti sebagai cara mencegah diabetes keturunan.
  • Oleh itu, jika seseorang itu mempunyai keturunan diabetes, dia harus mengamalkan pemakanan sihat, bersenam dengan kerap dan mengawal berat badan untuk mencegah diabetes.

Risiko diabetes untuk ibu hamil dan cara mencegahnya

  • Golongan ibu yang mempunyai risiko tinggi untuk menghidap diabetes semasa hamil ialah wanita yang:
    • pernah menghidap diabetes semasa hamil

    • sejarah ahli keluarga yang menghidap diabetes semasa hamil

    • berumur lebih daripada 35 tahun

    • menghidap penyakit sindrom polisistik ovari (PCOS)

    • mempunyai berat badan berlebihan

    • pernah melahirkan anak yang melebihi 4 kg

  • Cara menurunkan gula darah pada ibu hamil ialah dengan menggunakan insulin dan pengamalan pemakanan yang sihat serta senaman yang kerap. Pengamalan diet yang sihat, senaman yang kerap serta berhenti merokok sebelum hamil akan membantu mencegah diabetes semasa kehamilan.

Written by: SASHINI A/P SEENIVASAGAM

MBBS (Melaka-Manipal)

18 Aug 2018
Perlu Bantuan?