Apakah Penyebab Sakit Dada Sebelah Kanan (Right Chest Pain)?

Anonymous

Doktor, saya ingin bertanya tentang sakit dada. Saya telah mengalami sakit dada sebelah kanan (Right-sided Chest Pain) selama dua bulan. Saya bekerja sebagai pemandu lori bagi syarikat pemindahan barang. Ia berlaku setiap kali saya melakukan kerja yang berat seperti mengangkat dan memunggah barang. Kadang-kala, saya berasa sesak nafas sekiranya bekerja selama dua atau tiga jam ataupun rasa sakit dada selepas menaiki tangga. Sebelum ini saya tidak pernah sakit dan tidak pernah masuk wad hospital. 2 minggu lepas, saya hampir pitam sementara bekerja kerana rasa lelah dan sakit. Apabila sakit dada ini datang, saya akan berehat dan sakit tersebut akan hilang selepas beberapa minit. Saya tidak demam atau batuk dan tiada ahli keluarga lain yang tidak sihat. Kawan saya kata sakit jantung terasa di belah kiri dada dan mungkin sakit ini tiada kena mengena dengan sakit jantung. Tetapi saya risau kerana ahli keluarga saya mempunyai sejarah sakit jantung. Saya juga merokok, lebih kurang 15-20 batang sehari selama tiga puluh tahun. Saya ingin tahu jika sakit dada sebelah kanan ini adalah sakit jantung dan adakah saya perlu berjumpa doktor untuk penyakit ini? Dan apa cara mengatasi sakit dada sebelah kanan?

Anonymous
Doktor, saya ingin bertanya tentang sakit dada. Saya telah mengalami sakit dada sebelah kanan (Right-sided Chest Pain... See More
Saringan Kesihatan PERCUMA
Mencegah adalah lebih baik daripada mengubati. Adakah anda sedia untuk melawan jangkitan? Ketahui dalam 5 minit!
Mula Saringan Kesihatan PERCUMA
Hello. Terima kasih atas soalan anda. Berdasarkan butir-butiran yang anda beri, ada kemungkinan besar sakit dada yang anda alami sekarang adalah sakit yang berkaitan dengan jantung. Walaupun sakit jantung kebiasaannya sakit dada di tengah dada atau sebelah kiri, tetapi sakit dada di mana-mana di bahagian dada sebenarnya boleh menandakan sakit jantung. Saya mengesyorkan anda untuk segera merujuk kepada doktor untuk mendapat nasihat kerana sakit dada encik berkemungkinan adalah “angina”. “Angina” merupakan sakit yang berada di dalam spektrum penyakit jantung koronari. Penyakit jantung koronari adalah situasi di mana saluran darah di jantung atau arteri koronari mengalami tersekat. Sekatan ini biasanya disebabkan oleh kumpulan lemak atau penggumpalan darah di dalam arteri tersebut menyebabkan jantung kekurangan oksigen. Apabila ini terjadi, ia menyebabkan tisu jantung tersebut rosak dan akan membawa kepada kesakitan di dada. Sakit jantung atau infarksi miokardia merupakan tahap terakhir di spektrum penyakit jantung koronari. “Angina” adalah tahap awal di spektrum penyakit ini dan memerlukan ubat untuk mengelak keadaan menjadi lebih parah.
Hello. Terima kasih atas soalan anda. Berdasarkan butir-butiran yang anda beri, ada kemungkinan besar sakit dada yang an... See More

Bilakah Sakit Dada Sebelah Kanan Merupakan Kecemasan?

Seperti yang dinyatakan di atas, sakit dada sebelah kanan atau kiri berkemungkinan bermakna ia adalah kerana sakit jantung atau penyakit lain yang serius. Penyakit ini perlu diberi perhatian kerana ia boleh membahayakan kesihatan dan nyawa anda secara mengejut. Anda sangat digalakkan untuk terus berjumpa doktor sekiranya mempunyai sakit dada yang berterusan atau yang memenuhi ciri-ciri sakit dada angina.

Antara ciri-ciri sakit dada angina ialah rasa berat atau menekan di dada , sakit dada datang ketika sedang melakukan aktiviti fizikal dan hilang apabila berehat. Setelah mendapat pemeriksaan dari doktor, kemungkinan penyakit serius boleh dikesan dengan bantuan pemeriksaan fizikal dan ujian makmal. Sekiranya anda ke klinik dan mendapati bahawa sakit dada anda ialah bukan kerana sakit jantung, ini juga akan menenangkan fikiran anda. Oleh itu, berjumpa dengan doktor sekiranya anda merasakan sakit dada mengganggu urusan harian anda.

