Tolong nasihati saya tentang tanda-tanda fibroid (Fibroid Symptoms) dan adakah ketumbuhan ini membawa masalah?

Dijawab oleh: Dr Mohd Ramzdhan Bin Mohd Masdar
Dikemaskini pada: Ogos 7, 2020

Soalan:

Selamat pagi, doktor. Saya seorang wanita yang berusia 38 tahun. Sejak 6 bulan yang lalu, saya telah mengalami perut kembung yang bertambah buruk sewaktu kitaran haid saya. Tetapi, saya tidak rasa apa-apa ketumbuhan pada perut saya. Selain itu, ada juga perubahan pada kitaran haid bulanan saya. Selalunya, kitaran saya adalah 28 hari tetapi sekarang lebih daripada itu. Sebelum ini, haid saya hanya berpanjangan untuk 3-4 hari. Sekarang, haid saya berlarutan untuk kira-kira 7-8 hari. Saya juga mengalami kekejangan perut yang mengganggu aktiviti harian saya.

Saya mendapati bahawa saya susah membuat kerja harian yang mudah kerana terlalu letih dan rasa lemah. Saya kerap kencing sewaktu kitaran haid saya sehingga terpaksa bangun dari tidur pada waktu malam untuk membuang air kecil. Saya mempunyai dua orang anak. Saya juga pernah mengalami keguguran 2 kali berturut-turut selepas melahirkan anak kedua saya. Saya masih mencuba untuk hamil anak ketiga tetapi tidak berjaya sehingga sekarang.

Saya pernah mengambil pil perancang selepas melahirkan anak pertama saya namun sekarang tidak mengamal sebarang cara kawalan kelahiran. Kakak saudara saya pernah menghadapi masalah yang sama seperti saya dan dia diberi diagnosis fibroid. Keadaan saya amat membimbangkan saya, doktor. Adakah gejala yang saya alami merupakan tanda-tanda fibroid? Bolehkah masalah saya dirawati supaya saya boleh hamil untuk memperoleh cahaya mata yang ketiga?

Jawapan:
Terima kasih untuk soalan anda. Saya bersimpati terhadap keadaan anda. Masalah yang anda hadapi sekarang berkemungkinan disebabkan oleh ketumbuhan pada rahim yang dikenali sebagai fibroid. Keadaan fibroid ini mempunyai gejala seperti yang anda alami. Walau bagaimanapun, pemeriksaan dan ujian yang lengkap harus dijalankan untuk mengenal pasti diagnosis fibroid. Terdapat beberapa jenis rawatan yang boleh dijalani untuk mengatasi masalah ini.

Apakah itu fibroid?

  • Fibroid adalah ketumbuhan yang paling sering dilihat pada sistem reproduktif wanita. Fibroid, juga dikenali dalam istilah lain seperti myomas, leiomyomas, atau fibroma rahim yang merupakan ketumbuhan yang padat yang terhasil daripada sel-sel otot dan tisu penghubung yang berkembang di rahim. Walaupun mereka terdiri daripada otot yang sama seperti dinding uterus (myometrium), mereka lebih padat daripada myometrium biasa. Dianggarkan bahawa di antara 20 hingga 50 peratus wanita usia reproduktif mempunyai fibroid, walaupun tidak semua dikenal pasti. Sesetengah kiraan menganggarkan bahawa fibroid akan ditemui dalam golongan wanita sewaktu mereka hamil, walaupun hanya kira-kira satu pertiga daripada fibroid ini yang cukup besar untuk dikesan oleh doktor semasa pemeriksaan fizikal.

  • Fibroid biasanya adalah ketumbuhan yang jinak (bukan kanser). Mereka mungkin berbeza ukuran dan saiz. Walau bagaimanapun, fibroid yang sangat besar boleh menyebabkan tekanan pada pundi kencing atau organ berdekatan yang lain, menyebabkan sakit bahagian bawah perut atau pendarahan yang berlebihan semasa haid.

  • Jenis fibroid yang dialami oleh golongan wanita bergantung kepada lokasinya pada rahim. Antaranya adalah:

    • Fibroid intramural: Jenis ketumbuhan yang paling biasa. Jenis-jenis ini muncul di dalam dinding otot uterus. Fibroid intramural boleh membesar dan boleh meregangkan rahim anda.

    • Fibroid subserosal: Fibroid ini biasanya terbentuk di luar rahim anda pada lapisan yang dipanggil serosa. Mereka boleh tumbuh cukup besar untuk menjadikan rahim anda kelihatan lebih besar pada satu bahagian.

