Hepatitis C

Apakah Rawatan Penyakit Hepatitis C

Baca Soalan

  • Virus hepatitis C akan menyebabkan jangkitan kronik kepada 80 peratus pesakit yang terdedah kepada virus tersebut. Sebelum ini, hepatitis C merupakan penyakit yang digeruni kerana ia merupakan sejenis hepatitis yang tidak boleh disembuhkan.
  • Dengan perkembangan sains perubatan dalam abad ini, pelbagai ubat rawat hepatitis C telah dicipta untuk menyembuhkan penyakit ini.
  • Pada zaman sekarang, cara menyembuhkan hepatitis C yang terbaik ialah penggunaan ubat-ubatan antivirus.
  • Sebelum ini, rawatan hepatitis C mendatangkan kos yang tinggi kepada pesakit dan kos rawatan hep C untuk 12 minggu di hospital swasta atau di luar negara boleh mencecah RM 300,000.
  • Namun demikian, pesakit-pesakit hepatitis C boleh menjalankan rawatan di hospital kerajaan secara percuma dengan kos rawatan dibiayai oleh kerajaan Malaysia.

Ubat hepatitis C

  • Ubat hepatitis C paling berkesan ialah ubat antivirus seperti:
    • Sofosbuvir
    • Ledipasvir
    • Daclatasvir
  • Jenis ubat antivirus yang paling sesuai adalah bergantung kepada jenis virus hepatitis C yang menjangkiti seseorang pesakit.
  • Sebagai contoh, ubat daclatasvir adalah lebih berkesan terhadap virus hepatitis C genotaip 1 dan 2 dan kurang berkesan terhadap virus hepatitis C genotaip 4.
  • Secara umumnya, dua jenis ubat antivirus akan digunakan bersama untuk merawat hepatitis C.
  • Kombinasi dua ubat atau lebih, membolehkan pembasmian kuman yang lebih berkesan serta mengurangkan rintangan antivirus dalam kalangan virus hepatitis C. Di hospital-hospital kerajaan, kombinasi ubat antivirus yang digunakan ialah sofosbuvir dan daclatasvir.
  • Kombinasi ini dikatakan berupaya menyembuhkan 95 peratus daripada pesakit-pesakit hepatitis C kronik. Di hospital swasta dan negara asing, kombinasi lain seperti sofosbuvir-ledipasvir dan elbasvir-grazoprevir boleh digunakan.
  • Rawatan menggunakan ubat dijalankan selama 12 hingga 24 minggu bergantung kepada genotaip virus dan kondisi pesakit.
  • Untuk pesakit-pesakit yang menghidap sirosis hati akibat hepatitis C kronik, pembedahan pemindahan hati boleh dijalankan. Namun demikian, hati yang baru dipindah sering dijangkiti virus hepatitis C semula dan sirosis hati boleh kembali lagi.
  • Oleh itu, pesakit yang menerima pemindahan hati perlu menjalani rawatan antivirus untuk mengurangkan risiko sirosis hati.
  • Pesakit-pesakit hepatitis C akan disarankan untuk mengelakkan penggunaan ubat-ubatan yang boleh memudaratkan hati. Selain itu, pengambilan alkohol harus dihentikan.
  • Pesakit-pesakit hepatitis C kronik juga digalakkan mengambil vaksinasi hepatitis A dan hepatitis B untuk mencegah jangkitan virus lain yang akan mempercepat proses kerosakan hati.

Bolehkah hepatitis C dirawat sepenuhnya?

  • Hepatitis C merupakan penyakit yang boleh disembuhkan sepenuhnya.
  • Selagi pesakit sentiasa mengambil ubat seperti yang telah disyorkan, menghadiri segala sesi susulan di hospital dan menghindari segala perbuatan berisiko tinggi, maka peluang untuk sembuh dari hepatitis C adalah sangat tinggi.

Written by: Mohd Ramzdhan Bin Mohd Masdar

MD , Crimea State Medical University

18 Aug 2018
Perlu Bantuan?