Bagaimana Mengendalikan Makanan Dengan Selamat Ketika Wabak COVID-19?

Dijawab oleh: Dr Mohd Ramzdhan Bin Mohd Masdar
Dikemaskini pada: Julai 24, 2020

Soalan:
Doktor, saya lihat ada mereka yang mencuci bahan makanan, sayur-sayuran, buah-buahan, ayam, dan juga daging dengan sabun untuk membasmi COVID-19. Adakah ini perlu? Bolehkah kita dijangkiti dari makanan? Adakah selamat untuk mencuci makanan dengan sabun? Saya juga pernah mendengar mereka mempunyai sabun khas untuk mencuci makanan. Sejauh mana benarnya ini? Harap doktor dapat berikan nasihat bagaimana makanan patut dikendalikan ketika wabak COVID-19 ini. Terima kasih, doktor.
Jawapan:
Hai, terima kasih kerana bertanyakan soalan ini. Virus ini sememangnya telah menimbulkan rasa panik di kalangan masyarakat kita sehingga ada orang yang mengambil tindakan ekstrim untuk memastikan mereka selamat. Namun, dalam mengendalikan makanan, tindakan mencuci makanan terutamanya makanan segar seperti daging, ayam dan ikan serta sayur-sayuran dan buah-buahan dengan sabun adalah tidak perlu. Ini kerana ia boleh menyebabkan pencemaran bahan kimia pada makanan dan apabila dimakan boleh menyebabkan keracunan makanan. Mencuci di bawah air yang mengalir dan memasaknya dengan betul sudah mencukupi. Selain itu, tidak ada bukti yang menunjukkan bahawa virus ini menular melalui makanan dan air.

COVID-19 dikenali sebagai virus yang ganas kerana amat sukar dijangka. Ia amat mudah menjangkiti manusia tidak kira siapa sahaja. Oleh itu, masyarakat menjadi amat berhati-hati dalam segenap aspek kehidupan bagi memastikan diri dan keluarga tidak dijangkiti virus ini. Kaedah pencegahan termasuklah mengelak dari berada di kawasan yang sesak, penjarakan sosial, perintah kawalan pergerakan, kerap mencuci tangan dan pemakaian topeng muka. 

Baru-baru ini, media sosial dipenuhi dengan kisah seorang wanita yang mencuci semua bahan makanannya dengan sabun dengan tujuan menyah kuman bahan makanan ini sebelum dimasak. Ramai para pengguna mengecam tindakan wanita ini, tetapi tidak kurang pula yang menyokong. Jadi, apa sebenarnya cara pengendalian makanan yang betul yang boleh diamalkan sewaktu wabak COVID-19 ini? Walaupun setakat ini, tiada lagi kes yang berlaku disebabkan jangkitan dari bahan makanan, mari kita lihat langkah yang boleh kita ambil bagi memastikan kebersihan makanan dan memberi ketenangan kepada minda anda tentang kemungkinan wujudnya virus ini pada bahan makanan anda. 

Sebenarnya, langkah pengendalian makanan ini amat mudah dan sepatutnya dilakukan walaupun tiada wabak yang melanda. Pertama sekali, anda perlu tahu bahawa, sarung tangan bukanlah jawapannya. Hal ini kerana anda hanya akan meningkatkan risiko jangkitan dan penyebaran jangkitan jika bukan coronavirus, virus yang bakteria lain boleh tersebar dengan mudah dan mungkin menyebabkan keracunan makanan atau jangkitan lain. Oleh itu, tidak perlu gunakan sarung tangan ketika membeli belah di pasaraya, sebaliknya amalkan tabiat mencuci tangan dengan sabun atau gunakan cecair pembasmi kuman.


Sebaik-baiknya, elakkan dari keluar rumah. Dapatkan khidmat penghantaran atau “runner” bagi mendapatkan barang keperluan anda, serta gunakan pembayaran secara atas talian atau “cashless” dan “contactless” bagi meminimakan sentuhan anda dengan orang lain. Jika perkhidmatan ini tiada di tempat anda, pakai topeng muka apabila ke pasar atau kedai, kekalkan jarak 6 kaki atau 1 meter dengan orang lain. Elakkan daripada singgah di banyak kedai. Sebaliknya pergi ke pusat pembelian sehenti dan sebaiknya datang ketika tidak ramai pengguna. Anda juga boleh memilih kedai yag kurang pelanggan bagi meminimakan pertemuan dengan orang lain serta buat bayaran tanpa tunai. 

