Jangan Takut Jalani Ujian Elektrokardiogram (ECG/EKG)

Elektrokardiogram (ECG) - Kepentingan Prosedur EKG - DoctorOnCall


Apakah Itu Elektrokardiogram (EKG/ECG)?

Anda mungkin pernah mendengar perkataan ECG ataupun EKG apabila anda berada di hospital ataupun semasa menonton rancangan perubatan. Namun begitu, adakah anda tahu apa itu ECG atau EKG? Ia adalah singkatan bagi elektrokardiogram (electrocardiogram).

Elektrokardiogram adalah salah satu ujian untuk menganalisa aktiviti elektrik jantung. Ujian ini diperkenalkan pada tahun 1871 oleh Agustus Waller. Mesin EKG akan merekod aktiviti jantung anda dan akan mencetaknya di atas sehelai kertas. Untuk mesin EKG yang lebih moden, ia dapat merakam dan menyimpan rekod secara langsung ke dalam komputer melalui perisiannya yang tersendiri. 

Fungsi elektrokardiogram adalah memudahkan doktor mengesan masalah jantung dengan cepat melalui keputusan yang dicetak oleh mesin tersebut. EKG juga merupakan salah satu ujian siasatan yang mudah dan pantas untuk dilakukan. Keputusannya boleh diperoleh dalam masa dua hingga lima minit. 

Anda boleh membuat ujian EKG di klinik atau hospital. Malah pada zaman moden ini, terdapat jam pintar yang boleh mengukur nadi serta merekodkan ritma jantung anda.

Mengapa Anda Perlu Menjalani EKG?

Kebiasaannya doktor akan melakukan ujian EKG kepada pesakit yang datang gejala tertentu seperti sakit dada yang mungkin berpunca daripada jantung ataupun sebab lain. Selain itu, EKG juga dilakukan terhadap pesakit yang mempunyai gejala yang disebutkan di bawah:

  • Pening kepala atau pitam

  • Kesukaran bernafas

  • Jantung berdebar

  • Kesukaran untuk melakukan aktiviti fizikal kerana mudah penat dan sukar bernafas

  • Nadi yang laju dan tidak sekata

  • Ketidakseimbangan elektrolit di dalam badan

Keputusan ujian EKG dapat memberi banyak informasi di atas sehelai kertas tentang keadaan jantung seseorang, antaranya:

  • Ritma jantung

  • Kelajuan nadi

  • Struktur jantung yang tidak normal

  • Saluran atau bahagian jantung yang tersumbat

  • Keberkesanan rawatan seperti pemasangan alat pacemaker

  • Serangan jantung terdahulu atau pada masa tersebut

Jenis-Jenis EKG

Holter EKG

Holter EKG dilakukan selepas ujian EKG biasa dilakukan. Hal ini kerana cetakan jalur EKG yang biasa tidak dapat memberikan informasi yang cukup dan tepat kepada doktor dalam masa yang singkat. Dalam hal ini, doktor akan memberikan pesakit untuk sebuah mesin EKG kecil yang boleh dibawa ke mana-mana untuk merekodkan aktiviti jantung dalam masa tertentu, kebiasaannya selama satu atau dua hari.

Sepanjang satu atau dua hari tersebut, mesin tersebut akan merekodkan aktiviti jantung anda sama ada normal atau tidak pada setiap masa selagi anda memakai mesin tersebut. 

Stress EKG

Stress EKG dilakukan semasa pesakit dengan berlari di atas mesin treadmill ataupun mengayuh basikal setempat. Pesakit akan diarah untuk melakukan senaman tersebut sehingga ke tahap yang mereka mampu. Pada masa yang sama elektrod EKG dipasang pada dada dan lengan pesakit. Tujuan ujian ini dilakukan untuk menilai dan merekodkan sama ada gejala-gejala seperti sakit dada atau sesak nafas yang dialami oleh pesakit semasa melakukan aktiviti fizikal yang berat berpunca daripada jantung ataupun tidak. Ketahui risiko anda menghidapi hipertensi di sini.

Antara tujuan lain ujian ini adalah untuk melihat:

  • Tahap kemampuan anda untuk bersenam sebelum mendapat gejala sakit dada dan kesukaran bernafas untuk merangka program senaman yang efektif khas untuk anda.