    • Fibroid pedunculated: Fibroid subserosal boleh membentuk tangkai pada dasar fibroid yang menyokong ketumbuhan tersebut.

    • Fibroid submukosal: Jenis fibroid ini berkembang di lapisan otot tengah, atau myometrium dari rahim anda dan boleh tertolak ke dalam rongga rahim.

    • Fibroid serviks: Ketumbuhan ini berakar di leher rahim dan jarang berlaku.


Apakah penyebab fibroid?

Perkembangan fibroid masih tidak jelas, tetapi beberapa faktor boleh mempengaruhi pembentukannya. Kemungkinannya perkembangan fibroid berkaitan dengan tahap estrogen dan progesterone kerana tahap hormon-hormon lebih tinggi semasa tahun-tahun reproduktif wanita. Antara penyebab yang mungkin menyebabkan pembentukan fibroid adalah:

  1. Hormon: estrogen dan progesteron adalah hormon yang dihasilkan oleh ovari. Mereka menyebabkan lapisan rahim bertumbuh semula semasa setiap kitaran haid dan boleh merangsang pertumbuhan fibroid.
  2. Faktor keturunan: fibroid boleh berlaku di dalam keluarga. Jika ibu, kakak, atau nenek anda mempunyai fibroid, anda juga boleh menghadapinya.
  3. Kehamilan: kehamilan meningkatkan pengeluaran estrogen dan progesteron dalam badan anda. Fibroid boleh berkembang dan berkembang dengan pesat semasa anda mengandung. Mereka juga lebih cenderung untuk berkembang apabila seorang wanita mengambil pil kawalan kelahiran yang mengandungi estrogen.
  4. Obesiti: berat badan berlebihan boleh menjadi penyebab fibroid.

Apakah tanda-tanda fibroid?

Gejala yang dihadapi bergantung kepada bilangan ketumbuhan fibroid, lokasi dan saiznya. Antara tanda-tanda fibroid adalah:

  • Haid yang berlebihan dan menyakitkan, juga dikenali sebagai menorrhagia

  • Kekejangan perut yang semakin teruk

  • Kitaran haid yang berlarutan untuk tempoh panjang

  • Kekurangan darah (anaemia) akibat haid berlebihan

  • Sakit belakang bahagian bawah atau sakit kaki

  • Sembelit

  • Ketidakselesaan di bahagian bawah perut terutamanya dalam kes fibroid yang besar

  • Kerap kencing

  • Sakit semasa hubungan seksual, dikenali sebagai dyspareunia

  • Masalah proses melahirkan anak

  • Masalah kehamilan

  • Masalah kesuburan

  • Keguguran berulang

  • Peningkatan berat badan

  • Bengkak pada perut bahagian bawah.

Apabila fibroid berkembang, ia boleh terus membesar sehingga menopaus. Apabila tahap estrogen jatuh selepas menopaus, fibroid biasanya akan susut dalam saiz. Jika ketumbuhan anda sangat kecil atau anda sedang menopaus, anda mungkin tidak mempunyai sebarang gejala. Hal ini kerana wanita yang menopaus akan mengalami penurunan tahap estrogen dan progesteron dan hormon inilah yang merangsang pertumbuhan fibroid.

Apakah rawatan fibroid?

Terdapat pelbagai jenis cara untuk merawat fibroid rahim. Rawatan hanya disyorkan untuk wanita yang mengalami gejala yang menjejaskan aktiviti harian. Lokasi fibroid, keparahan gejala yang dialami, dan rancangan seseorang untuk hamil pada masa depan mempengaruhi keputusan jenis rawatan yang hendak diperolehi.

Ubat untuk merawat simptom seperti pendarahan yang banyak:

  • Ubat tahan sakit yang dikenali sebagai Non-steroidal anti-inflammatory drugs (NSAIDs): Contoh ubatan adalah Mefenamic acid dan Ibuprofen. Ubatan ini berfungsi untuk menghentikan pembuluh darah kecil yang menyebabkan pendarahan rahim. Kira-kira 50% kehilangan darah dapat dikurangkan. NSAID mungkin berkesan untuk mengurangkan kesakitan disebabkan oleh fibroid dan tidak menjejaskan kesuburan.

  • Pil perancang kehamilan: Lebih dikenali sebagai pil kontraseptif. Pil ini membantu mengawal kitaran ovulasi, dan mereka boleh membantu mengurangkan kesakitan atau pendarahan semasa haid.

