Kenali Sistem Peredaran Darah Manusia Dan Apakah Penyakitnya

Sistem Peredaran Darah Manusia: Kenali Tubuh Anda - DoctorOnCall

Pernahkah anda terfikir bagaimana darah dalam badan anda mengalir tanpa henti? Darah manusia mengalir ke seluruh tubuh melalui suatu sistem yang dinamakan sistem peredaran darah manusia atau nama lainnya sistem kardiovaskular.  Sistem peredaran darah dalam tubuh manusia merupakan suatu kurniaan Tuhan yang amat menakjubkan. Sistem ini mengalirkan darah yang membawa oksigen, nutrien, hormon dan pelbagai komponen penting ke seluruh tubuh bagi menjamin kelangsungan hidup seorang manusia. Selain itu, ia berfungsi membawa bahan buangan keluar daripada sel dan juga melindungi badan daripada jangkitan penyakit. Sistem peredaran darah dalam badan kita bekerja tanpa kita sedari. Namun, tahukah anda betapa pentingnya sistem ini? Artikel ini akan mengupas lebih lanjut tentang sistem peredaran darah manusia. 

Apakah Organ Yang Terlibat Dalam Sistem Peredaran Darah Manusia?

Organ yang terlibat dalam sistem peredaran darah manusia adalah seperti berikut:

1. Jantung

Jantung merupakan organ penting yang berfungsi untuk mengepam darah ke seluruh tubuh. Jantung terletak di dalam rongga dada manusia, terletak tepat di belakang bahagian kiri tulang rusuk dada dan di antara kedua paru-paru. Jantung berukuran sebesar penumbuk atau kepalan tangan manusia. Namun, organ sebesar penumbuk ini berdegup 100,000 kali sehari, mengepam lima atau enam liter darah setiap minit, atau lebih kurang 2,000 gallon sehari.  Organ ini terbahagi kepada empat ruangan iaitu dua ruang atrium dan dua ruang ventrikel. Ventrikel kiri jantung merupakan ruang yang mempunyai otot terkuat dan ianya mengepam darah yang kaya dengan oksigen ke seluruh tubuh. Pengecutan ventrikel kirilah yang memberikan nilai tekanan darah manusia. Selain itu, jantung juga mempunyai empat injap yang berfungsi untuk memastikan darah mengalir pada satu arah yang betul pada setiap masa.


2. Salur darah

Salur darah adalah organ yang berbentuk silinder, ibarat paip tetapi mempunyai permukaan luar dan dalam yang elastik dan mampu menelusuri di celah-celah tulang dan organ lain. Bentuk salur darah yang unik ini menjadikannya mudah berfungsi untuk mengalirkan darah daripada jantung ke seluruh tubuh badan atau daripada seluruh tubuh badan kembali ke jantung. Terdapat beberapa jenis salur darah, antaranya ialah:

  • Arteri

Arteri mengangkut darah daripada jantung ke seluruh tisu dan organ dalam badan manusia seperti hati, pankreas dan buah pinggang, biasanya mengandungi darah beroksigen kecuali arteri pulmonari yang membawa darah terdeoksigen ke paru-paru. Darah akan mengalir dari arteri yang kemudiannya akan bercabang menjadi arteri yang semakin kecil dan mengalirkan darah lebih jauh menuju ke organ seluruh tubuh. Arteri yang kecil ini dinamakan sebagai arteriol. Arteri mempunyai lumen yang kecil dan dinding yang berotot tebal. Oleh itu, darah dapat mengalir dengan laju pada tekanan yang tinggi sehingga membentuk denyutan yang dinamakan nadi.  

