Benarkah Vaksin COVID-19 Menyebabkan Reaksi Alahan Serius?
Tujuan Vaksin COVID-19
Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dilancarkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 24 Februari 2021 sebagai langkah untuk menghentikan dan mencegah penularan COVID-19 di negara kita. Program ini dibahagikan kepada tiga fasa dan dijangka akan siap pada Februari 2022 di mana kira-kira 80% penduduk Malaysia dijangka akan selesai divaksinasi.
Vaksin COVID-19 ini diberi dengan tujuan untuk mengaktifkan sistem imun terhadap virus COVID-19 sebelum anda menunjukkan gejala sistemik sekiranya anda dijangkiti oleh virus sebenar pada masa hadapan. Vaksin melatih badan untuk menghasilkan protein yang dikenali sebagai antibodi yang berfungsi untuk melindungi tubuh daripada jangkitan.
Sebagaimana ubat-ubatan dan rawatan lain, terdapat kesan sampingan yang boleh berlaku dengan pengambilan vaksin seperti reaksi alahan, Namun, risiko untuk seseorang mendapat kesan sampingan reaksi alahan selepas vaksin adalah rendah, sekitar 1 dalam 100,000 suntikan.
Kesan Sampingan Vaksin
Vaksin ini akan disuntik pada otot deltoid, sama ada di sebelah kiri atau kanan. Selepas disuntik, anda akan dipantau selama 30 hingga 40 minit untuk melihat sama ada anda mengalami sebarang kesan sampingan ataupun tidak. Sekiranya anda mengalami sebarang gejala selepas menerima vaksin tersebut, anda tidak perlu risau kerana gejala tersebut biasanya adalah tidak serius dan akan sembuh dalam jangka masa singkat. Berikut merupakan beberapa kesan sampingan vaksin COVID-19 secara umum:
Lokal (Pada Bahagian Suntikan):
Sakit
Kemerahan
Bengkak
Gatal
Jangkitan
Sistemik (Sistem Badan):
Demam
Lemah dan lesu
Cirit-birit
Sakit kepala
Pening kepala
Salah satu kesan sampingan yang jarang dialami oleh seseorang yang menerima vaksin adalah reaksi alahan ataupun anafilaksis iaitu alahan yang lebih teruk dan boleh mengancam nyawa sekiranya tidak ditangani dengan segera. Antara gejala reaksi alahan adalah seperti berikut:
Reaksi kulit seperti timbul ruam dan gatal-gatal
Kesukaran bernafas akibat pengecilan saluran pernafasan
Nadi yang lemah dan laju
Sakit dan pening kepala
Loya, muntah dan cirit-birit
Pitam
Pengecualian Vaksin
Oleh itu sekiranya anda memenuhi salah satu daripada kriteria di bawah, anda dikecualikan untuk menerima vaksin:
Sejarah kemasukan hospital disebabkan jangkitan COVID-19
Mempunyai sejarah alahan terhadap vaksin sebelumnya
Mempunyai alahan terhadap bahan-bahan yang digunakan dalam vaksin yang diterima
Mengalami reaksi alahan selepas menerima dos pertama vaksin COVID-19
Sedang menyusukan bayi
Cara Menangani Reaksi Alahan
Walaupun reaksi alahan ini berbahaya sekiranya terjadi, namun ia mudah untuk ditangani sekiranya gejala dapat dikesan pada peringkat awal. Secara purata, kebanyakan individu yang mengalami reaksi alahan akan menunjukkan gejala sekitar 15 minit selepas mendapat suntikan apabila sistem imun telah mula aktif membina imuniti terhadap vaksin tersebut. Bergantung kepada gejala yang dialami, setiap gejala akan ditangani dan dirawat dengan cara yang berbeza.
Apakah Yang Perlu Anda Lakukan Sekiranya Anda Mengalami Reaksi Alahan?
Reaksi Alahan Yang Serius:
Sekiranya anda mengalami kesan sampingan yang serius selepas menerima suntikan dos pertama, anda tidak perlu mendapatkan dos kedua. Menurut Center for Disease Control (CDC) seseorang yang mengalami reaksi alahan yang serius (anafilaksis) perlu dirawat dengan segera di hospital menggunakan epinefrin dan beberapa rawatan sokongan lain untuk melegakan gejala yang dialami.
Reaksi Alahan Yang Kurang Serius:
Walaupun anda mengalami reaksi alahan yang kurang serius dan tidak memerlukan perhatian segera oleh doktor dan rawatan kecemasan dalam beberapa keadaan, anda juga tidak perlu mendapatkan dos kedua vaksin COVID-19. Kebanyakan reaksi alahan berlaku sekitar empat jam selepas suntikan diberikan. Antara reaksi alahan yang kurang serius tetapi perlu diberikan perhatian adalah apabila nafas anda berbunyi (disebabkan pengecilan saluran pernafasan), timbul ruam gatal dan bengkak. Anda akan diletakkan di ruang pengawasan atau dihantar ke hospital dengan segera sekiranya anda mengalami gejala yang dinyatakan.
Mengalami Ruam
Sekiranya terdapat ruam di sekitar kawasan suntikan vaksin tersebut, anda boleh mengambil dos kedua tetapi di kawasan berlainan pada waktu yang telah dijadualkan. Kesan ruam di tempat suntikan boleh berlangsung selama beberapa hari atau minggu.
Sekiranya anda mengalami ketidakselesaan di bahagian yang disuntik, anda boleh lakukan beberapa perkara di bawah:
Mengenakan tuala bersih yang lembap di kawasan suntikan
Melakukan senaman ringan bahagian lengan untuk mengurangkan rasa sakit
Mengambil ubat tahan sakit sekiranya tidak selesa
Mengambil ubat tahan gatal sekiranya terdapat gatal-gatal di kawasan suntikan
Bilakah Anda Perlu Berjumpa Dengan Doktor?
Anda dikehendaki untuk pergi ke hospital atau klinik berdekatan sekiranya anda:
Masih mengalami ketidakselesaan walaupun ubat-ubatan telah diambil
Kawasan suntikan menjadi semakin sakit dan terdapat reaksi inflamasi seperti bengkak dan bernanah
Mengalami masalah pernafasan seperti sukar bernafas dan sakit dada
Sekiranya anda mengalami sebarang masalah atau reaksi alahan setelah mendapat suntikan pertama atau kedua vaksin COVID-19, anda perlulah menghubungi doktor atau klinik di mana anda mendapat suntikan tersebut supaya rekod mengenai kesan sampingan vaksin dapat diambil dan rawatan dapat diberikan oleh anda. Kesan sampingan yang dilaporkan oleh anda adalah penting untuk pemantauan keselamatan vaksin tersebut dan data tersebut akan dikemaskini dari masa ke masa untuk penambahbaikan vaksin COVID-19 yang akan dihasilkan pada masa hadapan. Anda tidak perlu risau kerana kesan sampingan vaksin kebanyakannya adalah ringan dan doktor juga sentiasa bersedia untuk merawat sekiranya anda menunjukkan kesan sampingan daripada vaksin tersebut.
* Inisiatif konsultasi doktor percuma disokong dan ditanggung sepenuhnya oleh DoctorOnCall