  • Sistem intrauterine Levonorgestrel (LNG-IUS): Satu peranti plastik yang kecil diletakkan di dalam rahim untuk melepaskan hormon yang dipanggil levonorgestrel secara sedikit demi sedikit. Hormon ini mengelakkan lapisan dalam rahim daripada berkembang terlalu cepat dan sekali gus pendarahan haid dapat dikurangkan.

Ubat-ubatan untuk mengecutkan fibroid:

  • GnRH agonist: Ubat ini berfungsi untuk mengecutkan fibroid. Antara kesan sampingan ubatan ini adalah anda mungkin mengalami gejala seperti hendak menopaus, termasuklah kilasan panas, berpeluh dengan lebih banyak, kekeringan faraj, dan, dalam beberapa kes, risiko osteoporosis yang lebih tinggi. Ubat ini juga diberikan sebelum pembedahan untuk mengecutkan fibroid. Ubat ini hanya digunakan dalam jangka masa yang pendek sahaja.

Pembedahan untuk fibroid

Fibroid yang teruk mungkin tidak bertindak balas terhadap pilihan rawatan yang lebih konservatif, dan pembedahan mungkin diperlukan. Doktor yang merawat boleh mempertimbangkan prosedur berikut:

  • Hysterectomy: Prosedur ini adalah pembuangan sebahagian atau keseluruhan rahim. Prosedur ini membantu mengubati fibroid yang sangat besar atau pendarahan yang berlebihan.

  • Myomectomy: Prosedur ini adalah penyingkiran fibroid daripada dinding otot rahim. Ia membantu wanita yang masih merancang untuk hamil pada masa depan.

Terdapat juga rawatan yang terkini dan tidak memerlukan pembedahan seperti:

  • Uterine artery embolisation (UAE): Prosedur ini biasanya digalakkan untuk wanita yang mempunyai fibroid yang besar. Pakar radiologi biasanya akan menjalankan prosedur ini. Bahan kimia akan disuntik melalui saluran pada kaki dipandu oleh pencahayaan sinaran fluoroskopik. Dengan ini, saluran darah ke fibroid akan dihalang dan sekaligus mengecutkan ketumbuhan tersebut.

  • Endometrial ablation: Prosedur ini menghapuskan lapisan di dalam rahim dengan menggunakan laser. Jika terdapat fibroid yang kecil yang berada pada permukaan dalam rahim, ia akan sekaligus dihapuskan.

  • MRI guided percutaneous laser ablation: Teknik ini adalah antara prosedur yang baru untuk merawat fibroid dengan penggunaan MRI. Suatu pemeriksaan MRI digunakan untuk mencari fibroid. Jarum halus kemudian dimasukkan melalui kulit dan tisu badan pesakit sehingga mereka mencapai fibroid yang disasarkan. Peranti laser dimasukkan melalui jarum untuk mengecutkan fibroid.

Sekiranya anda mengalami gejala-gejala ini yang menjadi semakin teruk, haruslah anda merujuk kepada doktor anda. Anda juga boleh mendapatkan nasihat daripada para doktor kami di laman www.doctoroncall.com.my. Terima kasih.


Rujukan

Konsultasi Atas Talian
Dapatkan nasihat doktor dan Pakar Farmasi tentang ubat-ubatan secara online dari mana jua anda berada tanpa perlu menunggu giliran.
Konsultasi Doktor
RM19.99
Konsultasi Pakar
Dari RM80
Saringan Kesihatan PERCUMA
Mencegah adalah lebih baik daripada mengubati. Adakah anda sedia untuk melawan jangkitan? Ketahui dalam 5 minit!
Mula Saringan Kesihatan PERCUMA


Perlukan Nasihat Kesihatan?
Jangan Risau! Tanya soalan anda kepada seorang doktor hari ini. Tanya Doktor RM0

Anda sedia untuk lawan jangkitan?
Mencegah adalah lebih baik daripada mengubati. Ketahui jika badan anda cukup kuat untuk melawan sebarang jangkitan Mula Ujian Percuma

Farmasi Atas Talian
Dapatkan ubat anda secara online melalui e-farmasi DoctorOnCall Penghantaran Ubat Ekspres

Soalan berkenaan - tanda-tanda ketumbuhan fibroid, fibroid dan cyst dalam rahim, perbezaan antara fibroid dan cyst

Tentang DoctorOnCall

Artikel ini dikemaskini dan diselenggarakan oleh DoctorOnCall. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai jawapan, sila email kami di contact@DoctorOnCall.com.my

Tanya Doktor Percuma Sambutan Hari Malaysia: Baucar RM20