Penyakit Zika adalah jangkitan virus yang dibawa oleh nyamuk yang selalunya berlaku di kawasan tropika dan subtropika di seluruh dunia.
Minta penjelasan apa itu penyakit zika (Zika Virus), penyebab dan tanda-tandanya?
Salam doktor. Saya merupakan seorang ibu kepada seorang anak saya yang sedang mengalami demam sejak 3 hari yang lalu. Anak saya berumur 12 tahun dan bersekolah di salah sebuah sekolah rendah di Kuala Lumpur.
Gejala demam itu datang secara beransur-ansur tetapi suhu badan anak ketika demam tidak terlalu tinggi, lebih kurang dalam 37.8 degree Celsius. Tetapi, saya berasa agak lega kerana dia dapat tidur dengan baik pada malam hari dan tidak mengalami sebarang gigil ketika tidur. Saya juga turut cuba membeli ubat demam di farmasi dan ia telah membantu merawat demam anak saya. Malangnya, suhu badannya akan meningkat semula keesokan harinya. Selain daripada itu, dia turut mengadu yang dia berasa tidak larat dan tidak mampu fokus ketika belajar di sekolah. Dia berasa lenguh-lenguh di bahagian sendi badan dan sakit-sakit otot walaupun tidak melakukan aktiviti yang berat. Dia juga mengalami sakit-sakit di bahagian belakang mata tetapi ia tidak berterusan sepanjang hari. Dengan semua gejala yang anak saya hadapi, saya membuat keputusan untuk berjumpa dengan doktor.
Menurut doktor, anak saya mungkin mengalami demam denggi dan dia juga ada bercakap mengenai penyakit zika. Saya tidak sempat untuk bertanya dengan lebih lanjut mengenai penyakit tersebut. Bolehkan doktor jelaskan apakah itu penyakit zika? Apakah penyebab dan gejala serta tanda yang boleh dialami oleh seseorang yang dijangkiti dengan virus Zika? Apakah rawatan yang sesuai untuknya? Saya harap doktor dapat menjelaskan dengan lebih teliti mengenai penyakit zika.
Terima kasih atas soalan anda.Saya akan berusaha sebaik mungkin untuk menjawab segala persoalan puan Penyakit Zika (Zika Virus) adalah disebabkan oleh virus Zika yang disebarkan oleh nyamuk Aedes, spesies yang sama yang menyebarkan virus denggi dan chikungunya. Kebanyakan orang yang dijangkiti virus Zika tidak mempunyai sebarang tanda dan gejala, sementara yang lain ada yang melaporkan demam ringan, ruam dan sakit otot. Tanda-tanda dan gejala lain termasuklah sakit kepala, mata merah (konjuntivitis) dan perasaan tidak selesa. Para penyelidik masih lagi dalam usaha untuk menghasilkan vaksin virus Zika. Buat masa ini, rawatan dan pencegahan terbaik adalah untuk mencegah gigitan nyamuk dan mengurangkan habitat nyamuk Aedes.
Apakah itu penyakit zika
Apakah penyebab zika
- Penyebab bagi penyakit ini ialah virus Zika, pertama kali dikenal pasti pada monyet di Uganda pada tahun 1947, ditularkan oleh nyamuk Aedes, jenis nyamuk yang sama yang menyebabkan demam denggi, demam kuning, dan virus chikungunya. Virus Zika ini turut menjejaskan orang di Afrika, Asia, Kepulauan Pasifik, dan Amerika Selatan dan Tengah.
- Terdapat beberapa spesies Aedes yang boleh menyebarkan virus Zika. Yang utama adalah Aedes albopictus, atau nyamuk harimau Asia, dan Aedes aegypti, yang dikenali sebagai nyamuk demam kuning.
- Nyamuk menggigit orang yang dijangkiti dan kemudian menyebarkan virus tersebut kepada orang lain dengan menggigitnya. Wabak penyakit zika tidak berlaku luar daripada Afrika sehinggalah pada tahun 2007, apabila ia merebak ke Pasifik Selatan.
