Adakah Golongan Muda Boleh Mendapat Jangkitan COVID-19 Yang Serius?
Pengenalan
Ramai orang beranggapan bahawa COVID-19 hanya menjejaskan golongan tua. Namun ternyata tanggapan ini tidak benar sama sekali. Hal ini kerana sudah terdapat banyak kes yang melibatkan golongan muda malahan kanak-kanak mahupun bayi yang terkesan akibat COVID-19. Kenyataan ini turut diluahkan oleh ketua cawangan WHO di eropah iaitu Hans Kluge. Beliau juga turut menyatakan bahawa usia bukan satu-satunya faktor bagi penyakit serius termasuk COVID-19.
Terdapat banyak kes serius dilaporkan dalam kalangan orang muda. Ada yang memerlukan rawatan rapi dan ada juga yang melibatkan kematian.
Amaran rasmi turut dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bahawa kanak-kanak juga boleh dijangkiti virus COVID-19 dan jangkitan ini juga boleh memudaratkan dan menyebabkan kematian dalam kalangan mereka. Data yang dikumpul daripada banyak negara jelas menunjukkan bahawa golongan yang berusia bawah 50 tahun adalah sebahagian besar pesakit yang perlu dimasukkan ke hospital seluruh dunia.
Justeru, golongan muda mestilah patuh kepada SOP yang ditetapkan dan mengamalkan norma baru dengan tidak berhimpun sesuka hati, menjaga kebersihan dan memakai pelitup muka di tempat awam.
Info Kematian Melibatkan Mereka Yang Masih Muda
Antara kes kematian yang melibatkan orang muda akibat Covid-19 di Malaysia adalah:
- 7 Feb - Pesakit wanita berusia 18 tahun (sejarah masalah asma)
- 7 Feb - Pesakit wanita berusia 37 tahun (sejarah masalah buah pinggang)
- 24 Dis - Pesakit wanita berusia 15 tahun
Punca Orang Muda Dijangkiti Dan Maut Akibat COVID-19
Terdapat beberapa kemungkinan yang menjadi punca orang muda maut akibat COVID-19. Antara puncanya adalah:
1. Tidak mengetahui status penyakit yang mereka sedang alami akibat tidak pernah menjalani ujian saringan kesihatan sebelum ini.
2. Merasakan diri mereka sihat atas faktor usia mereka yang masih muda
3. Mengambil pendekatan tunggu dan lihat walaupun mempunyai gejala pernafasan seperti batuk dan demam tanpa menyedari gejala tersebut boleh membawa maut.
4. Tidak mendapatkan rawatan awal atau takut untuk mendapatkan rawatan lantas menyebabkan keadaan bertambah teruk.
5. Dibelenggu kemiskinan dan perlu bekerja untuk menyara keluarga
6. Kelonggaran perintah kawalan kerana mahu memulihkan ekonomi yang mengalami kemelesetan teruk hingga memaksa pekerja kembali bekerja walaupun pandemik masih belum reda.
7.Tidak mempunyai penyakit kronik seperti kencing manis dan darah tinggi, tetapi berlaku komplikasi dalam darah yang menyebabkan darah menjadi pekat dan membeku sekaligus menyebabkan thrombosis berlaku di dalam badan. Contoh kes covid ke-106.
8. Variasi gene ACE2. Menurut sebuah artikel yang diterbitkan oleh majalah Science, imunologis, Dr. Philip Murphy dari National Institute of Allergy and Infectious Diseases/NIAID di Amerika Syarikat, menjelaskan bahawa variasi gene ACE2 yang mengubah reseptor dapat membuat virus lebih mudah atau lebih sukar untuk masuk ke dalam sel paru-paru seseorang.
Apa Kata Pakar
Mari kita lihat pendapat pakar mengenai perkara ini:
1. Dr Christopher yang juga bekas Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal) turut menyangkal andaian bahawa hanya individu berusia berpotensi dijangkiti COVID-19.
2. Pakar Perubatan Kesihatan Awam Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Dr Mohd Dzulkhairi Mohd Rani berkata, terdapat ramai pesakit Covid-19 golongan muda yang tidak mengetahui status kesihatan mereka.
3. Bekas Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Datuk Dr Rohaizat Yon berkata, kematian yang berlaku melibatkan golongan muda sejak kebelakangan ini, besar kemungkinanan adalah atas sebab tidak mendapat rawatan awal atau takut mendapat rawatan menyebabkan keadaan bertambah teruk namun siasatan terperinci harus dilakukan.
Kesimpulan
Apa yang dapat disimpulkan daripada artikel ini adalah golongan muda juga boleh dijangkiti dan tidak mustahil untuk mendapat komplikasi atau maut akibat virus ini, sama seperti kumpulan masyarakat lain.
COVID-19 di kalangan golongan muda adalah bidang yang memerlukan kajian lanjut, menurut Kementerian Kesihatan Malaysia. Walaupun organisasi ini berusaha meningkatkan kualiti perkhidmatannya untuk membantu menghentikan penularan COVID-19, tanggungjawab untuk memulihkan masyarakat ada pada rakyat Malaysia, sama ada tua atau muda. Kita boleh melakukan ini dengan mematuhi garis panduan terkini dan menyedari bahawa walaupun kita sendiri tidak terkesan, tindakan kita mempunyai potensi untuk mempengaruhi orang lain.
* Inisiatif konsultasi doktor percuma disokong dan ditanggung sepenuhnya oleh DoctorOnCall