  • Vena

Vena pula merupakan salur darah yang mengangkut darah kembali ke jantung dan biasanya mengangkut darah terdeoksigen kecuali vena pulmonari yang mengangkut darah beroksigen daripada paru-paru ke jantung. Vena mempunyai dinding yang berotot nipis dan lumen yang besar. Di samping itu, vena akan menjadi semakin besar apabila ia berada semakin dekat dengan jantung. Vena besar yang dimaksudkan adalah:

             - Vena cava superior - vena besar yang mengalirkan darah daripada kepala dan lengan ke jantung

             - Vena  cava inferior - vena besar yang mengalirkan darah daripada perut dan kaki ke jantung

Vena juga mempunyai struktur injap di dalamnya. Oleh kerana aliran darah vena adalah perlahan, struktur ini penting bagi memastikan tiada darah mengalir ke belakang. 

  • Kapilari

Kapilari merupakan salur darah kecil yang menghubungkan arteri dan vena. Kapilari memberikan nutrien dan oksigen kepada sel-sel tubuh dan mengangkut pergi karbon dioksida dan bahan buangan dari sel. Dindingnya yang nipis membolehkan pertukaran oksigen, nutrien, karbon dioksida, dan sisa lain berlaku dengan mudah. Saiz lumen kapilari pula adalah sangat kecil.

Bagaimanakah Sistem Peredaran Darah Manusia Berfungsi?

Sistem peredaran darah mengangkut nutrien dan oksigen ke semua sel di dalam tubuh. Sistem peredaran darah mempunyai dua sistem yang saling berhubungan iaitu peredaran sistemik dan pulmonari. Kedua-dua jenis sistem peredaran darah ini saling bekerjasama untuk memastikan kelangsungan hidup seorang manusia. Peredaran sistemik menghubungkan jantung dengan seluruh tubuh yang lain. Sistem ini berfungsi membekalkan organ, tisu dan sel oksigen dan bahan penting lain. Peredaran pulmonari pula menghubungkan jantung dan paru-paru. Jantung mengepam darah tidak beroksigen ke paru-paru agar karbon dioksida dan bahan kumuh dapat dinyahkan. Darah ini kemudian mengangkut oksigen daripada paru-paru ke jantung sebelum dipam ke seluruh tubuh oleh peredaran sistemik. Begitulah kitaran yang berlaku hampir setiap saat di dalam tubuh kita. 

Sistem peredaran darah manusia bermula apabila jantung berehat di antara dua degupan jantung. Darah mengalir daripada kedua-dua atrium (ruangan di dalam jantung- bahagian atas) ke ventrikel (ruangan di dalam jantung- bahagian bawah), yang kemudian akan mengembang. Fasa berikutnya pula adalah pemancutan (ejection period), iaitu apabila kedua-dua ventrikel mengecut dan mengepam darah keluar daripada jantung. 

Dalam peredaran sistemik, ventrikel kiri mengepam darah beroksigen ke arteri utama iaitu aorta. Darah mengalir daripada arteri utama ke arteri yang lebih besar dan lebih kecil seterusnya ke rangkaian kapilari. Di sana, darah melepaskan oksigen, nutrien dan bahan penting lain kepada sel dan mengambil karbon dioksida dan bahan buangan yang tidak diperlukan oleh tubuh daripadanya. Setelah itu, darah yang terdeoksigen ataupun mempunyai kandungan oksigen yang rendah akan dikumpulkan ke dalam vena dan bergerak menuju ke atrium kanan dan juga ke ventrikel kanan.

Setelah itu, ketika inilah peredaran pulmonari bermula. Ventrikel kanan mengepam darah beroksigen rendah ke arteri pulmonari, yang bercabang menjadi arteri dan kapilari yang lebih kecil lagi.  Kapilari membentuk jaringan halus di sekitar alveoli (kantung udara seperti anggur di hujung saluran pernafasan manusia iaitu bronkioli). Di sinilah karbon dioksida dilepaskan dari darah ke dalam alveoli, dan oksigen yang dihirup saat bernafas memasuki aliran darah. Semasa manusia bernafas, selain oksigen yang memasuki saluran pernafasan, terdapat pengeluaran atau pembuangan  karbon dioksida daripada tubuh badan. Darah yang kaya dengan oksigen bergerak melalui vena pulmonari dan atrium kiri ke ventrikel kiri. Denyutan jantung yang berikutnya akan memulakan kitaran baru peredaran sistemik lagi dan begitulah seterusnya sepanjang hayat anda!

