Jaga Kesihatan Jantung Anda Dengan 10 Makanan Ini!

10 Makanan Terbaik dan Diet Sihat Untuk Menjaga Jantung - DoctorOnCall

Manusia dilahirkan dengan satu jantung. Jantung yang tidak mengenal erti “overtime” akan sentiasa bekerja untuk menghantar darah ke seluruh badan. Setiap organ yang berada di dalam badan kita memerlukan oksigen yang terdapat dalam darah dan jantung ialah organ yang berperanan dalam memenuhi segala keperluan organ-organ lain. Tanpa jantung darah tidak akan sampai ke otak dan membekalkan oksigen dan nutrisi kepada sel-sel otak kita. Tanpa oksigen otak kita akan mati ataupun dipanggil “brain dead”. Tanpa jantung, bahan buangan sel-sel tidak boleh dipam kepada buah pinggang untuk dikeluarkan daripada badan kita. Tanpa fungsi jantung yang sentiasa mengepam 24/7, oksigen tidak dapat dihantar kepada organ lain termasuk paru-paru. 

Nampak, betapa pentingnya jantung untuk memastikan tubuh kita boleh berfungsi dengan baik. Oleh itu, sangat penting untuk kita menjaga organ ini agar ia dapat terus berfungsi dengan baik. Salah satu punca penyakit jantung adalah pengambilan makanan tinggi kolesterol yang menyebabkan saluran darah jantung tersumbat. Dalam artikel ini, mari kita lihat apakah makanan yang bagus untuk kesihatan jantung anda.

Makanan Sihat Untuk Jantung

1. Ikan Yang Diperkaya Dengan Omega-3

Ikan seperti tuna, mackerel, salmon dan sardin adalah antara ikan yang kaya dengan omega-3. Omega-3 berperanan untuk merendahkan kadar lemak trigliserida di dalam darah. Ia boleh mengurangkan risiko saluran darah tersumbat dan membantu mengurangkan paras darah tinggi. Ia juga boleh mengurangkan risiko serangan jantung dan strok

Berapa banyak ikan yang perlu makan dalam seminggu? Seorang manusia dewasa perlu memakan 225 gram ikan untuk mendapatkan nutrisi omega-3. 

2. Minyak Zaitun

Minyak zaitun bukanlah sekadar minyak mahal yang sering digunakan oleh chef-chef restoran. Minyak ini mempunyai pelbagai manfaat kesihatan terutamanya pada kesihatan jantung. Dalam sebuah kajian, seseorang yang memakan minyak zaitun setiap hari anda boleh mengurangkan risiko serangan jantung sebanyak 15%.

Selain minyak zaitun, minyak jagung ataupun canola boleh digunakan dalam penyediaan masakan anda sebagai alternatif kepada marjerin.

3. Bayam

Jangan pandang rendah pada bayam! Bayam adalah salah satu sayuran hijau mempunyai pelbagai vitamin, mineral dan anti oksida. Menambahkan bayam ke dalam pemakanan harian anda mampu memperbaiki kesihatan jantung anda. 

Sayuran-sayuran ini penuh dengan nitrate. Fungsi nitrate dalam badan adalah untuk mengembangkan saluran darah dan secara tidak langsung merendahkan tekanan darah. Ini membolehkan darah mengalir lancar ke semua organ termasuk jantung yang perlu bekerja keras setiap hari.

4. Oat

Kini trend “overnight oats” semakin popular dalam kalangan masyarakat tidak kira tua atau muda. Ini adalah salah satu makanan yang bagus untuk jantung anda. 

Oat berperanan untuk mengurangkan kadar kolesterol LDL yang merupakan “kolesterol tidak baik” yang sering menjadi punca saluran darah tersumbat. Secara tidak langsung mengurangkan risiko serangan jantung. Oat juga boleh menurunkan tekanan darah dan mengurangkan risiko darah tinggi. Cara penyediaan overnight oats juga mudah sahaja. Masukkan beberapa sudu oat di dalam gelas, tambahkan susu segar, biji chia dan kismis. Simpan di dalam peti sejuk semalaman. Sedia dimakan bersama buah kegemaran anda! Mudah bukan? 

5. Kacang

Kacang pis, kacang hitam, kacang kuda dan kacang soya merupakan contoh-contoh kacang yang bagus diambil untuk menjaga diri daripada penyakit jantung. Kacang-kacang ini mempunyai pelbagai khasiat dan manfaat bagi kesihatan diri dan berperanan untuk mengurangkan tahap trigliserida dan kolesterol LDL. Kekacang ini juga mempunyai manfaat dalam merendahkan tekanan darah. 

6. Tomato

Jika anda membelah sebiji tomato kepada dua bahagian, anda akan lihat tomato juga mempunyai beberapa ruangan di dalamnya. Bukankah ruangan dalam tomato kelihatan seperti ruang di dalam jantung? 

Untuk pengetahuan anda, tomato mengandungi lycopene. Apakah lycopene? Lycopene ialah sejenis bahan yang mempunyai ciri-ciri antioksidan. 

Antioksidan penting dalam mencegah kerosakan dan keradangan jantung yang sering menjadi faktor kepada penyakit jantung. Sebuah kajian telah menunjukkan, memakan 2 biji tomato mentah 4 kali dalam seminggu dapat meningkatkan kadar kolesterol HDL iaitu kolesterol yang bagus di dalam tubuh anda.

7. Kacang Badam

Kacang badam merupakan makanan sihat untuk jantung kerana ia boleh mengurangkan kolesterol. Kacang badam juga berperanan dalam menigkatkan kadar antioksidan, serta merendahkan tekanan darah dan melancarkan pengaliran darah.

