Kenali Makanan Pencetus Asma Yang Perlu Dielakkan Oleh Penghidapnya

5 Jenis Makanan Yang Boleh Mencetuskan Asma - DoctorOnCall

Ramai yang tidak menyedari bahawa punca penyakit asma salah satunya adalah disebabkan oleh faktor pemakanan. Hal ini kerana makanan boleh menyebabkan alahan bagi sesetengah individu. Reaksi atau alahan bagi setiap individu adalah berbeza bergantung kepada kuantiti hidangan yang dimakan dan jenis alahan yang dialami. 

Hampir 50% penghidap penyakit asma mendapat serangan apabila terdedah kepada bahan alahan dan terdapat juga asma yang boleh dicetuskan oleh bahan kimia termasuk seperti bahan pengawet dalam makanan. Sesetengah makanan juga boleh meningkatkan lendiran di dalam saluran pernafasan atau menyebabkan masalah lain yang boleh menyebabkan atau memburukkan serangan asma. Oleh itu, pemantauan terhadap jenis makanan adalah penting bagi penghidap asma agar mereka dapat mengelakkan serangan dan mengawal penyakit asma.


Jenis-Jenis Makanan Yang Perlu Diwaspadai Oleh Penghidap Asma


1. Produk Tenusu

Produk tenusu seperti susu, keju, yogurt, ais-krim atau mentega boleh menyebabkan simptom asma bertambah buruk bagi sesetengah pesakit asma. Hal ini kerana produk tenusu mengandungi mukosa yang menyebabkan pengeluaran lendir yang berlebihan dalam paru-paru seterusnya meningkatkan keradangan. 

Anda digalakkan untuk menghentikan produk tenusu selama beberapa minggu untuk melihat tanda-tanda asma yang dialami semakin bertambah baik atau tidak. 

Jika anda hanya mengalami gejala yang ringan, maka anda disarankan untuk mengehadkan produk tenusu dan mengambil dalam kadar yang diperlukan sahaja untuk mengekalkan diet yang seimbang. 

Misalnya, meskipun yogurt dapat mencetuskan gejala asma, namun, jika ia diambil dalam kuantiti yang sederhana ia dapat meningkatkan fungsi penghadaman kerana ia mengandungi bakteria baik atau prebiotik yang diperlukan oleh usus. 

Sila rujuk dengan doktor anda untuk mengetahui jika anda boleh mengambil produk tenusu dengan selamat tanpa menyebabkan gejala asma anda bertambah buruk.


2. Makanan Berlemak

Makanan berlemak seperti daging merah, makanan bergoreng, kek, donut dan santan akan memburukkan lagi gejala asma dan meningkatkan tahap keradangan serta melemahkan fungsi paru-paru. 

Makanan ini juga akan menyebabkan berat badan bertambah dan menyukarkan seseorang untuk mengekalkan berat badan yang ideal terutamanya jika anda mempunyai penyakit asma. Jika anda mempunyai berat badan yang berlebihan, paru-paru akan bekerja dengan lebih keras dan memberi kesan yang tidak baik kepada kesihatan. 

Walau bagaimanapun, tidak semua makanan berlemak harus dielakkan. Terdapat makanan mengandungi lemak sihat yang boleh diamalkan seperti avokado, minyak zaitun, kekacang serta ikan salmon yang mengandungi minyak omega-3 yang dapat membantu pesakit asma untuk melawan keradangan. 


3. Makanan yang diproses

Pada masa kini banyak makanan yang diproses mengandungi bahan pengawet dan pewarna tiruan. 

Selain itu, makanan seperti makanan segera, makanan sejuk beku dan makanan bergoreng adalah tidak baik untuk pesakit asma dan perlu dielakkan. Sebaliknya banyakkan makan buah-buahan dan sayur-sayuran untuk mengekalkan tahap keseimbangan kesihatan anda. 

