Kulat di Faraj

Komplikasi Penyakit Kandidiasis (Candidiasis) Yang Boleh Terjadi

Baca Soalan

Seperti pelbagai lagi penyakit lain, jangkitan kulat candida boleh memberikan banyak masalah yang lebih besar. Peluang untuk mendapat masalah tersebut akan menjadi lebih tinggi sekiranya kandidiasis tidak dirawat dengan betul.

  1. Bagi jangkitan candida di mulut atau juga dikenali sebagai seriawan dalam kalangan masyarakat Melayu di Malaysia atau Indonesia, tanpa intervensi yang sesuai, jangkitan tersebut boleh merebak ke dalam salur makanan ataupun esofagus.
    • Seterusnya ia boleh tersebar ke bahagian perut dan paling teruk sekali sehingga dapat menjajah sistem peredaran darah.
    • Apabila ia terjadi, individu yang terjejas boleh menempuh maut oleh keadaan yang dinamakan sebagai ‘septic shock’ di mana tekanan darah akan berkurangan. Ia kemudian menyebabkan pesakit kekurangan oksigen.
  2. Bagi jangkitan di faraj wanita pula, antara bahaya kandidiasis ini adalah penyebaran jangkitan ke salur kencing dan seterusnya ke buah pinggang.
    • Namun, oleh kerana ubat antifungal yang amat berkesan, keadaan ini jarang sekali berlaku. Selain itu, komplikasi paling biasa yang boleh didapati adalah jangkitan semula.
    • Beberapa kajian yang telah dibuat telah mengesahkan bahawa sebanyak satu per empat daripada wanita yang terdedah kepada kandidiasis akan mengalaminya semula dalam pada masa setahun setelah jangkitan berjaya dihentikan.
    • Hal ini mungkin terjadi kerana persekitaran faraj wanita tersebut sendiri yang memudahkan kulat ini membiak dengan cepat dan banyak.
    • Apabila perkara ini terjadi, seseorang wanita itu akan mengalami pelbagai lagi masalah yang lain seperti kurang keyakinan diri. Mereka akan selalu memikirkan tentang hal ini dan berasa tertekan.
    • Selain itu juga, secara tidak langsungnya hubungan dengan pasangan boleh terjejas oleh kerana perkara tersebut dan juga kerana simptom jangkitan yang menyebabkan kesakitan semasa hubungan kelamin.
    • Sesetengah orang mungkin mengambil mudah tentang bahaya keputihan pada wanita tanpa menyedari situasi sebenar yang boleh berlaku.
  3. Jangkitan kulat ini ketika sedang sarat mengandung juga boleh dianggap normal.
    • Sekali lagi ia dikaitkan dengan perubahan pada kawasan persekitaran dan dalam faraj.
    • Untuk kebanyakan orang, kandidiasis ketika dalam waktu mengandung adalah perkara kecil yang boleh diubati dengan mudah.
    • Walaubagaiamanapun, untuk sesetengah wanita yang tidak bernasib baik, bahaya candida albicans kepada mereka amat besar. Hal ini kerana ia boleh mengakibatkan kelahiran pramatang, kepecahan air ketuban pramatang dan jangkitan kepada kandungan itu sendiri. Namun, masih tiada bukti saintifik yang konkrit dan jelas dalam hal ini tetapi adalah lebih selamat untuk sentiasa berjaga-jaga.

Secara umumnya, jangkitan kulat boleh dikatakan adalah perkara kecil yang boleh dirawat dengan mudah, tanpa memerlukan pesakit ditahan di dalam hospital. Walaupun begitu, ia tidak harus dipandang enteng kerana ia berupaya untuk mendatangkan pelbagai komplikasi, seperti yang telah dibincangkan di atas.

Written by: Dr Nur Syuhada Binti Zulkifli

Degree in Medicine, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

18 Aug 2018
Perlu Bantuan?