- Tidak seperti nyamuk yang membawa virus malaria, Aedes paling aktif pada siang hari. Kaedah pencegahan seperti penggunaan kelambu adalah kurang efektif. Nyamuk dapat hidup dalam persekitaran dalaman dan luaran.
- Pada 2016, wabak yang besar telah berlaku di Brazil dan ini menimbulkan kesedaran antarabangsa, dan kes-kes yang disebabkan oleh virus Zika telah dilaporkan di Amerika Syarikat (U.S), di Texas dan Florida
Bagaimanakah Zika merebak
Melancong ke kawasan di mana virus Zika sedang berleluasa adalah faktor risiko utama untuk penyakit ini.
- Ia selalunya merebak melalui gigitan nyamuk, tetapi ia juga boleh merebak melalui:
- Dari seorang wanita hamil kepada janinnya
- Melalui hubungan seksual
- Melalui transfusi darah
- Sehingga kini, tidak ada transmisi virus yang berlaku daripada ibu kepada bayi semasa menyusu.
- Selepas seseorang itu mengalami virus penyakit ini, mereka akan dilindungi daripada penyakit zika pada masa akan datang.
Gejala penyakit zika
Penyakit Zika mungkin tidak menunjukkan gejala, atau gejala samar-samar dan ringan dan ia boleh berlanjutan sehingga seminggu. Gejala dan tanda awal bagi penyakit ini adalah:
- Demam
- Ruam
- Sakit sendi
- Konjunktivitis, atau mata kemerahan
- Sakit otot
- Sakit kepala
- Sakit di belakang mata
- Muntah
Jangkitan virus Zika jarang menjadi lebih teruk sehingga dimasukkan ke hospital, dan masih jarang bagi seseorang untuk mati akibat daripada penyakit ini.
Komplikasi penyakit zika
- Komplikasi Zika boleh memudaratkan, terutamanya jika seorang wanita dijangkiti virus tersebut semasa hamil.
- Ia boleh menyebabkan kecacatan otak yang dikenali sebagai “microcephaly” pada anak yang belum lahir. Otak dan kepala bayi yang baru lahir akan lebih kecil saiznya daripada biasa.
- Kehilangan kehamilan
- Bayi yang mati dalam rahim
- Ketidakupayaan kongenital
- Semasa wabak Zika yang besar berlaku di Brazil, terdapat peningkatan 10 kali ganda pada bayi yang baru lahir dengan “microcephaly” selepas Oktober 2015, berbanding tahun-tahun sebelumnya.
- Terdapat juga beberapa laporan mengenai orang yang mengalami sindrom Guillain-Barré berikutan jangkitan virus Zika. Sindrom Guillain-Barré adalah gangguan autoimun yang jarang berlaku tetapi ia adalah serius yang mempengaruhi sistem saraf pusat.
Apakah rawatan zika
Pada masa ini, tiada rawatan untuk Zika. Seseorang yang mempunyai gejala perlu:
- Berehat
- Tingkatkan pengambilan air masak untuk mengelakkan dehidrasi
- Mengambil ubat tahan sakit untuk melegakan kesakitan dan demam
- Elakkan penggunaan aspirin atau ubat-ubatan anti-radang bukan steroid (NSAIDs) yang lain sehingga diagnosis denggi bukanlah penyebabnya pada mereka yang berisiko disebabkan oleh risiko pendarahan.
- Untuk wanita hamil yang didiagnosis dengan penyakit Zika haruslah dipertimbangkan untuk memantau pertumbuhan janin setiap 3 hingga 4 minggu. Mereka juga disyorkan untuk berjumpa dengan doktor yang pakar dalam pengurusan kehamilan sama ada penyakit berjangkit atau perubatan janin-ibu.
Jika terdapat apa-apa kemusykilan, sila rujuk nasihat doktor yang boleh dijumpai di klinik atau hospital. Jika ia bukan kecemasan, anda juga boleh mendapatkan nasihat daripada doktor di laman web www.doctoroncall.com.my.
Terima kasih.
References