Apakah Tanda Kemungkinan Serangan Jantung?

Sakit jantung boleh menjadi salah satu sebab sakit dada. Anda perlu segera mendapatkan rawatan perubatan kecemasan jika anda mempunyai ciri-ciri seperti berikut:

  • Rasa sakit, berat atau menekan di dada

  • Sesak nafas atau susah bernafas

  • Berasa hendak pitam

  • Sakit dada itu merebak ke kawasan lain seperti dagu, lengan dan ke belakang dada

  • Berpeluh dengan teruk

  • Mempunyai faktor yang membuat anda berisiko untuk sakit jantung seperti merokok, berat badan berlebihan, mempunyai penyakit diabetes

Jika anda mempunyai tanda-tanda berkenaan, sila segera ke hospital yang terdekat atau panggil ambulans.

Penyebab Rasa Sakit Di Dada Sebelah Kanan?

Rasa sakit dada di sebelah kanan mempunyai terlalu banyak penyebab yang berkaitan dengan jantung dan sebaliknya. Di bawah adalah senarai penyebab yang serius:
  • Serangan jantung/sakit jantung": Ini adalah perkara pertama yang selalu difikirkan pesakit dan doktor haruslah melakukan pemeriksaan dan ujian makmal sekiranya pesakit mengadu mempunyai sakit dada yang mempunyai ciri-ciri serangan jantung. Tambahan lagi sekiranya mereka adalah dari golongan yang berisiko tinggi seperti perokok, obese dan mempunyai ahli keluarga yang pernah mendapat serangan jantung, penyakit ini perlu dikesan dengan segera. Serangan jantung adalah berpunca dari saluran darah atau arteri koronari yang tersumbat oleh kolesterol atau lemak. Ini menghalang pengedaran darah ke otot jantung yang membawa oksigen dan nutrisi penting. Akibatnya, sel jantung akan mati dan pesakit akan mendapat serangan jantung.
  • Angina”: Angina terjadi apabila saluran darah ke jantung menyempit kerana pengumpulan plak kolesterol dan lemak di dalam arteri koronori yang membawa darah ke jantung. Apabila melakukan aktiviti fizikal, jantung akan mengepam lebih laju supaya lebih banyak darah megalir ke seluruh badan. Namun, sekiranya saluran arteri koronari tersempit, maka kurang darah akan sampai ke jantung dan sel akan kekurangan oksigen. Ini juga digelar sebagai iskemia (ischaemia). Oleh itu sakit dada angina akan terjadi.
  • Radang jantung: Jantung anda mempunyai lapisan yang jika ia radang, boleh membawa rasa sakit. Radang jantung boleh terjadi selepas seseorang menghidapi jangkitan viral, mempunyai penyakit seperti SLE atau sakit jantung. Sering-sekali, mereka yang mengalami radang jantung menyatakan sakit dada lebih terasa jika tunduk ke depan atau semasa menarik nafas.
  • Pulmonary embolism”/darah beku dalam saluran darah ke paru-paru: Penyakit ini disebabkan pengumpulan darah beku di dalam saluran darah di paru-paru dan boleh menyekat pembekalan oksigen. Antara tanda-tandanya adalah sesak nafas, sakit dada semasa menarik nafas dan batuk berdarah. Ada sesetengah orang yang dikenalpasti berisiko tinggi mendapat penyakit ini. Contohnya pesakit kanser, terlantar lama di katil hospital, obesiti, perempuan yang hamil atau apabila tidak dapat berjalan selepas pembedahan.
  • Pneumothorax”: Ini merupakan situasi di mana terdapat udara di antara di dua lapisan yang menyelaputi paru-paru anda dan akan mengecutkan paru-paru membuat anda sesak nafas dan sakit apabila bernafas. Anatara penyebab perkara ini berlaku adalah kemalangan yang melibatkan bahagian dada, merokok dan penyakit semput.
  • Jangkitan paru-paru/”Pneumonia”: Jangkitan paru-paru membuat seseorang itu berasa lesu, batuk berkahak, demam, menggigil, sesak nafas dan sakit dada. Jangkitan seperti ini biasanya terjadi dalam golongan orang tua dan bayi kecil kerana tahap imunasi yang lemah.
  • Sakit otot: Anda mempunyai terdapat pelbagai otot di bahagian dada samada di bahagian luar atau dalam. Sakit ini boleh terjadi selepas membuat aktiviti fizikal dengan postur yang salah atau kemalangan kecil atau besar.
  • Rasa tertekan/stres/risau: Rasa tertekan boleh membawa kepada rasa jantung berdebar, sakit dada dan sesak nafas. Kemurungan juga boleh memberi simptom yang sama.
  • Pedih ulu hati: Ini merupakan tanda Gastrooesophageal Reflux Disease (GERD) di mana kandungan perut yang berasid naik ke dalam esofagus. Selain pedih di bahagian atas perut, seseorang boleh juga rasa sakit di dada. Anda juga mungkin boleh rasa pahit di mulut kerana kandungan naik balik semula ke atas.
  • Sakit yang berkait dengan abdomen: Sakit dari bahagian perut yang disebabkan penyakit lain boleh dirasa di bahagian dada.

