Kolesterol merupakan selaput lemak yang memenuhi ruang salur darah anda. Terdapat pelbagai jenis kolesterol yang ada dalam badan. Saintis mendapati terdapat kolesterol jenis baik dan terdapat juga kolesterol jenis tidak baik. Apabila kolesterol jenis tidak baik tinggi dalam saluran darah, ini akan meningkatkan risiko saluran darah tersumbat yang boleh menyebabkan serangan jantung atau kerosakan organ lain.
Kadar kolesterol adalah berbeza mengikut umur, jantina dan berat badan. Semakin meningkat usia seseorang, semakin tinggi tahap kolesterol yang dihasilkan badan. Oleh sebab itu juga, semakin meningkat usia seseorang, semakin kerap seseorang itu memerlukan ujian saringan tahap kolesterol mereka. Namun, faktor pemakanan juga akan mempengaruhi tahap kolesterol seseorang. Jika seseorang suka makan makanan yang tinggi kandungan minyak, kolesterolnya mungkin akan lebih tinggi daripada biasa.
Ujian kolesterol merangkumi tiga aspek. Apabila doktor mengambil darah pesakit untuk diuji, mereka akan melihat aspek-aspek berikut:
- Tahap Kolesterol secara total
- Tahap Kolesterol jenis tidak baik yang dikenali sebagai LDL
- Tahap Kolesterol jenis baik yang dikenali sebagai HDL
Keseimbangan kolesterol ini merupakan cabaran utama pesakit kerana mereka harus mencapai tahap kolesterol total dan kolesterol jenis tidak baik iaitu LDL dengan rendah manakala kolesterol baik iaitu HDL digalakkan untuk tinggi dalam badan. Apabila kadar ketiga-tiga jenis kolesterol ini seimbang, maka, risiko serangan jantung akan berkurang.
Kadar Kolesterol Yang Membimbangkan untuk orang dewasa ialah seperti berikut:
- Kolesterol total; 6.2mmol/L dan keatas
- Kolesterol jenis tidak baik, LDL; 4.1mmol/L dan keatas
- Kolesterol jenis baik, HDL; 1.0 mmol/L dan kebawah