Pastikan anda membawa cecair pembasmi kuman, atau cuci tangan jika fasiliti ini disediakan oleh pihak pasaraya atau kedai. Lap pemegang troli atau bakul yag anda gunakan dengan cecair pembasmi kuman sebelum menggunakannya. Rancang pembelian anda agar anda boleh mendapatkan barang-barang yang diperlukan tanpa perlu berada lama di dalam kedai atau pasaraya tersebut. Apabila pulang ke rumah, pastikan anda segera mandi dan tukar pakaian sebelum bertemu ahli keluarga yang lain.

Setakat ini, tiada kajian menunjukkan terdapat sebarang kes jangkitan melalui barangan. Namun, jika anda masih risau, bagi barang-barang yang dibalut dengan pek kalis air, anda boleh bersihkannya, tetapi pastikan bahan pencuci tidak terkena pada bahan makanan anda. 

Beli bekalan makanan dalam kuantiti yang secukupnya agar anda tidak perlu keluar berulang kali. Namun, elakkan membeli terlalu banyak bagi mengelakkan pembaziran. Kemudian, simpan bahan makanan di tempat yang sepatutnya agar bahan makanan tidak mudah rosak dan tahan lebih lama. 


Bagi makanan mentah dan segar seperti ayam, ikan, daging serta sayur sayuran dan buah buahan, tidak perlu cuci dengan sabun. Perbuatan ini boleh menyebabkan pencemaran kimia pada bahan makanan anda sekaligus boleh menyebabkan keracunan makanan. Walaupun kini terdapat sabun yang dikatakan selamat digunakan oleh pihak pengeluar, namun perkara ini tidak dapat dipastikan keselamatannya. Oleh itu, memadai anda membasuh bahan makanan segar ini dengan air mengalir dan masak makanan ini dengan betul. 

Ketika menyediakan makanan, pastikan anda tidak mencampurkan bahan mentah dengan sayur atau buah serta gunakan alatan memasak seperti pisau dan papan pemotong yang berlainan. Ini adalah bagi mengelakkan pencemaran bersilang. 

Masak makanan anda terutamanya bahan seperti daging, ayam dan ikan. Pastikan seluruh bahagian daging panas sehingga ke bahagian dalamnya. 

Tips 3 - Kebersihan dapur

Sebagai tempat utama penyediaan dan penyimpanan makanan, pastikan anda sentiasa membersihakan kawasan ini. Susun atur bahan-bahan makanan serta alatan penyediaan makanan di tempat yang sepatutnya dengan kemas, bersih dan teratur.

Basuh dan keringkan alatan sebelum dan selepas digunakan. Jangan campur penggunaan alatan untuk bahan mentah dengan sayur serta buah seperti yang telah dinyatakan sebelum ini. Cuci sinki dan tempat pengering pinggan mangkuk anda dengan kerap kerana kawasan air bertakung boleh menjadi tempat pembiakan kuman serta nyamuk. 

Bersihkan tempat anda menyiang ikan, ayam atau daging setiap kali selepas selesai melakukannya agar bakteria pada air bahan makanan ini tidak tersebar ke tempat atau bahan makanan yang lain.

Perkara-perkara di atas bukan sahaja patut diamalkan ketika wabak COVID-19 ini, sebaliknya perlu sentiasa menjadi tabiat anda dalam pengendalian makanan sepanjang hayat.


Konsultasi Atas Talian
Dapatkan nasihat doktor dan Pakar Farmasi tentang ubat-ubatan secara online dari mana jua anda berada tanpa perlu menunggu giliran.
Konsultasi Doktor
RM19.99
Konsultasi Pakar
Dari RM80
Saringan Kesihatan PERCUMA
Mencegah adalah lebih baik daripada mengubati. Adakah anda sedia untuk melawan jangkitan? Ketahui dalam 5 minit!
Mula Saringan Kesihatan PERCUMA


Perlukan Nasihat Kesihatan?
Jangan Risau! Tanya soalan anda kepada seorang doktor hari ini. Tanya Doktor RM0

Anda sedia untuk lawan jangkitan?
Mencegah adalah lebih baik daripada mengubati. Ketahui jika badan anda cukup kuat untuk melawan sebarang jangkitan Mula Ujian Percuma

Farmasi Atas Talian
Dapatkan ubat anda secara online melalui e-farmasi DoctorOnCall Penghantaran Ubat Ekspres

Tentang DoctorOnCall

Artikel ini dikemaskini dan diselenggarakan oleh DoctorOnCall. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai jawapan, sila email kami di contact@DoctorOnCall.com.my

Tanya Doktor Percuma Sambutan Hari Malaysia: Baucar RM20