PLATFORM kesihatan digital pertama dan terbesar di Malaysia, DoctorOnCall hari ini mengumumkan pelancaran Program COVID-19 CARE Assist DoctorOnCall yang ditawarkan untuk semua pembeli kit ujian kendiri Rapid Antigen (RTK-Ag).
Kemudahan tersebut ditawarkan kepada semua pembeli kit ujian kendiri tersebut yang dibeli dari laman web perkhidmatan farmasi dalam talian DoctorOnCall, bermula 15 Ogos.
Orang ramai kini dapat melakukan pemeriksaan sendiri untuk mengetahui status jangkitan COVID-19 mereka dengan segera melalui kit ujian kendiri RTK-Ag tersebut.
Dengan pelancaran program itu, setiap pembelian kit ujian kendiri RTK-Ag dari platform DoctorOnCall atau cawangan syarikat rakan kerjasamanya pada masa depan akan disertakan dengan kad COVID-19 CARE Assist.
Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Pemasaran DoctorOnCall, Hazwan Najib berkata, perkara paling sukar selepas menjalani ujian COVID-19 adalah apabila ia menunjukkan hasil ‘POSITIF’.
“Kebanyakan orang akan menjadi panik dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan selepas itu. Oleh itu, kami membangunkan program bantuan COVID-19 CARE Assist untuk memberikan sokongan sepenuhnya kepada pelanggan sekiranya ujian mereka didapati POSITIF,” katanya.
Pasukan Hotline COVID-19 DoctorOnCall di talian 03-84082000 akan membantu mereka mengambil langkah seterusnya dengan menghubungkan pesakit kepada doktor yang bertugas – dari pukul 8 pagi hingga 12 tengah malam setiap hari, termasuk pada cuti umum.
Kesemua kemudahan itu ditawarkan sebagai salah satu daripada program COVID-19 CARE Assist.
“Kami juga memberikan diskaun yang banyak kepada pesakit yang ‘POSITIF’ sekiranya mereka perlu menjalani ujian lanjut rt-PCR dan pakej Kit Pemantauan Rumah COVID-19 (seperti produk Oximeter dan lain-lain), ” katanya.
Bagaimanapun, katanya, walaupun pembeli kit yang diuji NEGATIF, mereka masih boleh mendapat pelbagai faedah lain sebagai ahli kad CARE Assist.
Keahlian tersebut diberikan tanpa kos tambahan kepada pelanggan yang membeli kit ujian kendiri Rapid-Ag COVID-19 yang sah dari platform DoctorOnCall atau saluran rakan kerjasamanya, katanya.
Hazwan juga berkata, DoctorOnCall sedang berusaha untuk menawarkan program COVID-19 CARE Assist dengan lebih banyak faedah lain seperti perlindungan insurans PERCUMA dan pelbagai faedah yang ditawarkan outlet Rakan Perniagaan yang akan diumumkan tidak lama lagi.
Platform DoctorOnCall pada masa ini menawarkan produk kit ujian kendiri RTK-Ag berjenama Gmate, Salixium, ALLTEST dan NewGene.
Kad COVID-19 CARE Assist DoctorOnCall itu akan membolehkan pembeli mendapat laporan keputusan ujian yang lancar bagi tujuan penjejakan peribadi dan tidak lama lagi akan dihubungkan kepada aplikasi MySejahtera untuk tujuan pelaporan dan pengesanan ujian.
Program COVID-19 CARE Assist juga dilengkapi dengan Program Korporat yang mana pekerja dapat melaporkan ujian kendiri mereka kepada majikan masing-masing untuk tujuan pengesanan dan pemantauan yang lebih baik.
Sila e-mel kepada: [email protected] untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai program tersebut. Program Korporat tersebut juga boleh ditawarkan oleh Pelanggan Korporat Caring dengan kerjasama DoctorOnCall.
Dengan beberapa jenama yang terdapat di pasaran yang telah diluluskan, kit yang ditawarkan DoctorOnCall sesuai dengan pilihan individu kerana tiada banyak perbezaan yang signifikan antara kit-kit ujian tersebut dan tahap ketepatannya.
“Oleh kerana ujian membawa kadar ketepatan sekitar 91 peratus, anda dapat membuat keputusan dan apa-apa persiapan yang berkaitan dengan keadaan anda dengan cepat,” kata Hazwan.
Melalui kemudahan DoctorOnCall Telehealth, anda juga dapat menempah ujian PCR COVID-19 sama ada dengan menempah slot di klinik/hospital berdekatan, kemudahan pandu terus atau menempah ujian rumah oleh pasukan pakar.