Cara Merawat Sakit Dada Sebelah Kanan?

Cara merawat sakit dada ditentukan oleh doktor selepas mendapat diagnosis yang betul. Diagnosis hanya boleh dibuat selepas pemeriksaan yang teliti. Cara mengatasi sakit dada yang tersenarai di bawah bukan sahaja terikat kepada ubat sahaja.
  • Ubat tahan sakit: Jika sakit disebabkan oleh otot, ubat tahan sakit yang biasa seperti paracetamol boleh diberi untuk melegakan simptom. Tetapi jika sakitnya terlalu dahsyat oleh kerana sakit yang lebih serius seperti serangan jantung atau patah tulang, ubat tahan sakit yang lebih kuat boleh diberi. Walaubagaimanapun, hanya doktor yang boleh memberi ubat tersebut seperti ubat morfin.
  • Fisioterapi: Jika sakit disebabkan sakit otot, fisioterapi boleh melegakan simptom anda. Senaman ringan boleh melegakan sakit otot. 
  • Pembedahan bypass/ Coronary Artery Bypass Grafting (CABG): Ini merupakan pembedahan bertujuan untuk memberikan peredaran darah alternatif yang optimum ke otot jantung kerana arteri koronari yang asal mungkin terlalu tersumbat dan tidak boleh dirawat lagi dengan ubat atau angioplasti. Doktor pakar akan membincangkan manfaat dan risiko pembedahan ini dengan pesakit sebelum melakukan pembedahan ini.
  • Angioplasti: Untuk penyakit koronari, angioplasti adalah sejenis prosedur untuk membuka saluran darah yang sempit dengan meletak belon kecil atau “stent” untuk membesarkan saluran darah itu kembali. ‘Stent’, ataupun sejenis objek kecil seperti ‘spring’ yang boleh diletakkan di dalam arteri untuk mengekalkan arteri tidak sempit.
  • Terapi kaunseling: Jika sakit dada disebabkan stres atau kemurungan, kaunseling boleh memulihkan keadaan tersebut dan akan melegakan simptom yang berkaitan dengan stres dan kemurungan termasuk sakit dada.

Apakah Ubat Untuk Sakit Dada Sebelah Kanan?

  • Ubat tahan sakit: Seperti yang dinyatakan di atas, ubat tahan sakit pelbagai jenis boleh diberi sebagai cara mengatasi sakit dada sebelah kanan.
  • Ubat tekanan darah tinggi: Kategori ubat ini sering sekali diberikan oleh pakar jantung jika sakit dada disebabkan oleh penyakit yang berkait jantung kerana kajian telah menunjukkan ubat ini boleh membantu memanjangkan jangka hayat pesakit dalam situasi yang tertentu.
  • Antibiotik: Bagi sakit dada yang disebabkan oleh jangkitan bakteria, antibiotik sesuai untuk membunuh jangkitan tersebut.
  • Ubat mencegah pembekuan darah: Bagi mereka yang mempunyai darah beku, ubat ini mencegah terjadinya pembekuan dalam darah. Risiko ubat ini adalah ia boleh membawa kepada pendarahan yang tidak terkawal. Ubat hanya diberi selepas pemeriksaan.
  • Ubat anti-asid: Cara mengatasi pedih ulu hati ialah dengan mengguna ubat yang mengurangkan penghasilan asid dalam perut. 
Secara kesimpulan, sakit dada sebelah kanan mempunyai banyak punca dan cara mengatasi yang sungguh berbeza. Jika terdapat apa sahaja kemusykilan, sila merujuk nasihat doktor yang boleh didapati di hospital. Jika ia bukan kecemasan, anda juga boleh mendapat nasihat dari doktor di laman www.doctoroncall.com.my.
Terima kasih.

References