Fasa rangsangan
Setiap wanita adalah berbeza maka, jururawat atau doktor akan membantu dalam mengenal pasti hari pertama. Bermula dari hari pertama ini, anda akan mengambil ubat selama 8-14 hari untuk mendorong folikel di ovari menghasilkan lebih banyak telur. Biasanya ubat ini diberi dalam bentuk suntikan. Hormon yang biasa digunakan untuk merangsang folikel adalah:
- Follicle stimulating hormone (FSH)
- Luteinizing hormone(LH).
Perkembangan folikel akan diawasi dengan ujian darah dan ultrasound. Menjelang akhir fasa rangsangan suntikan pencetus akan diberikan bagi menyiapkan telur untuk bersedia dengan proses ovulasi
Pengambilan telur
Prosedur ini dilakukan di hospital. Anda akan tidur sepanjang prosedur yang mengambil masa sekitar 20-30 minit. Dengan bantuan imbasan ultrasound, jarum akan dimasukkan ke dalam ovari untuk mengambil telur. Purata bilangan telur yang dikumpulkan adalah 8-15.
Persenyawaan
Proses ini harus dilakukan dengan segera. Telur dan beberapa sperma yang sempurna dan sihat akan diletakkan di dalam pinggan bagi proses persenyawaan secara semula jadi atau sperma yang dipilih akan terus disuntik ke dalam telur dan menjadi embrio sekiranya persenyawaan berjaya.
Pemindahan embrio
Sekiranya embrio berjaya dihasilkan, ianya akan dipindahkan ke dalam rahim pada hari ke-3 atau ke-5. Pemindahan embrio seperti prosedur pap smear. Ia mengambil masa sekitar 5 minit, tanpa memerlukan bius. Setelah tamat prosedur ini, anda boleh meneruskan hari seperti biasa.
Setelah lebih kurang 2 minggu, ujian darah untuk melihat tahap hCG (human chorionic gonadotropin) akan dilakukan untuk memastikan kehamilan berjaya atau sebaliknya.