Gangguan Pada Sistem Peredaran Darah Manusia

Terdapat pelbagai jenis penyakit serius yang berkaitan dengan  gangguan pada sistem peredaran darah manusia. Penyakit-penyakit ini berkaitan dengan organ yang terlibat dalam sistem ini iaitu jantung dan salur darah. Berikut adalah antara senarai penyakit yang berkaitan dengan gangguan pada sistem peredaran darah manusia:

  • Aterosklerosis

Aterosklerosis merupakan penyakit yang disebabkan oleh salur darah arteri yang mengeras. Ini disebabkan oleh pembentukan plak pada dinding arteri. Struktur plak mengandungi kolesterol, bahan lemak lain, fibrin, bahan dari sel serta kalsium. Semakin besar plak di dinding arteri, saluran darah ini akan menjadi semakin sempit. Ini menyebabkan tekanan darah tinggi yang juga menjejaskan fungsi buah pinggang dan jantung. Selain itu, plak kecil boleh tertanggal dari struktur plak yang besar dan menyumbat kapilari. Ini menyebabkan iskemia atau strok jika berlaku di bahagian otak. 

  • Serangan jantung




Seperti yang diterangkan di atas, plak boleh tertanggal dan menyumbat saluran darah lain. Sekiranya ini berlaku di arteri koronari pada jantung ia akan menyebabkan serangan jantung atau myocardial infarction.

  • Angina pectoris

Angina pectoris  terjadi apabila jantung yang tidak mendapat bekalan darah yang mencukupi. Angina bermaksud sakit, manakala pectoris pula bermaksud dada. Seperti namanya, gejala yang muncul adalah sakit dada dan kebanyakan pesakit mengatakan kesakitan yang dialami  seakan ditindih oleh benda berat. Gejala lain yang boleh muncul adalah seperti letih, mual dan sesak nafas. 

  • Aritmia dan disritmia

Aritmia atau disritmia pula bermaksud degupan jantung yang tidak normal. Apabila terdapat gangguan pada degupan jantung, ini menandakan terdapat gangguan pada proses pengecutan pengembangan jantung yang juga akan menjejaskan sistem peredaran darah dalam tubuh.

 Masalah injap jantung boleh mempengaruhi sistem peredaran darah. Injap jantung yang terjejas fungsinya samada menjadi lebih keras dan kaku (stenosis) ataupun longgar dan lemah (regurgitation), boleh menyebabkan proses mengepam darah oleh ventrikel tidak berlaku dengan sempurna akibat injap yang terlalu sempit sehingga sukar dilalui atau injap yang longgar sehingga tidak tertutup sepenuhnya. 

  • Tekanan darah tinggi

Hipertensi ataupun tekanan darah tinggi adalah gangguan pada sistem peredaran darah yang boleh berlaku disebabkan masalah lain seperti arterosklerosis atau masalah kesihatan yang lain. Tekanan darah yang tinggi boleh menjejaskan otot jantung dan organ yang lain seperti buah pinggang dan mata dalam jangka masa yang panjang. Ketahui risiko anda menghidapi hipertensi.

Kesimpulan

Sistem peredaran adalah suatu sistem yang amat penting di dalam tubuh manusia. Sekiranya terdapat masalah yang berkaitan dengan sistem ini, ianya akan mengakibatkan pelbagai penyakit serius. Justeru amalan diet pemakanan yang sihat dan seimbang serta aktiviti fizikal yang kerap dapat menjaga fungsi sistem peredaran darah yang lancar. Hargai diri anda. Rujuk kepada doktor untuk mengetahui tentang sistem peredaran darah dengan lebih lanjut.


Risau tentang jantung anda? Konsult doktor kami secara PERCUMA!


Rujukan:

* Inisiatif konsultasi doktor percuma disokong dan ditanggung sepenuhnya oleh DoctorOnCall