Makan kacang badam juga didapati boleh mengurangkan lemak pada perut. Tetapi ingat, pilih kacang badam yang tidak berperisa jika anda mahu jadikan ia sebagai snek. 

8. Bawang Putih

Bawang putih mempunyai pelbagai khasiat dan manfaat dalam mengekalkan jantung yang sihat dan juga mengelakkan penyakit jantung. Bawang putih mampu mencegah penyakit arterosklerosis. Ia mampu menurunkan tekanan darah dan mengurangkan kadar kolesterol. 

Anda boleh amalkan memakan seulas bawang putih sehari untuk mengelakkan penyakit jantung.

9. Teh Hijau

Teh hijau mengandungi kadar antioksidan yang tinggi yang mampu untuk melawan radikal bebas dan keradangan pada saluran darah. Peningkatan radikal bebas boleh menyebabkan kerosakkan pada sel dan keradangan boleh meningkatkan penghasilan plak pada saluran darah. Plak-plak yang terhasil ini akan menyebabkan saluran darah tersumbat. Teh hijau juga mampu mengurangkan kadar trigliserida dan kolesterol LDL.

10. Coklat Hitam (Dark Chocolate)

Jika anda seorang penggemar coklat, mungkin ini berita baik untuk anda. Coklat hitam mempunyai fungsi untuk mencegah pembentukkan aterosklerosis. Coklat hitam berperanan dalam mencegah saluran darah daripada mengeras. Saluran darah yang mengeras akan kehilangan ciri elastiknya. Keadaan ini menyebabkan masalah tekanan darah tinggi.

Coklat hitam juga mencegah sel darah putih daripada tergumpal dan melekat pada dinding saluran darah. Sel darah putih yang melekat pada dinding saluran darah menyebabkan saluran menjadi sempit dan boleh menyebabkan tekanan darah tinggi. Kajian menunjukkan, individu yang memakan coklat hitam 2 kali seminggu dapat mengurangkan risiko serangan jantung sebanyak 32%.

Diet Untuk Jantung Sihat

Selain makanan-makanan di atas, tabiat pemakanan seharian juga harus diambil berat. Berikut adalah amalan pemakanan sihat yang harus ini lakukan untuk menjaga kesihatan jantung dan tubuh anda secara amnya.

1. Kawal Saiz Hidangan

Gunakan formula suku-suku separuh apabila mengambil hidangan. Gunakan pinggan saiz sederhana dan penuhkan suku protein, suku karbohidrat dan separuh sayur sayuran dan buah-buahan. 

2. Perbanyakkan Sayuran Dan Buah-buahan Dalam Diet Harian
Sayur-sayuran dan buah-buahan mempunyai banyak mineral, vitamin malah kaya dengan serat dan antioksidan. Sayur-sayuran dan buah-buahan adalah sangat penting dalam diet anda dan disarankan untuk diambil dalam kuantiti yang banyak. Pelbagaikan hidangan sayur dan buah-buahan dalam diet anda setiap hari dan elakkan menambah sos dan dressing ke dalam sayur dan buah yang anda makan. 

3. Kurangkan Minyak Dan Garam Dalam Masakan

Minyak meningkatkan kadar kolesterol dalam darah dan meningkatkan risiko saluran darah tersumbat. Penggunaan garam yang banyak boleh menyebabkan tekanan darah tinggi dan merosakkan buah pinggang.

4. “Cheat Day”
Hadiahkan diri anda dengan makanan ringan ataupun makanan kegemaran sekali seminggu tidak akan merosakkan usaha anda untuk hidup sihat. Tetapi jangan menggunakan alasan ini untuk mengambilnya dengan kerap!

Cara Mengelakkan Penyakit Jantung

Selain pemakanan, anda juga perlu mengamalkan gaya hidup sihat yang lain untuk menjaga kesihatan jantung seperti:

  • Kerap Bersenam

Bersenam mampu menguatkan jantung dan melancarkan pengaliran darah. Dapat mengurangkan kolesterol dan mencegah diri daripada tekanan darah tinggi.

Merokok bukan sahaja meningkatkan risiko serangan jantung, malah pelbagai penyakit lain seperti kanser paru-paru, kanser mulut dan lain-lain. Jauhi rokok untuk menjaga kesihatan diri anda dan juga keluarga.

  • Mengawal Kadar Gula Dalam Darah

Sekiranya anda pesakit diabetes atau bukan pesakit diabetes sekalipun, mengurangkan kadar pengambilan gula dalam pemakanan seharian adalah amat baik untuk menjaga kesihatan!

  • Urus Tekanan Dengan Baik

Sakit jantung berkait rapat dengan tekanan. Mengurus tekanan dalam kehidupan anda setiap hari dapat mengurangkan risiko serangan jantung serta bagus untuk kesihatan mental dan fizikal anda.

  • Tidur Secukupnya

Setiap orang memerlukan tidur 7 hingga 9 jam setiap malam. Tidur yang tidak mencukupi boleh menyebabkan tekanan darah tinggi, obesiti dan diabetes, yang sangat berbahaya untuk kesihatan jantung.

Rujuk kepada doktor untuk mengetahui tentang jenis makanan untuk mengelakkan masalah jantung dengan lebih lanjut.

Risau tentang jantung anda? Konsult doktor kami secara PERCUMA!




Rujukan:

* Inisiatif konsultasi doktor percuma disokong dan ditanggung sepenuhnya oleh DoctorOnCall