  • Tahap keberkesanan ubat-ubatan terhadap aktiviti harian anda.

  • Sama ada jantung anda menerima bekalan darah yang cukup semasa anda bersenam atau ketika sedang aktif.

Antara perkara yang perlu diberi perhatian sebelum melakukan ujian stres adalah:

  • Tidak makan atau minum air melainkan air kosong 4 jam sebelum melakukan ujian

  • Tidak meminum minuman yang mengandungi kafein 12 jam sebelum melakukan ujian

  • Tidak mengambil ubat jantung seperti nitrate melainkan diarahkan oleh doktor untuk mengurangkan gejala sakit dada

Semasa ujian ini, elektrod akan dipasang di dada pesakit dan disambung secara langsung kepada perisian atau mesin EKG untuk merekod aktiviti jantung semasa sedang bersenam. 

Ketika ujian dijalankan pengendali atau juruteknik akan bertanya kepada kepada pesakit pada saat-saat tertentu mengenai gejala-gejala yang dialaminya seperti:

Prosedur EKG

Prosedur EKG adalah mudah, cepat dan tidak smenyakitkan. Selain itu, tiada persediaan khusus yang perlu dilakukan sebelum anda menjalani ujian ini membolehkan ianya boleh dijalankan pada bila-bila masa.

Sebelum Ujian

Sebelum ujian ECG dilakukan, anda perlu membuka baju atau menukar kepada persalinan hospital. Anda juga digalakkan untuk memberitahu doktor mengenai ubat dan suplemen yang anda ambil supaya doktor dapat menilai keputusan ujian dengan tepat. Anda juga diminta untuk mendedahkan dada anda supaya pemasangan elektrod atau sensor dapat dilakukan. Jika anda mempunyai bulu dada, bulu tersebut mungkin akan dicukur oleh pengendali mesin EKG bagi memudahkan pemasangan elektrod di dada anda. Anda juga diarahkan untuk menanggalkan perhiasan, jam dan meletakkan telefon jauh dari anda semasa ujian dijalankan untuk mengelak gangguan elektrikal yang boleh mengganggu keputusan EKG. 

Semasa Ujian

Doktor atau pengendali mesin akan memasang elektrod di bahagian dada, pergelangan tangan dan kaki anda dan seterusnya menekan butang rakam setelah anda bersedia. Semasa prosedur sedang dijalankan, anda perlulah relaks dan tidak bercakap sehingga prosedur tamat. Tujuannya adalah untuk mengelakkan daripada gangguan semasa proses merekod dan mencetak jalur EKG.

Selepas Ujian

Selepas ujian EKG selesai, anda boleh menyalin semula pakaian anda dan meneruskan aktiviti harian seperti biasa.

Kontraindikasi Ujian EKG

Secara amnya, tidak ada kontraindikasi yang menyebabkan seseorang itu untuk tidak boleh membuat ujian EKG. Sesetengah elektrod EKG menggunakan bahan pelekat untuk dipasang pada dada boleh menyebabkan reaksi alahan, namun terdapat bahan alternatif yang boleh digunakan bagi membolehkan seseorang yang alah terhadap bahan ini menjalani ujian EKG. 

Keputusan & Tafsiran Keputusan EKG

Selepas keputusan ujian EKG dicetak. Doktor akan membaca jalur-jalur yang dicetak dan mengenal pasti masalah yang anda sedang alami. Doktor akan menyimpan keratan EKG untuk dirujuk kemudian untuk membuat perbandingan dengan keratan EKG yang baru pada masa akan datang.

Doktor akan berbincang dengan pesakit berdasarkan keputusan yang dicetak pada keratan EKG tersebut dan mungkin pemeriksaan lain perlu dilakukan seperti ekokardiogram untuk melihat struktur jantung dengan lebih jelas dan membuat ujian darah. 

Interpretasi EKG dilakukan dengan teliti dan berhati hati oleh para pengamal perubatan. Sekiranya perlu, keputusan EKG akan dirujuk kepada pakar agar tiada sebarang abnormaliti pada jantung pesakit yang terlepas daripada dikesan dan dirawat.

Risau tentang jantung anda? Konsult doktor kami secara PERCUMA!


Rujukan:

* Inisiatif konsultasi doktor percuma disokong dan ditanggung sepenuhnya oleh DoctorOnCall