Makanan diproses sedap dimakan tetapi memberi kesan yang buruk kepada kesihatan anda terutamanya untuk jangka masa yang panjang. Menurut kajian, jika seseorang makan daging yang diproses empat kali atau lebih dalam masa seminggu akan menyebabkan asma yang lebih buruk dalam tempoh tujuh tahun.


4. Makanan yang bergas

Makanan yang bergas sering dikaitkan dengan mereka yang mempunyai penyakit seperti GERD atau gastritis. Namun tahukah anda bahawa pesakit asma juga mempunyai kecenderungan untuk mempunyai alah terhadap makanan yang mengandungi gas yang akan menyebabkan tekanan kepada diafragma seterusnya menyebabkan ketidakselesaan pada perut dan mengakibatkan simptom seperti sesak nafas. 

Berikut merupakan makanan yang mengandungi gas yang perlu diambil secara terkawal oleh pesakit asma:

  • Bawang putih

  • Brokoli

  • Asparagus

  • Makanan bergula

  • Minuman berkarbonat


5. Makanan yang mengandungi sulfit

Makanan yang mengandungi sulfit seperti yang banyak terkandung dalam bahan pengawet digunakan untuk memastikan makanan tahan lama dan mengelakkan dari pertumbuhan bakteria. Dianggarkan sekitar 5%-10% orang yang menghidap asma alah terhadap sulfit. Sulfit akan mengeluarkan gas sulfur yang membuatkan saluran paru-paru menjadi sempit seterusnya memicu serangan asma seperti sesak nafas. 

Contoh makanan yang mengandungi sulfit adalah seperti berikut:

  • Jus lemon atau jus buah-buahan

  • Buah-buahan kering

  • Cuka epal

  • Kentang yang dikupas

  • Udang dan makanan bercengkerang 

Meskipun peratusnya tidak tinggi namun alahan terhadap makanan yang mengandungi sulfit adalah berbahaya kerana ia boleh mengancam nyawa dan menyebabkan gejala seperti anafilaksis. Jika anda mempunyai simptom seperti kegatalan, sakit perut, sakit kepala, tekanan darah yang turun mendadak, kesukaran untuk menelan atau bernafas maka cepatlah bertindak untuk mendapatkan rawatan kecemasan. 

Makanan yang disarankan untuk penghidap asma

Terdapat makanan yang patut diamalkan oleh mereka yang menghidap asma bagi mengurangkan simptom dan menjamin kelangsungan gaya hidup yang sihat. Berikut adalah makanan yang digalakkan: 

  • Beta-karoten: Beta-karoten adalah agen kepada vitamin A dan tinggi dengan antioksidan. Antioksidan bertindak melindungi kulit daripada radikal bebas dengan meningkatkan tahap sistem imun tubuh. Contoh makanan yang mengandungi beta karoten adalah lobak merah. 

  • Sayur bayam: Sayuran seperti bayam baik untuk penghidap asma kerana ia mengandungi folat iaitu vitamin B9 yang penting untuk kesihatan sel darah merah dan pertumbuhan tisu serta fungsi genetik.

  • Vitamin C: Vitamin C mengandungi antioksidan yang dapat meningkatkan sistem pertahanan melawan penyakit dan melindungi paru-paru daripada kemasukan agen jahat seperti bakteria dan virus. Antara contoh buah yang kaya dengan vitamin C seperti oren, kiwi, anggur, betik dan strawberi. 

  • Magnesium: Makanan yang mengandungi magnesium seperti bayam, biji labu, ikan salmon baik kepada pesakit asma. Magnesium bertindak dengan memberi relaksasi otot pada paru-paru dengan membuka rongga pernafasan seterusnya memberi rasa lega kepada penghidap asma untuk bernafas dengan lebih baik. 

Rujukan:

* Inisiatif konsultasi doktor percuma disokong dan ditanggung sepenuhnya oleh DoctorOnCall